Wednesday, January 19, 2011

TAFSIR SURAH YUSUF - di tulis semasa 2tahun setengah berada di London

                                           •   TAFSIR SURAH YUSUF:
SATU SOROTAN TERHADAP
SAIKOLOGI DAN SOSIALOGI ISLAM
Oleh
Ustaz Haji Hanafi Abdul Rahman
BA (Azhar) MA (Porstmouth U.K)




Pengenalan:


Surah Yusuf ini mempunyai jalan penceritaan yang agak berbeza daripada surah-surah yang lain. Ini kerana penceritaan tentang perjalanan hidup Nabi Yusuf sebagaimana yang dipaparkan di dalam surah ini adalah secara kronologi di mana kisah Nabi Yusuf telah dimulakan dari zaman kecil dan berkembang seterusnya ke peringkat dewasa serta akhirnya ditutupi dengan melukiskan ungkapan doa yang dipanjatkan oleh Nabi Yusuf di akhir hayatnya kerana mensyukuri nikmat–nikmat Allah yang dianugerahkan kepadanya yang mengatasi kepahitan ujian-ujian yang diharunginya. Perbezaan ini amat menarik kerana kalau kita mengkaji dari segi latar belakang sejarah penurunannya, surah ini diturunkan di tahun-tahun baginda berdukacita di atas kematian bapa saudaranya Abu Talib dan isteri kesayangannya Khadijah Binti Khuwailed. Tahun dukacita ini tentulah menekan hati dan perasaan Rasullullah kerana bukan sahaja kehilangan kedua-dua orang yang memberikan perlindungan kepada baginda dan dakwah malahan juga baginda juga merasa berat dengan pelbagai ujian yang sengaja dihadapkan oleh golongan Musyrikin Mekah pada masa itu. Kisah Yusuf yang disusun dan diolah sebegitu indah dalam surah yang amat menarik ini tentulah berjaya mempesonakan Rasulullah SAW dan sekaligus merawat kedukacitaan hatinya serta menanamkan semangat baru untuk meneruskan perjuangan yang sangat mulia ini.




LATAR BELAKANG KELUARGA YUSUF


Nabi Ibrahim mempunyai beberapa orang isteri dan anak-anak. Dua isterinya yang terkenal iaitu Sarah dan Hajar melahirkan dua orang rasul. Di samping Nabi Ibrahim mempunyai isteri yang bernama Hajar dan anaknya Ismail yang menetap di Mekah, Nabi Ibrahim juga mempunyai seorang anak yang bernama Ishak dari isterinya Sarah yang berasal dari golongan bangsawan di Bahrain yang menetap di Palestin.


Ishak berkahwin dengan seorang perempuan yang bernama Saloma dan melahirkan anak kembar. Yang abangnya dinamakan Esau manakala adiknya bernama Ya`aqub. Ya`aqub berkahwin dengan dua orang perempuan anak bapa saudara sebelah ibunya. Kedua-duanya adalah adik-beradik. Ini bererti kedua-dua isterinya adalah sepupunya. Pertamanya dikahwini si kakak yang dipanggil Liya kemudian ia berkahwin lagi dengan si adik pula yang dipanggil Rahel. Rahel melahirkan dua anak lelaki yang diberi nama Yusuf dan Bunyamin.


Anak-anak Ya`aqub adalah sebagaimana yang disenaraikan oleh Kitab Taurah ialah :
1) Rokwaben bin Liya
2) Syam`un bin Liya
3) Lawi bin Liya
4) Yahuza bin Liya
5) Dan bin balhah dayang Rahel
6) Naftali bin balhah dayang Rahel
7) Jad bin Zaftah dayang Liya
8) Esyir bin Zaftah dayang Liya
9) Yassyakir bin Liya
10) Zubulun bin Liya
11) Yusuf bin Rahel
12) Bunyamin bin Rahel


Kesemua anak-anak Nabi Ya`aqub adalah dua belas orang. Mereka menetap di satu kawasan yang pada hari ini terletak di Jordan.




SINOPSIS KISAH NABI YUSUF


Allah SWT telah memulakan cerita Yusuf dalam surah ini dengan mengisahkan bahawa pada suatu malam ditika Nabi Yusuf masih kecil, beliau telah bermimpi dengan suatu mimpi yang menakjubkan. Dalam mimpinya itu ia telah melihat sebelas bintang, bulan dan matahari sujud kepadanya. Keesokan paginya, Yusuf memberitahu bapanya Ya`aqub berkenaan mimpinya. Bapanya menasihatinya agar tidak menceritakan mimpinya itu kepada saudara-saudaranya yang lain. Bapanya memberitahu sebab larangannya ialah kerana bimbangkan saudara-saudaranya itu akan cemburu terhadap Yusuf dan merancang akan melakukan sesuatu keburukan terhadap Yusuf.


Dibuang ke Dalam Perigi


Adik-beradik Nabi Yusuf memang amat cemburu terhadap kasih sayang yang diberikan oleh Ya`aqub terhadap Yusuf. Untuk bertindak terhadap perkara tersebut, mereka berbincang sama ada untuk membunuh Yusuf atau membuangnya ke dalam perigi kerana dengan cara demikian, mereka akan mendapat kasih sayang dari ayah mereka di sebabkan pada sangkaan mereka, apabila Yusuf sudah tiada, maka kasih sayang itu akan tertumpu kepada mereka. Akhirnya mereka memutuskan untuk membuang Yusuf ke dalam perigi kerana mudah-mudahan Yusuf akan diselamatkan oleh seseorang dan tidak mati. Setelah mereka bersepakat untuk melakukan perkara tersebut, mereka menemui bapa mereka Ya`aqub untuk memujuknya agar mengizinkan Yusuf keluar bermain bersama-sama mereka.


Pada peringkat awalnya, bapa mereka Ya`aqub agak keberatan untuk mengizinkan Yusuf keluar bermain-main bersama mereka kerana bimbangkan lantaran mereka terlalu asyik bermain dan bersuka ria, mereka tidak memberikan perhatian yang sepenuhnya kepada Yusuf.


Walau bagaimanapun setelah mereka memuaskan hati bapanya dengan janji-janji akan menjaganya dengan baik, akhirnya bapa mereka mengizinkan mereka membawa Yusuf keluar bermain di suatu kawasan yang agak jauh dari rumahnya.


Menurut ulama tafsir, sebelum atau semasa (sedang) mereka bermain itulah mereka menuju ke perigi buta dan menolak Yusuf ke dalam perigi tersebut. Setelah mereka membuang Yusuf ke dalam perigi buta, mereka menangkap seekor serigala dan membunuhnya lalu melumurkan darah serigala tersebut pada pakaian Yusuf yang mereka ambil untuk dijadikan bukti kepada bapanya bahawa Yusuf telah dimakan oleh serigala.


Setelah malam, mereka pulang ke rumah dalam keadaan berpura-pura menangis sambil memberitahu kepada bapanya bahawa Yusuf telah dimakan serigala. Al-Qur’an telah menceritakan bagaimana bapa mereka tidak menerima alasan tersebut dan menjelaskan kepada mereka bahawa beliau akan tetap bersabar dengan permainan yang mereka lakukan.


Dijual


Sesungguhnya Yusuf tidak mati di dalam perigi tersebut sebagaimana yang mereka harapkan sebaliknya Allah SWT telah menyelamatkan beliau dengan alasan yang telah digunakan oleh saudara-saudaranya. Alasan yang telah menjadi senda gurauan mereka telah benar-benar menjadi kenyataan bilamana Yusuf telah diselamatkan. Satu rombongan ahli perniagaan yang sedang dalam perjalanan menuju ke Mesir telah melalui kawasan sekitar perigi tersebut. Di sebabkan kehabisan bekalan air, mereka menghantarkan seorang pencari air untuk ke tempat tersebut dengan tujuan mendapatkan air dari perigi tersebut. Setelah sampai ke perigi itu, dia pun menghulurkan timbanya. Apabila ia menarik timbanya, ia mendapati Yusuf bergantung pada timbanya. Lantaran terkejut, ia berseru dengan katanya: "Hai, ini sungguh mengembirakan! Ini adalah seorang budak lelaki yang sangat cantik parasnya". Lantas itu, mereka mengambil Yusuf dan menyembunyikannya bersama barang dagangan mereka. Mereka membawa Yusuf bersama barang dagangan mereka ke Mesir. Setibanya di Mesir, kerana bimbangkan sekiranya ada orang yang mengetahui bahawa mereka menculik budak atau keluarga dari budak tersebut akan datang menuntut dari mereka, maka mereka menjual Yusuf di pagi hari tersebut dengan harga yang sangat murah. Menurut ulama tafsir, bayaran yang mereka kenakan kepada pembeli adalah sekitar dua puluh dirham.


Nasib Yusuf amat bernasib baik kerana beliau telah dibeli oleh seorang menteri yang kaya raya dan baik hati. Menteri itu dipanggil al-Aziz. Setibanya Yusuf di rumah menteri tersebut, beliau telah berpesan kepada isterinya supaya memberikan layanan yang sebaik-baiknya kepada Yusuf. Menteri itu mengharapkan semoga Yusuf berbakti kepada mereka dan mereka menjadikan Yusuf sebagai anak mereka sendiri. Kebetulannya sebagaimana yang disebutkan oleh sebahagian ahli tafsir, mereka tidak dianugerahkan seorang anak pun setakat itu walaupun telah menjalani kehidupan berumah tangga yang lama. Maka dengan keadaan demikian Yusuf bertambah dihormati dan disayangi di dalam masyarakat tersebut. Di situ Yusuf berpeluang belajar berbagai-bagai ilmu dengan segala kemudahannya.


Setelah beberapa lama berada di rumah tersebut bersama usianya yang semakin meningkat sempurna, Yusuf telah lengkap memiliki kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan.


Fitnah dan Godaan Perempuan


Kesegakan dan ketampanan Yusuf telah memikat hati isteri bapa angkatnya yang menurut ulama tafsir digelar Zulaikha. Ibu angkatnya ini bersungguh-sungguh menggoda dan memujuk Yusuf supaya melakukan kerja sumbang bersama dengannya. Setelah setiap kali ajakannya ditolak oleh Yusuf, perempuan itu pun bertekad untuk menundukkannya dengan apa cara sekalipun. Pada suatu hari, semasa menteri tersebut tiada di rumahnya, Zulaikha menutup kesemua pintu-pintu rumahnya dan mengajak Yusuf melayani kegersangannya seraya berkata: "Marilah ke mari, aku bersedia untukmu". Yusuf menolak ajakan Zulaikha itu dengan menjawab: "Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya". Tolakan Yusuf menaikkan kemarahan Zulaikha dan ketika mana nafsunya berada di puncaknya, lalu ia mengejar Yusuf yang cuba melarikan diri darinya. Ketika mereka sedang berkejar-kejaran ke pintu, Zulaikha berjaya menangkap belakang Yusuf sehingga bahagian belakang baju Yusuf terkoyak di sebabkan tarikan kuat perempuan tersebut. Malang bagi perempuan itu ketika ia cuba menggasak Yusuf dengan sepenuh hatinya, secara tiba-tiba suaminya terjogol membuka pintu. Maka ternampaklah suaminya akan kedua-duanya. Demi untuk mengelakkan dari disyaki, perempuan itu cuba mengelirukan suaminya dengan cepat-cepat menuduhkan Yusuf sebagai pesalah yang memulakan kejahatan. Si Zulaikha ini juga turut berkata bahawa balasan bagi orang yang mahu membuat jahat terhadap (isteri orang-orang besar) mestilah dipenjarakan atau dikenakan azab yang menyeksanya.


Mendengarkan dirinya dipersalahkan, Yusuf terus mempertahankan dirinya dengan menjelaskan kedudukan yang sebenarnya bahawa Zulaikhalah yang memujuknya untuk melakukan kecurangannya itu. Suami Zulaikha tercengang-cengang mendengar penjelasan yang berbeza itu. Kebetulan bersama dengannya ada sahabat lelaki yang juga merupakan salah seorang keluarga perempuan itu. Beliau terkenal sebagai bijaksana. Sebahagian ahli tafsir menyebutnya sebagai menjawat jawatan Ketua Hakim kepada kerajaan tersebut. Beliau telah berhujah dengan memberikan pendapatnya seraya berkata: "Jika baju Yusuf koyak dari depan maka benarlah tuduhan perempuan itu dan Yusuf adalah dari kalangan orang-orang yang dusta sebaliknya jika bajunya koyak dari belakang, maka dustalah perempuan itu dan Yusuf adalah dari orang-orang yang benar". Mendengarkan hujah-hujah dari sahabatnya itu agar ia perlu meneliti bukti-bukti yang ada, lantas ia meneliti dan mendapati baju Yusuf koyak dari belakang. Maka sedarlah menteri itu bahawa isterinya telah menipunya. Malangnya ia, sebagaimana orang-orang besar yang lain yang biasanya tidak memberikan perhatian kepada hal-hal yang dianggap remeh meskipun berkait dengan rumah tangganya sendiri, ia tidak menghukum isterinya malahan menasihati Yusuf agar menyembunyikan hal itu dari diketahui oleh orang ramai. Mungkin baginya menjaga nama, kedudukan dan pangkat adalah lebih penting daripada mendidik keluarganya agar lebih berakhlak mulia. Dia boleh berpura-pura melupakan untuk menghukum kesalahan orang-orang yang hampir dengannya kerana konon-kononnya kerja-kerja kemasyarakatan dan kenegaraan yang dilibatinya itu tidak akan tergugat sekali-kali padahal ia lupa bahawa sikap begitu boleh melenyapkan segala usahanya yang gigih dalam mengejar kedudukan dalam masyarakat.


Nasib Zulaikha kurang baik kerana berita tersebut tersebar juga. Berkemungkinan besar Zulaikha sebagaimana juga tabiat kebanyakan wanita-wanita lain, demi untuk menunjukkan kekuatan yang dimilikinya dalam rumah tangganya dan dalam masyarakat seluruhnya, menceritakan hal demikian kepada beberapa kenalan terdekatnya seraya berpesan agar cerita tersebut disembunyikan atau dirahsiakan dari pengetahuan orang ramai. Malangnya, laksana menutup bangkai dengan sehelai kain, cerita tersebut telah tersebar sehingga ke pengetahuan sejumlah besar pembesar-pembesar. Akhirnya, isteri-isteri pembesar yang lain mengetahui juga hal Zulaikha yang menggoda Yusuf. Ramai di antara mereka mencaci Zulaikha sehingga menyebabkan Zulaikha naik berang apabila mengetahui hal demikian.


Demi untuk menutup malunya, ia telah merancang dengan suatu perancangan yang sangat halus. Zulaikha telah menjemput mereka dan menyediakan satu jamuan istimewa untuk mereka serta memberi kepada setiap orang sebilah pisau. Ketika mana sampailah masa mereka membelah buah-buahan itu, ia mengarahkan kepada Yusuf agar keluar menghidangkan makanan kepada mereka. Sebaik sahaja Yusuf keluar untuk menghidangkan kepada tetamu-tetamu itu makanan sepertimana yang diarahkan oleh Zulaikha, maka mereka tercengang kegilaan melihat kecantikan parasnya dan mengiranya seolah-olah satu malaikatyang muncul di hadapan mereka. Kerana amat terpegun dengan ketampanan Yusuf, mereka dengan kegeraman yang tinggi tidak tersedar telah melukakan tangan mereka. Melihat hal mereka yang kebodohan itu, Zulaikha menyindir terhadap tempelakan mereka terutama tetamu-tetamu yang pernah mencaci nafsu Zulaikha yang hina itu.


Masa dan perancangan Zulaikha amat tepat dan bijak sekali lagi halus permainannya dalam mempergunakan Yusuf yang tersangat baik hati ini. Bagi Zulaikha, dirinya adalah lebih baik dari isteri-isteri pembesar yang menjadi tetamunya pada hari itu kerana mereka adalah teramat cepat mabuk dengan ketampanan Yusuf. Zulaikha sendiri, tentulah merasakan dirinya yang duduk bersama Yusuf mempunyai “keimanan” yang lebih kuat berbanding dengan isteri-isteri pembesar yang mana dengan sekali pandang itu telah “mabuk”.


Namun begitu, Zulaikha juga dengan angkuhnya menegaskan di hadapan mereka bahawa ia mahu mengalahkan juga Yusuf dan ia tidak mahu tewas dengan Yusuf atau sekurang-kurangnya ia mahu memastikan Yusuf akan ditempatkannya di dalam penjara. Lantaran itu, Zulaikha mula berbincang dengan “orang-orangnya” bagi merancang untuk mencari sebab-sebab yang membolehkan Yusuf dipenjarakan. Setelah segala bukti-bukti yang palsu itu sudah cukup tersedia dan dikemukakan kepada pihak berwajib, maka sabitlah kesalahan untuk disandarkan kepada Yusuf. Maka dengan itu, jadilah Yusuf seorang pesalah yang semestinya dipenjarakan.


Di dalam Penjara


Di dalam penjara, terdapat dua orang yang sentiasa mendampingi Yusuf. Mereka pernah menjadi khadam suruhan raja yang telah didapati bersalah dan menunggu hukuman selanjutnya yang akan dijatuhkan kepada mereka. Menurut sebahagian ulama, mereka adalah mangsa fitnah yang berlaku di dalam istana.
Pada suatu malam ketika mereka berada di dalam penjara, mereka berdua bermimpi. Salah seorang darinya bermimpi melihat dirinya memerah anggur manakala yang seorang lagi pula bermimpi melihat dirinya menjunjung roti di atas kepalanya serta dia juga melihat di dalam mimpinya itu bahawa sebahagian rotinya dimakan burung. Yusuf menerangkan ta`bir mimpi sahabat-sahabatnya di samping memperlihatkan ketinggian ilmunya dengan memberitahu jenis makanan yang akan dihidangkan kepada mereka setiap hari. Yusuf juga mendedahkan hal dirinya yang terpenjara kerana fitnah adalah datang dari keturunan yang baik yang mentauhidkan Allah serta meninggalkan ugama kaum yang tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat.


Setelah beberapa lama, ditakdirkan salah seorang dari dua sahabatnya terselamat dari hukuman bunuh dan dibebaskan bahkan dipanggil balik untuk berkhidmat di istana sepertimana yang pernah dita`birkan oleh Yusuf iaitulah si yang bermimpi memerah anggur. Kepada si dia, Yusuf meminta satu permohonan untuk ditunaikan iaitu menjelaskan kepada raja apabila berpeluang tentang dirinya yang tidak bersalah tetapi akibat kejahatan golongan atasan, dia menjadi mangsa fitnah dan terpaksa berada di dalam penjara. Permohonannya ini tidak ditunaikan oleh sahabatnya itu kerana setelah mana ia keluar dari penjara, ia melupakan janjinya terhadap Yusuf yang banyak membimbingnya ketika berada dalam penjara.


Raja Bermimpi


Pada suatu malam ketika Yusuf masih di dalam penjara, raja Mesir yang memerintah pada masa itu di mana menurut setengah pendapat berkata namanya Qatofar telah bermimpi melihat tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus.Beliau juga menyaksikan dalam mimpinya itu tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau dan tujuh tangkai lagi yang kering. Raja tersebut telah meminta nasihat menteri-menterinya dan seluruh cerdik pandai untuk menta`birkan mimpinya yang pelik itu. Malangnya tiada seorang pun yang mampu menta`birkan mimpinya itu.


Setelah mana hasrat baginda raja yang amat tinggi untuk mengetahui ta`bir mimpinya yang ganjil itu dimaklumkan kepada rakyat, sahabat Yusuf yang bekerja di dapur istana tersebut memikirkan peluang yang mungkin berjaya diraihnya, maka ia teringat kepada Yusuf yang masih dalam penjara. Lantas itu ia terus menemui raja dan menjanjikan bahawa ia mampu memberikan tafsiran mimpi tersebut secara tepat dengan satu syarat iaitu mereka hendaklah menghantarnya ke suatu tempat larangan (penjara) di mana ditempatkan Yusuf. Setelah permohonannya diperkenankan oleh raja dan ia berjaya menemui Yusuf, ia dengan nada penuh memujuk bertanyakan tentang huraian mimpi raja tersebut. Dalam jawapan yang diberikan oleh Yusuf kepada tukang masak itu, beliau mencadangkan suatu strategi yang bijak untuk menyelamatkan negara dari bencana alam yang akan timbul sebagaimana yang digambarkan dari ta`biran mimpi tersebut. Yusuf berkata: "Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam tinggalkanlah pada tangkai-tangkainya; kecuali sebahagian yang kamu jadikan untuk makan kerana akan datang selepas tempoh itu tujuh tahun kemarau yang besar yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan untuk dijadikan benih. Kemudian Yusuf menambah pula dengan berkata: "Setelah berakhirnya tujuh tahun kemarau yang panjang itu, akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan dan padanya mereka dapat memerah hasil anggur, zaitun dan sebagainya". Ta`bir yang dibuat oleh Yusuf dan cadangan strategi penyelesaian yang dikemukakan amat menakjubkan raja kerana ia menunjukkan kehebatan ilmunya. Untuk mendapatkan penjelasan yang lebih detail lagi, raja yang mementingkan keselamatan negaranya telah mengarahkan agar Yusuf dipanggil mengadapnya tetapi tatkala mana utusan raja datang kepada Yusuf untuk menjemputnya mengadap raja, Yusuf menolak dengan berkata: Kembalilah kepada tuanmu (raja) kemudian bertanyalah kepadanya: "Apa halnya tentang cerita perempuan-perempuan yang pernah melukakan tangan mereka dan mengapa ia selama ini tidak meneliti orang-orang yang menjadi mangsa kezaliman seperti dirinya (Yusuf)?”.


Sebenarnya Yusuf dengan jiwanya yang tinggi dan berpegang teguh pada prinsip yang diimaninya tidak mahu keluar dari penjara melainkan setelah segala kecacatan dan kekotoran yang dilumurkan pada mukanya mestilah dibersihkan terlebih dahulu oleh mereka yang melakukannya. Sememangnya tindakan Yusuf adalah tepat dan berani kerana sebaik-baik sahaja cadangan yang hebat dan menakjubkan telah dikemukakan dan berada di tengah-tengah masyarakat, mereka yang terlibat dalam perancangan memenjarakannya dulu terus saja mendedahkan kejahatan dan kebodohan mereka malahan mereka juga mengakui Yusuf adalah di pihak yang benar.


Maka dengan pengakuan yang terkeluar dari mulut mereka yang mendedahkan hal keadaan sebenarnya, kini Yusuf telah bersih dari segala sangkaan buruk orang dan pandangan masyarakat pun telah mula menyanjung tinggi dirinya malahan selepas beberapa ketika dia telah memperolehi jawatan yang besar dalam negara tersebut. Jawatan tersebut bolehlah disetarafkan dalam konteks dunia dewasa ini seperti Menteri Kewangan atau Menteri Hasil Kekayaan.


Bertemu Dengan Saudara-saudaranya


Setelah mana beliau dilantik menjadi menteri dan menjalankan tugas, waktu telah membuktikan ramalannya adalah tepat dan beliau pula dapat menjalankan tugas dengan cemerlang. Pada tujuh tahun yang subur itu, beliau telah memperbaiki tali air, kincir dan membangunkan pertanian seperti gandum, ubi dan lain-lain lagi dengan cemerlang.


Setelah tamatnya tahun-tahun yang subur itu, maka tahun kemarau datang menggantikan musim subur dan mengambil tempat sehingga seluruh negara Mesir dan kawasan yang berdekatan berada dalam kemarau yang amat teruk. Mesir menjadi tumpuan penduduk sekitarnya untuk memperolehi makanan di sebabkan kekayaan setor simpanan yang dimilikinya.


Pada tahun-tahun itulah adik-beradik Yusuf sebagaimana keluarga-keluarga lain yang juga mengalami keputusan makanan di tempatnya terpaksa mereka mencari makanan di Mesir. Setelah mereka memasuki Mesir, Yusuf dapat mengecam mereka dari awal lagi padahal mereka tidak mengenali Yusuf. Setelah berta`aruf (berkenalan) dan mereka menerangkan kepada menteri tersebut bahawa mereka adalah anak cucu orang-orang yang mulia kerana bapa, datuk dan moyang mereka adalah rasul yang mentauhidkan Allah dan tidak menyembah patung berhala dan mereka juga menerangkan bahawa ayah mereka yang tua dijaga pada masa itu oleh adik bungsu mereka yang bernama Bunyamin. Ia berbuat begitu kerana itulah permintaan ayah mereka.


Yusuf memberikan layanan yang baik dengan menyediakan tempat tinggal yang amat selesa selama mereka berada di situ. Setelah hajat mereka dipenuhi, Yusuf berkata bahawa ia amat berharap agar saudara mereka yang menemani ayah mereka di Palestin dapat hadir bersama mereka pada kedatangan mereka yang akan datang. Dalam syarat yang mereka sepakati, Yusuf menegaskan sambil berkata: “Kalau kamu tidak membawa saudaramu si Bunyamin kepadaku, maka tidak ada hak bagi kamu mendapat bekalan makanan di sisiku, dan keistimewaan yang diberikan ini tidak akan dapat diperolehi lagi”. Setelah mereka bersetuju dengan syarat-syarat yang diminta, mereka pulang ke kampung halaman mereka.


Sebenarnya syarat yang ditetapkan oleh menteri itu amat berat kepada mereka kerana sekiranya mereka tidak dapat memperolehi gandum, bagaimanakah mereka mampu meneruskan kehidupan? Adakah mereka akan mati kebuluran? Mereka menjadi semakin gusar apabila memikirkan bagaimanakah harus mereka menerangkan syarat yang pelik itu kepada bapa mereka.


Maka setelah mereka kembali kepada bapa mereka, mereka terus menjelaskan syarat menteri itu dengan berkata: "Wahai ayah kami! Kami telah diberi amaran oleh menteri di Mesir bahawa kami tidak akan mendapat lagi bekalan makanan di masa yang akan datang melainkan sekiranya Bunyamin dibawa pergi bersama kami. Oleh itu, izinkanlah Bunyamin pergi bersama-sama kami di masa yang akan datang, supaya kami dapat lagi bekalan makanan; dan sesungguhnya kami benar-benar berjanji bahawa kami akan menjaganya dengan sebaik-baiknya".


Bapa mereka tidak dapat menerima keterangan anak-anaknya kerana beliau amat bimbang sekiranya tragedi yang pernah berlaku terhadap Yusuf akibat perbuatan mereka akan sekali lagi berulang kembali tetapi apabila ia memikirkan betapa makanan adalah diperlukan oleh anak-anak mereka untuk hidup, ia akhirnya mengizinkan pada tahun hadapan mereka pergi bersama Bunyamin yang disayanginya itu dengan satu syarat iaitu kesemua mereka mestilah mamasuki dari semua pintu secara berpecah-pecah dan tidak boleh masuk melalui satu pintu sahaja. Cara ini akan dapat menyelamatkan mereka dari bahaya yang mungkin diatur oleh musuh.


Pada tahun berikutnya setelah makanan mereka habis, mereka memasuki Mesir dengan mematuhi arahan bapa mereka. Apabila mereka masuk menurut arah-arah yang diperintahkan oleh bapa mereka, mereka tidak diganggu oleh apa-apa musibah dan terselamat dari kebimbangan-kebimbangan yang bersarang dalam hati mereka sebelumnya. Lantaran itu, mereka merasai mereka hanyalah dapat menunaikan hajat yang terpendam dalam hati Nabi Ya`akub. Ketika mereka masuk mendapatkan Yusuf, menteri itu telah menempatkan saudara kandungnya Bunyamin berasingan dari mereka. Apabila Yusuf dapat bersamanyaBunyamin, beliau menjelaskan keadaan dirinya yang sebenar sambil berkata kepada Bunyamin: "Akulah saudara engkau Yusuf yang telah dibuang oleh mereka beberapa tahun yang lampau”. Seterusnya menteri itu berpesan kepada Bunyamin agar jangan berdukacita lagi di sebabkan apa yang mereka lakukan. Yusuf juga menegaskan ini sebagai rahsia yang perlu disembunyikan.


Setelah tiba waktu untuk bertolak, Yusuf telah membekalkan mereka dengan bekalan makanan yang mencukupi keperluan mereka dan tanpa mereka sedari, Yusuf telah meletakkan bijana minuman raja di kenderaan Bunyamin. Setelah mereka berlepas beberapa jauh meninggalkan Mesir, tiba-tiba seorang kerani menteri itu datang menyeru: "Wahai orang-orang kafilah ini, sesungguhnya kamu telah didapati mencuri dan dikehendaki oleh kerajaan untuk dihukum".


Penyeru itu menuduh mereka sebagai pencuri kerana kerajaan telah kehilangan cupak. Pegawai itu juga turut menjanjikan saguhati berupa makanan sebanyak muatan seekor unta kepada sesiapa yang berjaya menangkap pencuri tersebut. Saguhati itu tentulah terlalu besar pada musim kemarau seperti itu. Menteri itu menegaskan bahawa dirinya sendiri akan bertindak sebagai penjamin kepada pemberian saguhati itu".


Saudara-saudara Yusuf itu bersumpah tidak melakukan perbuatan mencuri cupak rasmi kerajaan itu dan menjelaskan bahawa tujuan kedatangan mereka adalah dengan niat yang baik, bukannya untuk membuat kerosakan di negeri yang telah menyelamatkan kehidupan mereka ini. Untuk memperkuatkan lagi alasan mereka, mereka bertanya: "Maka apa balasan pencuri itu, jika kamu berdusta?" Menteri itu menjawab: "Balasannya ialah sesiapa yang dijumpai cupak tersebut pada kenderaannya, maka orang itu akan dihukum kerana dia adalah bersalah ". Maka Yusuf pun mulailah memeriksa tempat-tempat barang mereka terlebih dahulu. Setelah didapati cupak kerajaan tiada pada tempat barang-barangan mereka, maka diperiksalah pula pada tempat barang saudara kandungnya (Bunyamin). Lantas itu, ia mengeluarkan cupak yang hilang itu dari tempat simpanan barang Bunyamin.


Peristiwa yang tidak di sangka-sangka ini amat mengejutkan mereka. Lantaran untuk menutup malu mereka di hadapan Menteri yang telah membantu menghidupkan mereka dengan bekalan makanan yang banyak itu, mereka berkata: "Kalaulah betul Bunyamin mencuri, maka sebenarnya tidaklah pelik kerana sesungguhnya saudara kandungnya Yusuf pernah juga mencuri dahulu”. Mendengar kata-kata yang menyinggung itu, maka Yusuf pun menyembunyikan perasaan kesalnya dan tidak mempamerkan kemarahannya tetapi di dalam hatinya Yusuf berkata: "Kamulah yang lebih buruk dari keadaan Bunyamin dan aku; dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu katakan itu".


Apabila telah putuslah hukuman bahawa Bunyamin adalah bersalah dan sepatutnya dihukum, mereka menjadi semakin bimbang lebih-lebih lagi dengan teringatkan janji mereka terhadap bapa mereka untuk membawa pulang Bunyamin bersama-sama mereka. Maka mereka merayu kepada Yusuf dengan berkata: "Wahai Datuk Menteri! Sesungguhnya Bunyamin mempunyai bapa yang sudah tua dan lemah. Oleh itu, ambillah salah seorang di antara kami sebagai gantinya; sesungguhnya kami mengenalimu dari kalangan orang-orang yang sentiasa berbudi ".


Tawaran mereka ditolak mentah-mentah oleh Yusuf. Akibat takutkan kemurkaan bapa mereka, maka berkatalah abang mereka yang sulong sebagaimana yang dinyatakan ulama sebagai bernama Yahuza, ia berkata kepada adik-adiknya: “Kembalilah kamu semua kepada bapa kamu, dan tinggalkanlah aku di Mesir ini supaya aku mengusahakan sesuatu supaya Bunyamin dapat dikembalikan dan katakan kepada bapa bahawa sesungguhnya Bunyamin telah mencuri, dan kami tidak menjadi saksi terhadapnya melainkan dengan apa yang kami ketahui dan kami tidaklah dapat menjaga perkara yang ghaib”. Ia juga mencadangkan bagi menolak keraguan bapa mereka agar bapa mereka bertanyakan kepada penduduk Mesir tempat kami tinggal (berdagang) dan kepada orang-orang kafilah yang balik bersama mereka.


Setelah mereka pulang dan menceritakan hal yang berlaku kepada bapa mereka, hati Ya`aqub bertambah sedih dan ia merasakan ada sesuatu yang tidak kena seolah-olah ada satu perangkap di situ. Apatah lagi beliau memang benar-benar mengetahui anaknya itu baik dan tidak mungkin pula melakukan kejahatan yang sedemikian rupa. Maka ia memerintahkan anak-anaknya supaya kembali ke Mesir bagi mengintip khabar berita mengenai Yusuf dan Bunyamin dan beliau juga berpesan kepada anak-anaknya supaya tidak berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah.


Di Mesir mereka memohon untuk mengadap Yusuf dan membuat rayuan kepadanya dengan berkata: "Wahai Datuk Menteri, kami dan keluarga kami telah menderita kesusahan (kemarau) yang amat sangat, dan kami datang dengan membawa barang-barang yang kurang baik dan tidak berharga (untuk menjadi tukaran bagi benda-benda makanan negeri ini). Oleh itu, sempurnakanlah sukatan bekalan makanan bagi kami dan mendermalah kepada kami, sesungguhnya Allah membalas dengan sebaik-baik balasan kepada orang-orang yang bermurah hati menderma". Yusuf pula bertanya kepada mereka: "Tahukah kamu betapa buruknya kejahatan yang pernah kamu lakukan kepada kepada Yusuf dan adiknya, semasa kamu masih jahil (tentang buruknya perbuatan yang demikian)".


Mendengarkan soalan yang memeranjatkan itu, mereka terkejut besar lantas bertanya: "Adakah engkau ini Yusufkah?" Yusuf mengiakan pertanyaan mereka dan berkata: "Akulah Yusuf dan ini adikku (Bunyamin). Sesungguhnya Allah telah mengurniakan nikmatNya kepada kami. Sebenarnya sesiapa yang bertaqwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan”. Dengan itu, mereka akhirnya mengakui kesilapan mereka dan bahawa Allah telah melebihkan dan memuliakan Yusuf di sebabkan taqwa dan kesabarannya. Dan mereka juga mengakui bahawa mereka adalah orang-orang yang bersalah. Yusuf menjelaskan bahawa ia tidak mengambil hati atau membalas dendam terhadap perbuatan mereka yang telah terlanjur itu, malahan beliau mendoakan semoga Allah mengampunkan dosa-dosa mereka.


Selepas itu Yusuf meminta mereka pergi mendapatkan bapa mereka Ya`aqub dengan membawa bajunya untuk diletakkan pada muka Ya`akub supaya dengan pakaiannya itu si bapa Ya`aqub dapat melepaskan rindunya dan nescaya ia akan dapat melihat kembali. Yusuf juga memerintahkan supaya mereka membawa seluruh keluarga ke Mesir.
Semasa kafilah mereka meninggalkan Mesir menuju ke tempat bapa mereka (di Palestin), satu mukjizat telah berlaku di mana berkatalah bapa mereka kepada kaum kerabatnya yang ada di sisinya: “Sesungguhnya aku ada terbau akan bau Yusuf. Percayalah bahawa aku masih belum nyanyuk lagi”.


Mereka berkata: "Demi Allah! Sesungguhnya ayah masih berada dalam keadaan tidak siumanmu yang lama". Tetapi peliknya sebaik sahaja datang adik-beradik dari Mesir membawa khabar berita yang mengembirakan itu serta meletakkan baju Yusuf pada muka Nabi Ya`akub, lalu menjadilah ia celik kembali seperti sediakala. Nabi Ya`akub berkata: "Bukankah aku telah katakan kepada kamu, sesungguhnya aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahuinya?".


Setelah itu seluruh keluarga Yusuf yang terdiri dari bapa, ibu dan adik beradiknya dibawa masuk ke Mesir seperti mana yang dikehendaki oleh Yusuf sendiri. Mereka sujud memberikan penghormatan kepada Yusuf dan itulah ta`bir mimpi yang dilihatnya semasa tidurnya di zaman kanak-kanaknya.


Setelah Yusuf tinggal bersama keluarganya di Mesir, Yusuf hidup penuh kegembiraan. Allah SWT menggambarkan di penghujung surah ini tentang kesyukuran Yusuf yang tinggi dengan doa yang seringkali dipanjatkannya kepada Allah hingga ke akhir hayatnya. Ia berkata:


رَبِّ قَدْ آتَيْتَنِي مِنَ الْمُلْكِ وَعَلَّمْتَنِي مِن تَأْوِيلِ الأَحَادِيثِ فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ أَنتَ وَلِيِّي فِي الدُّنُيَا وَالآخِرَةِ تَوَفَّنِي مُسْلِمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ (101)


Ertinya: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian dari kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku sebahagian dari ilmu tafsiran mimpi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh".






















TAFSIR AYAT




Keagungan al-Qur’an Yang Diturunkan Dalam Bahasa Arab


Ayat 1:
الر تِلْكَ آيَاتُ الْكِتَابِ الْمُبِينِ (1)


1) Alif, Laam, Raa'. Ini ialah ayat-ayat Kitab al-Qur’an yang menyatakan kebenaran.


Ayat 2:


إِنَّا أَنزَلْنَاهُ قُرْآنًا عَرَبِيًّا لَّعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ (2)


2) Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Qur’an yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.


Penurunan al-Qur’an dalam bahasa Arab merupakan satu bahasa yang jelas dan tepat maksud serta penggunaannya adalah menjadi alat yang mudah ke arah memahami petunjuk. Di dalam al-Qur`an ini terkandung peringatan-peringatan yang sangat penting sebagaimana yang dijelaskan dalam firman Allah pada surah asy-Syu`araa’ ayat 195:


بِلِسَانٍ عَرَبِيٍّ مُّبِينٍ (195)
(Surah asy-Syu`araa’: 195)


Ertinya: (Ia diturunkan) dengan bahasa Arab yang fasih serta terang nyata.


Firman Allah:


وَكَذَلِكَ أَنزَلْنَاهُ قُرْآنًا عَرَبِيًّا وَصَرَّفْنَا فِيهِ مِنَ الْوَعِيدِ لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ أَوْ يُحْدِثُ لَهُمْ ذِكْرًا (113)
(Surah Taha: 113)


Ertinya: Dan demikianlah Kami telah menurunkan al-Qur’an sebagai bacaan dalam bahasa Arab, dan Kami telah terangkan di dalamnya berbagai-bagai amaran supaya mereka (umat manusia seluruhnya) bertaqwa, atau mereka mendapat daripadanya sesuatu peringatan bagi faedah mereka.


FirmanNya lagi:


وَمِنْ قَبْلِهِ كِتَابٌ مُوْسَى إِمَامًا وَرَحْمَةً وَهَذَا كِتَابٌ مُصَدِّقٌ لِّسَانًا عَرَبِيًّا لِّيُنْذِرَ الَّذِيْنَ ظَلَمُوْا وَبُشْرَى لِلْمُحْسِنِيْنَ (12)
(Surah al-Ahqaf ayat 12)


Ertinya: Bagaimana mereka tergamak mengatakan al-Qur’an ini rekaan dusta yang telah lama?) Pada hal telah ada sebelumnya Kitab Nabi Musa yang menjadi ikutan dan rahmat (kepada umatnya); dan al-Qur’an pula sebuah kitab – yang mengesahkan kebenaran (Kitab-Kitab yang telah lalu ), -- diturunkan dalam bahasa Arab untuk memberi amaran kepada orang-orang yang zalim, dan berita gembira bagi orang-orang yang berbuat kebaikan.


Dalam ayat-ayat di atas, Allah Subhanahu Wa Ta`ala telah mengaitkan al-Qur’an yang memberikan petunjuk kepada manusia dan peranan bahasa Arab sebagai bahasa al- Qur`an. Ertinya Allah SWT telah memilih bahasa Arab sebagai bahasa petunjuk kepada umat manusia. Pernyataan tentang perkara ini oleh Allah SWT sendiri adalah semata-mata untuk menerangkan kelebihan bahasa Arab. Rahsia dan hikmat pemilihan bahasa tersebut hanya diketahui oleh Allah Subhanahu Wa Ta`ala jua. Allah SWT telah menjadikan bahasa tersebut sebagai bahasa kaum muslimin, bahasa ahli syurga dan bahasa tersebut tidak akan luput dari dunia ini meskipun pada suatu ketika yang bangsa Arab berada pada tahap yang paling lemah dan hina.


Ayat 3:


نَحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ أَحْسَنَ الْقَصَصِ بِمَا أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ هَذَا الْقُرْآنَ وَإِن كُنتَ مِن قَبْلِهِ لَمِنَ الْغَافِلِينَ (3)


3) Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) seindah-indah kisah dengan jalan Kami wahyukan kepadamu al-Qur’an ini, padahal sebenarnya engkau sebelum datangnya wahyu itu, adalah dari orang-orang yang tidak pernah menyedari akan halnya.


Satu uslub dakwah dan juga cara menghiburkan diri dari ketegangan tekanan jiwa ialah dengan memerhatikan pengajaran-pengajaran yang terkandung di dalam cerita-cerita hidup yang benar-benar berlaku kepada manusia. Contohnya Rasulullah SAW telah bersabda:


وحدثوا عن بنى إسرائيل


Yang bermaksud: Dan berceritalah tentang Bani Israel.


Kisah-kisah mukjizat sepertimana kisah Yusuf `Alaihissalam yang bakal diceritakan ini tentulah mempunyai lautan pengajaran yang boleh diambil dari berbagai-bagai sudut untuk berbagai-bagai tujuan kebaikan dan pengi`tibaran dalam kehidupan manusia.




Mimpi Yusuf dan Kedengkian Saudara-saudaranya


Ayat 4:


إِذْ قَالَ يُوسُفُ لِأَبِيهِ يَا أَبتِ إِنِّي رَأَيْتُ أَحَدَ عَشَرَ كَوْكَبًا وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ رَأَيْتُهُمْ لِي سَاجِدِينَ (4)


4) (Ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: "Wahai ayahku! Sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku".


TAFSIR


Al-Qur’an memulakan cerita tentang kisah Yusuf dalam surah ini dengan menyebutkan perbualannya dengan bapanya yang sangat-sangat dikasihinya. Di masa ia masih kecil, ia berkata kepada bapanya pada suatu pagi, ketika baru bangkit dari tidurnya, "Wahai ayahku! Sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku".


HURAIAN


Dalam syariat nabi-nabi terdahulu termasuklah syariat Nabi Ibrahim yang dipakai oleh manusia di zaman Nabi Yusuf, sujud bererti menghormati dan memberikan kemuliaan. Perbuatan sujud tidak dikira sebagai menyembah sebagaimana Allah SWT ceritakan bagaimana Ia memerintahkan para malaikat sujud kepada Nabi Adam AS.


Mimpi Nabi Yusuf mengenai ia telah melihat matahari, bulan dan sebelas bintang sujud kepadanya adalah menerangkan bahawa ia akan memperolehi suatu kemuliaan yang sangat besar dalam hidupnya. Adakah kemuliaan yang bakal diperolehinya itu telah diketahui olehnya dengan jelas sedari awalnya atau tidak, terdapat kekhilafan pendapat di kalangan ahli tafsir. Menurut setengahnya berdasarkan penghujung cerita ini, kita akan dapat memahami bahawa ia tidak secara detail sehinggalah pada hari keluarganya datang ke Mesir dan memberikan penghormatan yang setinggi-tingginya barulah ia mengetahuinya lalu ia menyebutkan:


                                 •          
Dan berkata Yusuf: "Wahai ayahku inilah ta'bir mimpiku yang dahulu itu; Sesungguhnya Tuhanku telah menjadikannya suatu kenyataan. Dan sesungguhnya Tuhanku telah berbuat baik kepadaku, ketika Dia membebaskan aku dari rumah penjara dan ketika membawa kamu dari dusun padang pasir, setelah syaitan merosakkan (hubungan) antaraku dan saudara-saudaraku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Lembut terhadap apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dialah yang Maha mengetahui lagi Maha Bijaksana.




Melalui ayat ini kita dapat melihat terdapat satu kekuatan tentang menyuluh diri sendiri yang ada pada mimpi yang digambarkan melalui cerita nabi Yusuf. Sebenarnya mimpi itu disebut (القوة الكامنة) iaitu satu daripada kekuatan-kekuatan yang terpendam yang berada di dalam diri manusia. Kekuatan-kekuatan yang terpendam ini bukan sahaja mimpi malahan juga yang lain-lainnya seperti kecerdikan dan keberanian adalah suatu bekal yang telah dikurniakan Allah yang berbeza-beza antara satu orang dengan satu orang yang lain di mana sekiranya digunakan sepenuhnya oleh seseorang, nescaya akan terbongkarlah segala rahsia dirinya. Maka tiadalah lagi tekanan dalam kehidupan ini baginya. Bayangkan saja dua orang yang mempunyai kecerdikan (kekuatan yang tersembunyi) yang sama tahapnya menggunakan kecerdikannya pada tahap yang berbeza, tentulah natijahnya berbeza kerana A mengisi kecerdikannya dengan cara belajar l00 macam ilmu manakala B pula mengisinya dengan 5 macam ilmu sahaja. Maka tentulah pada akhirnya A akan mahir 100 macam ilmu itu dan B pula hanyalah mahir 5 ilmu yang dipelajarinya itu sahaja. Demikianlah orang yang menerokai dirinya sendiri dengan menyingkapkan mimpi-mimpinya yang terbit dari kekuatan dalam dirinya yang terpendam, akan dapat menyuluh tentang rahsia kehidupan yang dilaluinya. Contohnya seorang yang selalu mengamalkan sembahyang istikharah yang mana melalui sembahyang istikharah itu, ia sentiasa dapat melihat -melalui mimpi di dalam tidurnya umpamanya- kesudahan masa depan yang akan dilaluinya, tentulah berbeza dalam kehidupan berbanding dengan seorang yang tidak pernah melazimi sembahyang istikharah di mana dengan sikap tidak beristikharah itu, ia tidak menyuluh tentang kehidupannya sebaliknya hanyalah melaluinya semata-mata tanpa dibantu dengan kekuatan-kekuatan yang terpendam.




Oleh kerana mimpi itu adalah satu daripada kekuatan-kekuatan dalaman yang tersembunyilah, orang-orang soleh di zaman silam telah menggunakannya dengan berbagai-bagai cara bertujuan untuk memahami kehidupan sebagaimana yang telah diperolehi oleh Nabi Yusuf dari mimpinya itu.








Ayat 5:


قَالَ يَا بُنَيَّ لاَ تَقْصُصْ رُؤْيَاكَ عَلَى إِخْوَتِكَ فَيَكِيدُواْ لَكَ كَيْدًا إِنَّ الشَّيْطَانَ لِلإِنسَانِ عَدُوٌّ مُّبِينٌ (5)


5) Bapanya berkata: "Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia.


TAFSIR


Seterusnya al-Qur’an mengisahkan bagaimana bapanya dalam menasihati anaknya itu, ia berkata: "Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia. Menurut mufassirin, ta`bir mimpi itu telah diketahui oleh bapanya, lantaran itulah bapanya melarang si anak kecil yang bernama Yusuf ini dari menghebohkan cerita mimpinya itu kepada sesiapa pun.


HURAIAN


Ayat di atas memberikan pengajaran kepada kita bahawa mimpi yang dilihat oleh seseorang di dalam tidurnya tidak harus diberitahu untuk dita`birkan melainkan kepada orang-orang tertentu sahaja seperti kedua orang tua, guru dan penta`bir mimpi yang mahir dan beramanah. Untuk mengelakkan dari fitnah, kerana kesulitan dalam menta`birkan (interpretation) secara tepat, ia hendaklah menjadi rahsia yang disimpan dalam diri seseorang yang melihatnya di dalam tidurnya sahaja. Lantaran itulah, ijma` ulama dalam memutuskan mimpi hanyalah boleh dijadikan panduan dalam meramalkan sesuatu yang mungkin berlaku (zanni) dan dari situ, seseorang itu boleh mengambil langkah berwaspada terhadap kemungkinan ujian-ujian yang bakal datang dalam hidupnya. Mimpi tidak boleh dijadikan hujah atau sandaran (masdar) dalam sesuatu pegangan. Walaupun terdapat beberapa bentuk mimpi yang boleh diperolehi dengan amalan-amalan tertentu sepertimana yang dinamakan oleh ahli tasauf atau tarikat dengan nama warid, ia tetap menjadi rahsia yang mesti disimpan oleh seseorang itu. Dalam latihan kerohanian yang biasa diamalkan oleh golongan tasauf dan ahli tarikat, wirid-wirid tertentu yang dibaca berperanan menghubungkan perjalanan ruh seseorang dengan alam yang tinggi. Namun begitu, ketinggian itu adalah terbatas bergantung kepada maqam kedudukannya. Adapun mimpi yang dilihat oleh nabi-nabi sekalipun sebelum kebangkitan menjadi rasul kadang-kala adalah wahyu dari Allah. Walaupun bukan dalam bentuk kalamullah, tetapi pengajarannya adalah amat besar dalam menerangkan targhib wal tarhib. Keterhasilan mimpi kepada nabi-nabi dan rasul-rasul termasuklah dalam kisah Nabi Yusuf yang kita sedang bincangkan ini tentulah tidak dengan persediaan-persediaan wirid-wirid si nabi tersebut kerana ia adalah merupakan anugerah Allah SWT. Anugerah-anugerah yang besar di antaranya berbentuk kemuliaan ke atas keluarga dengan pemilihan sebagai rasul telah diceritakan dalam kisah Nabi Ibrahim seperti mana yang telah disebut oleh Allah SWT:


إِنَّ اللّهَ اصْطَفَى آدَمَ وَنُوحًا وَآلَ إِبْرَاهِيمَ وَآلَ عِمْرَانَ عَلَى الْعَالَمِينَ (33)
(Surah a-Li Imraan ayat 33)


Yang bermaksud: Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam, dan Nabi Nuh, dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga ‘Imran, melebihi segala umat (yang ada pada zaman mereka masing-masing).


Ayat 6:


وَكَذَلِكَ يَجْتَبِيكَ رَبُّكَ وَيُعَلِّمُكَ مِن تَأْوِيلِ الأَحَادِيثِ وَيُتِمُّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكَ وَعَلَى آلِ يَعْقُوبَ كَمَا أَتَمَّهَا عَلَى أَبَوَيْكَ مِن قَبْلُ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْحَقَ إِنَّ رَبَّكَ عَلِيمٌ حَكِيمٌ (6)


6) Dan demikianlah caranya Tuhanmu memilihmu, dan akan mengajarmu ta’bir mimpi, serta akan menyempurnakan nikmatNya kepadamu dan kepada keluarga Ya`akub; sebagaimana Ia telah menyempurnakannya kepada datuk nenekmu dahulu: Ibrahim dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana".


TAFSIR


Seterusnya Nabi Ya`aqub menerangkan lagi kepada anaknya beberapa kelebihannya iaitulah Allah SWT telah memilihnya dan akan mengajarkannya berkenaan ta’bir mimpi, serta akan menyempurnakan nikmatNya kepadanya dan keluarganya sebagaimana juga datuk neneknya yang terdahulu iaitu Ibrahim dan Ishak.


HURAIAN


Di samping Nabi Ya`aqub menerangkan kepada anak kesayangannya itu tentang yang akan diperolehi oleh Yusuf hasil dari keterangan yang boleh difahami dari mimpi tersebut, Ya`aqub juga dalam pendidikannya kepada anak-anaknya turut menceritakan berbagai-bagai kemuliaan lain yang Allah SWT telah anugerahkan kepada keluarga mereka terutamanya datuk dan nenek moyang mereka. Anugerah-anugerah yang besar di antaranya berbentuk kemuliaan ke atas keluaraganya dengan pemilihan Allah SWT kepada mereka sebagai rasul-rasul telah diceritakan dalam kisah Nabi Ibrahim seperti mana yang telah disebut oleh Allah SWT:


إِنَّ اللّهَ اصْطَفَى آدَمَ وَنُوحًا وَآلَ إِبْرَاهِيمَ وَآلَ عِمْرَانَ عَلَى الْعَالَمِينَ (33)
(Surah al-Imran: 33)


Ertinya: Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam, dan Nabi Nuh, dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga ‘Imran, melebihi segala umat (yang ada pada zaman mereka masing-masing).


Allah SWT juga berfirman:


وَمَن يَرْغَبُ عَن مِّلَّةِ إِبْرَاهِيمَ إِلاَّ مَن سَفِهَ نَفْسَهُ وَلَقَدِ اصْطَفَيْنَاهُ فِي الدُّنْيَا وَإِنَّهُ فِي الآخِرَةِ لَمِنَ الصَّالِحِينَ (130)
(Surah al-Baqarah: 130)


Ertinya: Tidak ada orang yang membenci ugama Nabi Ibrahim selain dari orang yang membodohkan dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Kami telah memilh Nabi Ibrahim (menjadi Nabi) di dunia ini; dan sesungguhnya ia pada hari akhirat kelak tetaplah dari orang-orang yang soleh (yang tertinggi martabatnya).


Allah SWT berfirman lagi:


وَاذْكُرْ عِبَادَنَا إبْرَاهِيمَ وَإِسْحَقَ وَيَعْقُوبَ أُوْلِي الْأَيْدِي وَالْأَبْصَارِ (45) إِنَّا أَخْلَصْنَاهُم بِخَالِصَةٍ ذِكْرَى الدَّارِ (46) وَإِنَّهُمْ عِندَنَا لَمِنَ الْمُصْطَفَيْنَ الْأَخْيَارِ (47) وَاذْكُرْ إِسْمَاعِيلَ وَالْيَسَعَ وَذَا الْكِفْلِ وَكُلٌّ مِّنْ الْأَخْيَارِ (48)
(Surah Saad: 45-48)


Ertinya: Dan (ingatlah peristiwa) hamba-hamba Kami: Nabi Ibrahim dan Nabi Ishaq serta Nabi Ya’aqub, yang mempunyai kekuatan (melaksanakan taat setianya) dan pandangan yang mendalam (memahami ugamanya).(45) Sesungguhnya Kami telah jadikan mereka suci bersih dengan sebab satu sifat mereka yang murni, iaitu sifat sentiasa memperingati negeri akhirat.(46) Dan Sesungguhnya mereka di sisi Kami adalah dari orang-orang pilihan yang sebaik-baiknya.(47) Dan (ingatlah peristiwa) Nabi Isma’il, dan Nabi Alyasa’, serta Nabi Dzu’lkifli; dan mereka masing-masing adalah dari orang-orang yang sebaik-baiknya.(48)


Firman Allah Taala lagi:


قَدْ كَانَتْ لَكُمْ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ فِىْ إِبْرَاهِيْمَ وَالَّذِيْنَ مَعَهُ إِذْ قَالُوْا لِقَوْمِهِمْ إِنَّا بُرَءَآؤُا مِنْكُمْ وَمِمَّا تَعْبُدُوْنَ مِنْ دُوْنِ اللهِ كَفَرْنَابِكُمْ وَبَدَا بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةُ وَالْبَغْضَآءُ أَبَدًا حَتَى تُؤْمِنُوا بِاللهِ وَحْدَهُ إِلاَّ قَوْلَ إِبْرَاهِيْمَ لِأَبِيْهِ لَأَسْتَغْفِرَنَّ لَكَ وَمَآ أَمْلِكُ لَكَ مِنَ اللهِ مِنْ شَيْءٍ رَبَّنَا عَلَيْكَ تَوَكَّلْنَا وَإِلَيْكَ أَنَبْنَا وَإِلَيْكَ الْمَصِيْرُ (4)
(Surah al-Mumtahinah ayat 4)


Bermaksud: Sesungguhnya adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim (a.s) dan pengikut-pengikutnya – contoh ikutan yang baik, semasa mereka berkata kepada kaumnya (yang kufur ingkar): “Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah yang lain dari Allah; kami kufur ingkarkan (segala penyembahan) kamu dan (dengan ini) nyatalah perasaan permusuhan dan kebencian di antara kami dengan kamu selama-lamanya, sehingga menyembah Allah semata-mata”, tetapi janganlah dicontohi perkataan Nabi Ibrahim kepada bapanya (katanya): “Aku akan memohon kepada Tuhanku mengampun dosamu, dan aku tidak berkuasa menahan (azab seksa) dari Allah sedikit jua pun daripada menimpamu”. (Berdo’alah wahai orang-orang yang beriman sebagaimana Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya berdo’a ketika mereka memusuhi kaumnya yang kafir, dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Kepada Engkaulah sahaja kami berserah diri, dan kepada Engkaulah kami ruju’ bertaubat, serta kepada Engkaulah jua tempat kembali!


Kesemua anugerah ini tidak akan diperolehi dengan usaha kerana ianya adalah suatu ujian kepada manusia lain. Anugerah ini adalah semata-mata pilihan Allah yang tiada manusia dapat mengetahui hikmatnya melainkan Allah SWT sahaja.


Pentingnya ibu bapa menceritakan tentang perjalanan hidup nenek moyang yang terdahulu adalah kerana ia menjadi satu tunjang yang akan terpasak kukuh dalam diri generasi yang pastinya akan mewarisi perjuangan mereka. Kasih sayangnya pada keluarga akan merimbun di hati generasi ini.


Ayat 7:


لَّقَدْ كَانَ فِي يُوسُفَ وَإِخْوَتِهِ آيَاتٌ لِّلسَّائِلِينَ (7)


7) Demi sesungguhnya! (Kisah) Nabi Yusuf dengan saudara-saudaranya itu mengandungi beberapa pengajaran bagi orang-orang yang bertanya (tentang hal mereka untuk mengambil iktibar).


Kisah Nabi Yusuf bukanlah hanya terdapat dalam al-Qur’an sahaja malahan disebut juga oleh Kita-Kitab Samawi sebelumnya. Terdapat beberapa berbezaan isi kandungan yang hangat diperdebatkan. Namun begitu, isi kandungan tentangnya yang disebut oleh al- Qur’an akan terbukti benar. Banyak pendedahan-pendedahan ilmiyah yang telah dan akan ditemui yang menyokong keterangan cerita yang terdapat dalam al-Qur’an. Maka dengan itu, ia akan menjadi bukti kebenaran risalah yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Ini kerana Rasulullah SAW yang berada di Mekah tidak pernah mengetahui kisah Nabi Yusuf melainkan setelah turunnya surah ini. Padahal apa yang dibacakannya itu tepat sekali. Inilah yang mempesonakan Ahli Kitab kepada ajaran baginda.


Ayat 8:


إِذْ قَالُواْ لَيُوسُفُ وَأَخُوهُ أَحَبُّ إِلَى أَبِينَا مِنَّا وَنَحْنُ عُصْبَةٌ إِنَّ أَبَانَا لَفِي ضَلاَلٍ مُّبِينٍ (8)


8) (Kisah itu bermula) ketika saudara-saudara Yusuf berkata (sesama sendiri): "Sesungguhnya Yusuf dan adiknya, lebih disayangi oleh bapa kita daripada kita, padahal kita ini satu kumpulan (yang ramai dan berguna). Sesungguhnya bapa kita adalah dalam keadaan tidak adil yang nyata”.


TAFSIR


Kisah itu bermula bilamana saudara-saudara Yusuf yang seramai sepuluh orang iaitu Rubel, Syam`un, Lawi, Yahuzha, Niftale, Hez, Asyer, Esyakhir, Zayluun dan Dena telah berbincang antara satu sama lain. Mereka berkata sesama sendiri: "Sesungguhnya anak-anak ibu tiri kita iaitulah Yusuf dan adiknya Bunyamin, lebih disayangi oleh bapa kita daripada kita, padahal kita ini satu kumpulan yang ramai dan berguna. Sesungguhnya bapa kita adalah dalam keadaan tidak adil yang nyata”.


HURAIAN


Menurut Ibn Kathir, Nabi Ya`aqub mempunyai dua orang isteri iaitu Liya dan Rahel. Mereka adalah dua beradik. Pada masa itu, mereka mengikut syariat moyang tok wan mereka Nabi Ibrahim. Syariat itu tidak menegahkan mereka daripada mengahwini adik- beradik. Liya merupakan seorang kakak manakala Rahel adalah adik. Kedua-duanya adalah anak Laban, bapa saudaranya iaitu abang kepada ibu Ya`akub. Ibu Nabi Ya`akub, sebagaimana yang telah diterangkan, adalah bernama Refqa iaitulah isteri Nabi Ishaq sekaligus menjadi menantu Nabi Ibrahim. Dalam erti kata yang lain, kedua-dua isterinya, Liya dan Rahel itu adalah sepupu Nabi Ya`akub sendiri.


Rahel dikahwini Nabi Ya`aqub kemudian selepas mengahwini Liya. Anak yang diperolehi dari Rahel ialah Yusuf dan Bunyamin.


Menurut ulama, timbulnya kedengkian adalah berpunca daripada bahawa Yusuf dan Bunyamin adalah daripada anak-anak Rahel yang diceritakan di dalam kitab-kitab Israeliyyat kerana kecantikannya tetapi sekiranya kita meneliti, nescaya kita akan dapat melihat bahawa kedengkian seseorang manusia terhadap saudaranya adalah suatu sifat semulajadi yang dibekalkan oleh Allah SWT untuk menguji iman mereka. Berpunca dari perasaan ego yang sudah sedia tertanam sebagai suatu bahan yang diperlukan dalam pembesaran insan yang sihat, ia perlu dididik dan dibentuk ke arah yang betul agar dia mampu menghadapi apa saja halangan yang dihadapkan kepadanya dalam memimpin manusia di sekelilingnya supaya taat kepada Allah. Al-Qur’an memaparkan kedengkian saudara-saudara Yusuf yang masih kecil dan boleh disifatkan sebagai masih dalam kesempurnaan fitrah adalah untuk mengungkaikan perwatakan sebenar manusia ini. Samada secara sedar atau tidak dan dengan cara mahu atau enggan, sifat ini memerlukan dibimbingi, ditontoni dan ditunjuk ajari secara bersungguh-sungguh dan tidak boleh dipandang kecil yang mana tentunya akan terus menjadi liar apabila tersalah dalam menanganinya. Dan di sinilah pula ditunjukkan Nabi Ya’aqub sebagai contohnya kepada kita untuk penghayatan yang lebih teliti dan mendalam.


Untuk mengetahui secara lebih mendalam terhadap kehalusan cerita ini, kita mestilah bertanya adakah tuduhan mereka terhadap bapa mereka sebagai sesat itu melampau atau adil. Seorang bapa biasanya senang untuk menyatakan tuduhan itu sebagai melampau manakala bagi kanak-kanak pula tidak akan menerima penafian tuduhan tersebut.


Sekiranya kita bayangkan tuduhan sebegitu dibuat oleh mereka yang mentah kemudian menyesal terhadap kesilapan mereka, tuduhan mereka tidaklah wajar dipersalahkan tetapi sebaik-baiknya kita cuba menyelami mengapa mereka menuduh begitu.


Dalam mendidik anak-anak di hari ini, kita akan sentiasa berdepan dengan suasana perkelahian adik-beradik. Perkelahian semasa kecil adalah normal kerana ia mematangkan sifat-sifat kepimpinan ke dalam dirinya tetapi sekiranya perkelahian itu masih berlaku di peringkat dewasa, disertai dengan perasaan menjauhkan diri antara satu sama, tentulah sifat-sifat itu datang dari kesyaitanan yang kelak akan merosakkan hubungan kekeluargaan.




Ayat 9:


اقْتُلُواْ يُوسُفَ أَوِ اطْرَحُوهُ أَرْضًا يَخْلُ لَكُمْ وَجْهُ أَبِيكُمْ وَتَكُونُواْ مِن بَعْدِهِ قَوْمًا صَالِحِينَ (9)


9) (Ramai di antara mereka berkata): "Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu tempat yang jauh, supaya perhatian dan kasih sayang bapa kamu tertumpu kepada kamu semata-mata, dan supaya kamu sesudah itu menjadi orang-orang yang baik dan berguna".


TAFSIR


Setelah lama mereka berbincang, akhirnya jelaslah hasrat mereka yang kotor terhadap Nabi Yusuf padahal Nabi Yusuf itu adalah adik-beradik mereka sendiri. Setengah dari mereka mencadangkan supaya Yusuf dibunuh manakala yang lain pula mencadangkan agar Yusuf dibuangkan saja ke suatu tempat yang jauh, supaya perhatian dan kasih sayang bapa mereka Ya`aqub tidak lagi tertumpu kepada Yusuf malahan tertumpu kepada mereka semata-mata.


HURAIAN


Melalui kisah perbincangan mereka untuk membunuh Nabi Yusuf ini, fahamlah kita bahawa nenek moyang orang-orang Yahudi pada hari ini telah pernah berbincang untuk membunuh dan melakukan pembunuhan kepada mana-mana para rasul yang menjadi cahaya yang sepatutnya hidup memandu mereka kepada hidayah. Firman Allah dalam surah al-Imran ayat 21 yang berbunyi:
•      •        ••    


Ertinya: Sesungguhnya orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi yang memamg tak dibenarkan dan membunuh orang-orang yang menyuruh manusia berbuat adil, Maka gembirakanlah mereka bahwa mereka akan menerima seksa yg pedih.


Watak melakukan komplot dan konspirasi membunuh untuk tujuan mencapai cita-cita yang mereka ingini adalah satu watak yang akan terus mengalir dalam darah Yahudi dan tidak akan dapat dikikis. Lihatlah pembunuhan terhadap khalifah-khalifah Islam seperti pembunuhan ke atas Saidina Omar, Uthman, Ali, Khalifah Abbasiyyah, Khalifah Umawiyyah dan ulama-ulama di kebanyakan zaman, siapakah lagi dalangnya kalaulah bukan Yahudi. Bahkan banyak pembunuhan manusia-manusia penting dalam sejarah politik berbagai-bagai bangsa dan negara didalangi oleh manusia berdarah Yahudi. Ayat ini mendedahkan sikap suka membunuh yang sudah menjadi secocok dan sebati dengan diri mereka walaupun di mana sahaja mereka berada. Sifat inilah yang menjadi penyebab kebencian penduduk pribumi apabila mereka adalah pendatang-pendatang baru di sesuatu bumi yang mana akhirnya mereka dihalau pula ke bumi yang lain. Ertinya kerana dalam darah mereka mengalirnya sifat membunuh ini menjadikan bangsa Yahudi terpaksa sentiasa dizalimi, disakiti, ditindasi, dihalau dan terpaksa berpindah randah dalam sejarah umat manusia keseluruhannya.


Ayat 10:


قَالَ قَآئِلٌ مَّنْهُمْ لاَ تَقْتُلُواْ يُوسُفَ وَأَلْقُوهُ فِي غَيَابَةِ الْجُبِّ يَلْتَقِطْهُ بَعْضُ السَّيَّارَةِ إِن كُنتُمْ فَاعِلِينَ (10)


10) Salah seorang di antara mereka berkata: "Janganlah kamu membunuh Yusuf, tetapi buanglah dia ke dalam pergi, supaya ia dipungut oleh sebahagian dari orang-orang musafir (yang lalu di situ), kalaulah kamu tetap hendak menjalankan rancangan kamu itu".


TAFSIR


Menurut ulama tafsir, salah seorang dari saudaranya yang tualah yang telah melarang mereka membunuh Yusuf. Dia hanya mencadangkan supaya Yusuf dibuangkan ke dalam sebuah perigi supaya dengan itu, memadailah ia dipungut oleh orang-orang musafir yang lalu di situ.


HURAIAN


Dalam sifat keegoan yang buruk di antara seorang adik-beradik kepada saudaranya itu, kasih sayang di antara adik-beradik tersebut tetap wujud dan tidak mungkin dapat dirabut-rabut atau terhapus dengan senang dan mudah. Inilah yang dinamakan fitrah iaitu suatu perasaan kasih sayang semula jadi yang telah dijadikan oleh Allah Subhanahu Wa Ta`ala tertanam ke dalam setiap jiwa manusia. Namun begitu, dalam perasaan kasih sayang yang tidak akan dapat dikikis itu, semua manusia mahukan dirinya lebih dan dapat mengatasi saudaranya itu. Hakikat ini ada pada semua kanak-kanak, cumanya bagaimanakah pendekatan mereka dalam mempamerkan perasaan itu sahaja yang berbeza. Di sini anak-anak Nabi Ya`akub mengambil sikap berbincang sesama mereka di belakang ayah mereka untuk memenuhi keinginan tadi.


Menurut ulama tafsir, saudaranya yang tualah yang berkata demikian. Dia telah menunjukkan kematangan yang lebih daripada adik-beradiknya yang lain. Dari ucapan ini, kita dapat melihat jauhnya perbezaan antara tahap kebencian seorang saudara yang sudah hampir matang yang dapat mengawal kebenciannya itu berbanding dengan saudara-saudara lain yang belum matang yang akan membenci dengan sepenuh-penuh kebencian. Kedewasaan seseorang sepatutnya mengajarnya untuk mengawal kebenciannya terhadap seseorang yang lain kepada batasan-batasan tertentu. Namun begitu, lantaran menurut hawa nafsu yang jahat, masih ramai dewasa yang tidak memiliki kematangan dan kekuatan mengawal kemarahan dan kebenciannya kepada seseorang.


Api kemarahan di sebabkan kebencian bilamana ia sudah berlapik dengan akal fikiran, maka tentulah tidak sama dengan kebencian melulu. Yang pasti di sini kematangan adalah penting dalam sebarang tindakan yang akan dilakukan. Hal ini samalah dengan apa yang Allah SWT gambarkan dalam kisah Nabi Musa yang memarahi saudaranya Harun.


Allah SWT berfirman:


وَلَمَّا سَكَتَ عَن مُّوسَى الْغَضَبُ أَخَذَ الأَلْوَاحَ وَفِي نُسْخَتِهَا هُدًى وَرَحْمَةٌ لِّلَّذِينَ هُمْ لِرَبِّهِمْ يَرْهَبُونَ (154)
(Surah al-A’raaf ayat 154)


Maksudnya: Dan apabila kemarahan Nabi Musa itu reda, ia pun mengambil Lauh-lauh Taurat itu yang dalam naskhahnya terkandung petunjuk dan rahmat, bagi orang-orang yang bersungguh-sungguh takut kepada Tuhan mereka (daripada melanggar perintahNya).


Ayat 11:


قَالُواْ يَا أَبَانَا مَا لَكَ لاَ تَأْمَنَّا عَلَى يُوسُفَ وَإِنَّا لَهُ لَنَاصِحُونَ (11)


1 (Mereka pun (pergi berjumpa dengan bapa mereka lalu) berkata: Wahai ayah kami! Mengapa ayah tidak percaya kepada kami tentang Yusuf, padahal sesungguhnya kami sentiasa tulus ikhlas mengambil berat kepadanya?


TAFSIR


Seterusnya al-Qur’an menceritakan bagaimana mereka memujuk bapa mereka dengan berkata: Wahai ayah kami! Mengapa ayah tidak percaya kepada kami untuk menyerahkan Yusuf bermain bersama-sama kami, padahal sesungguhnya kami sentiasa tulus ikhlas mengambil berat kepadanya?


HURAIAN


Ayat ini menerangkan kepada kita bahawa seseorang yang berniat buruk, kadang-kadang dapat dikenali bilamana kita menyedari kebaikannya pada hari itu sungguh luar biasa melebihi hari-hari biasa. Inilah satu sifat nifaq yang sentiasa wujud dalam diri manusia yang sengaja disembunyikan tetapi mudah terpancar jelas kepada orang-orang yang menghalusinya.
.
Ayat 12:


أَرْسِلْهُ مَعَنَا غَدًا يَرْتَعْ وَيَلْعَبْ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ (12)


12( “Biarkan ia bersama-sama kami esok, supaya ia bersuka ria makan minum dan bermain-main dengan bebasnya; dan sesungguhnya kami akan menjaganya dengan sebaik-baiknya".


TAFSIR


Saudara-saudara Yusuf memujuk bapa mereka Ya`aqub supaya mengizinkan Yusuf keluar bersuka-ria makan-minum dan bermain-main bersama-sama mereka. Mereka berjanji akan menjaganya dengan sebaik-baiknya.


HURAIAN


Fahamlah kita dari ayat-ayat di atas bagaimana mereka cuba memujuk ayah mereka dengan cara yang amat lembut supaya membenarkan Yusuf bersama-sama mereka bermain di suatu tempat yang agak berjauhan dari bapa mereka.


Kehalusan tipudaya menjadi peranan yang besar dalam mengelirukan seseorang yang mudah percaya dan menerima pengakuan yang diberikan kepadanya. Setiap hujah yang difikirkan logik dan sesuai akan mengambil tempat di hati dan fikiran orang yang mendengarnya. Sebenarnya, kisah ini tidaklah pula menggambarkan Nabi Ya`akub gagal dalam pentarbiyahan dan tazkiyah anak-anaknya kerana beliau sendiri keberatan dalam melepaskan Yusuf bermain dengan mereka. Apa yang boleh kita fahami di sini ialah manusia yang membuat helah selalunya akan menggunakan perkataan dan cara-cara yang lembut untuk memancing-mancing sesuatu kepentingan diri sendiri sehingga ia benar-benar memperolehi sesuatu itu.


Ayat 13:


قَالَ إِنِّي لَيَحْزُنُنِي أَن تَذْهَبُواْ بِهِ وَأَخَافُ أَن يَأْكُلَهُ الذِّئْبُ وَأَنتُمْ عَنْهُ غَافِلُونَ (13)


13) Bapa mereka menjawab: “Permergian kamu membawanya bersama sangatlah mendukacitakan daku, dan aku pula bimbang ia akan dimakan oleh serigala, ketika kamu lalai dari mengawalnya”.


TAFSIR


Nabi Ya`aqub telah menjelaskan kepada anak-anaknya bahawa ia sendiri merasa amat keberatan membiarkan mereka menbawa Yusuf berpemergian bersama-sama mereka. Ini kerana ia sendiri tidak berapa yakin kepada anak-anaknya itu, mungkin Yusuf terdedah kepada bahaya akan dimakan oleh serigala.


HURAIAN


Rancangan keji untuk membuang Yusuf ke dalam perigi dikendalikan oleh anak-anak sendiri yang amat dipercayainya amatlah dasyat dan kotor. Demikianlah Nabi Ya`akub a.s tanpa mengetahui rancangan anak-anaknya, telah mengizinkan anak-anaknya membawa Nabi Yusuf makan, bermain dan bersuka ria di satu kawasan yang agak jauh dari kawasan rumahnya. Adalah tidak wajar kanak-kanak dibiarkan berkekalan di rumah sahaja sebagai mana yang disabdakan oleh Rasululah S.A.W:


)) علموا أولادكم الرماية والسباحة ((


Yang bermaksud: Ajarlah anak-anakmu bermain melontar (lembing) dan berenang.


Namun begitu, kebimbangan akan terus menyelubungi seseorang bapa apabila si anak berada jauh dari pandangan matanya. Kebimbangan Nabi Ya`akub ini digambarkan dalam percakapannya dengan anak-anaknya ketika ia berkata: “Padahal kamu lupa terhadapnya (Yusuf) iaitu pengendalian yang hanya sekadar kamu ingin bersuka ria dan bukannya kamu memastikan ia benar-benar bersuka ria”.


Ulama berpendapat disebut serigala di dalam ayat ini kerana terdapat banyaknya serigala di kawasan itu pada zaman tersebut. Wallahu `alaam.


Ayat 14:


قَالُواْ لَئِنْ أَكَلَهُ الذِّئْبُ وَنَحْنُ عُصْبَةٌ إِنَّا إِذًا لَّخَاسِرُونَ (14)


14) Mereka berkata: "Kalau dia dimakan oleh serigala, sedang kami ramai bilangannya, sesungguhnya kami sudah tentu menjadilah orang-orang yang rugi".


TAFSIR


Demi untuk menutupi kejahatan mereka, mereka berpura-pura menjawab padahal secara berdalih kepada bapa mereka dengan mengatakan sekiranya Yusuf dimakan oleh serigala, sedang mereka adalah dalam jumlah yang besar, masakan mereka akan membiarkan saja hal demikian berlaku tanpa membinasakan binatang tersebut? Kononnya tentulah sekali mereka akan mempertahankan Yusuf dengan apa cara sekalipun.


HURAIAN


Sifat pura-pura telah wujud secara semula jadi di dalam diri setiap manusia. Maka kewajipannya ialah mengawal dengan cara membersihkan dirinya daripada godaan syaitan. Allah SWT berfirman:


قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا (9) وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا (10)
(Surah as-Syams ayat 9-10)


Maksudnya: Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan),(9) Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).(10)




Ayat 15:


فَلَمَّا ذَهَبُواْ بِهِ وَأَجْمَعُواْ أَن يَجْعَلُوهُ فِي غَيَابَةِ الْجُبِّ وَأَوْحَيْنَآ إِلَيْهِ لَتُنَبِّئَنَّهُم بِأَمْرِهِمْ هَذَا وَهُمْ لاَ يَشْعُرُونَ (15)


15) Setelah mereka pergi dengan membawanya bersama dan setelah mereka sekata hendak melepaskan dia ke dalam perigi, (mereka pun melakukan yang demikian), dan Kami pula ilhamkan kepadanya: "Sesungguhnya engkau (wahai Yusuf, akan terselamat, dan) akan memberitahu mereka tentang hal perbuatan mereka ini, sedang mereka tidak sedar (dan tidak mengingatinya lagi)".


Keindahan dua ayat di atas amat mudah dirasai apabila ayat-ayat tersebut menerangkan betapa adik-beradik Nabi Yusuf akhirnya telah sebulat suara tanpa bantahan untuk melakukan keputusan yang tidak baik kepada adik mereka yang masih kecil itu. Apakah terlalu bebal mereka sehingga tidak membantah cadangan tersebut atau terlalu benci dan dendam kepada Nabi Yusuf sehingga tergamak melakukan sedemikian rupa kepada saudaranya itu. Tentulah cerita ini dapat menghuraikan kepada kita dan membayangkan tentang kekerasan hati manusia yang dibaluti dengan kasih sayang semulajadi sehingga kasih sayang itu seolah-olah tidak mempunyai apa-apa kekuatan malahan tidak bermaya langsung untuk menghambat kebencian mereka kepada Yusuf.


Bilamana Yusuf telah ditolak ke dalam perigi tersebut, Allah SWT telah mengutuskan kepadanya Malaikat Jibrail mengajarkannya beberapa kalimah memuji Allah:


أللهم يا مؤنس كل غريب ويا صاحب كل وحيد ويا ملجأ كل خائف ويا كاشف كل كربة ويا عالم كل نجوى ويا منتهى كل شكوى يا حاضر كل ملأ يا حى يا قيوم أسألك أن تقذف رجائك فى قلبى حتى لا يكون لى هم ولا شغل غيرك وأن تجعل لى من كل هم فرجا ومخرجا إنك على كل شىء قدير


Maksudnya: Ya Allah ya Tuhanku! Wahai Tuhan yang menjinakkan (hati) yang terasing, wahai (Tuhan) yang memiliki jiwa yang tiada keseorangan (tiada berteman), wahai tempat pergantungan kepada segala (hati) yang takut, wahai penyingkap segala kesulitan, wahai yang mengetahui segala bisikan, wahai Tuhan yang -------wahai Tuhan yang hidup , wahai Tuhan berdiri sendiri, aku memohon agar engkau mencampakkan pengharapanMu ke dalam hatiku, sehingga tiadalah lagi kedukaan atau ingatan selainMu, dan agar Engkau jadikan untuk setiap kedukacitaan itu, jalan keluar. Sesungguhnya Engkau adalah amat mengetahui.


Dengan ini, Allah SWT campakkan ketenangan dan keyakinan sehingga ia menyakini bahawa suatu hari kelak, ia akan menceritakan balik kisah ini kepada saudara-saudaranya yang telah melupai kejahatan mereka itu.


Seterusnya Allah SWT berfirman:


Ayat 16:


وَجَاؤُواْ أَبَاهُمْ عِشَاء يَبْكُونَ (16)


16) Dan sesudah itu datanglah mereka mendapatkan bapa mereka pada waktu senja sambil menangis.


TAFSIR


Di waktu senja, mereka balik dalam keadaan menangis kerana mereka tidak dapat membawa Yusuf pulang bersama mereka lagi.


HURAIAN


Sifat pura-pura adalah kunci permulaan kepada melakukan kejahatan. Dengan berpura-pura ini, manusia dapat menyembunyikan kejahatan niat dan pekerjaannya. Menurut al Qurtibi, mereka pulang menemui bapanya pada waktu malam adalah untuk menyembunyikan kepalsuan dan kejahatan mereka.


Mereka amat teliti dalam langkah-langkah mereka bilamana al-Quran menceritakan mereka membuat penerangan kepada bapanya pada waktu malam. Dalam kegelapan itu, akan membolehkan lagi berlaku kekeliruan dan kesamaran kepada Ya’aqub. Demikianlah setiap kekeliruan yang dibuat, masa dan waktunya juga memainkan peranan kepada berjaya atau tidak.


Sememangnya setiap orang yang melakukan kejahatan, akan memilih kegelapan untuk ia menunaikannya. Contohnya ialah tukang sihir melakukan kejahatannya pada waktu malam juga;


        •   


Ertinya: “Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk (pada waktu malam); “Dan dari kejahatan makhluk-makhluk (tukang sihir) yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan);


Ayat 17:


قَالُواْ يَا أَبَانَا إِنَّا ذَهَبْنَا نَسْتَبِقُ وَتَرَكْنَا يُوسُفَ عِندَ مَتَاعِنَا فَأَكَلَهُ الذِّئْبُ وَمَا أَنتَ بِمُؤْمِنٍ لِّنَا وَلَوْ كُنَّا صَادِقِينَ (17)


17) Mereka berkata: "Wahai ayah kami! Sesungguhnya kami telah pergi berlumba-lumba berburu dan kami telah tinggalkan Yusuf menjaga barang-barang kami, lalu ia dimakan oleh serigala.; dan sudah tentu ayah tidak akan percaya kepada kata-kata kami ini, sekalipun kami adalah orang-orang yang benar".


TAFSIR


Setelah petang, mereka pulang menemui bapa dalam keadaan Yusuf tidak bersama mereka. Mereka berbohong kepada bapa mereka dengan berkata Yusuf telah terbunuh dimakan serigala.


HURAIAN


Pembohongan adalah satu senjata mudah yang seringkali digunakan oleh golongan penakut yang tersepit.


PERLUMBAAN


Dalam pendidikan, permainan yang berupa perlumba-lumbaan adalah satu kaedah yang menguatkan kanak-kanak tersebut. Ia adalah baik selagi mana tidak disertai dengan unsur-unsur yang haram seperti penipuan, judi dan rasuah. Banyak riwayat menyebutkan Rasulullah SAW juga berlumba dengan keluarganya.


Ayat 18:


وَجَآؤُوا عَلَى قَمِيصِهِ بِدَمٍ كَذِبٍ قَالَ بَلْ سَوَّلَتْ لَكُمْ أَنفُسُكُمْ أَمْرًا فَصَبْرٌ جَمِيلٌ وَاللّهُ الْمُسْتَعَانُ عَلَى مَا تَصِفُونَ (18)


18) Dan (bagi mengesahkan dakwaan itu) mereka pula melumurkan baju Yusuf dengan darah palsu. Bapa mereka berkata: "Tidak! Bahkan nafsu kamu memperelokkan kepada kamu suatu perkara (yang tidak diterima akal). Kalau demikian, bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya, dan Allah jualah yang dipohonkan pertolonganNya, mengenai apa yang kamu katakan itu".


TAFSIR


Mereka membawa baju Yusuf yang berlumuran dengan darah serigala yang mereka bunuh dalam permainan mereka sebagai bukti palsu kepada bapanya. untuk melancarkan lagi. Bapanya menolak bukti palsu itu.


HURAIAN


Kisah ini memaparkan peristiwa di mana tangisan ini samada kerana sedih akibat tindakan mereka yang bodoh atau tangisan pura-pura kerana berbohong kepada bapanya. Air mata boleh menjadi berlinangan di pipi kanak-kanak, tetapi mereka tidak memahami apa-apa erti penyesalan. Cerita ini juga memaparkan manusia dengan watak-watak yang berbeza mengikut masa dan keadaan serta hasrat dan cita rasanya.


Dalam pendidikan, terdapat dua bentuk pengaruh yang mempengaruhi seseorang iaitu:
1) Pengaruh yang berupa dari dalam rumah.
2) Pengaruh yang berupa dari luar rumah.


Pendidikan dari dalam rumah ini, kanak-kanak itu akan terdedah bukan sahaja kepada nasihat dan tunjuk ajar ibu bapa sahaja mlahan juga tingkah laku, watak, keterampilan dan penonjolan yang ditunjukkan oleh ahli keluarganya. Dalam hal adik-beradik Yusuf ini, tentulah bapa mereka Ya`aqub telah menunjukkan yang terbaik dalam segala sudutnya.


Manakala pendidikan di luar rumah ini pula, ia terdedah kepada kawan-kawan dan seluruh apa yang ada dalam masyarakat.


Dalam erti kata yang lain, seseorang kanak-kanak di peringkat umur (3-10 tahun) kebanyakan masanya berada di dalam rumah adalah lebih terkawal kerana mereka belum terdedah dengan pengaruh luar.


Seorang yang tahap umurnya telah terdedah kepada pengaruh dari luar rumah (lingkungan 10-17 tahun) adalah berbeza dari watak ketika berada di dalam rumah (lingkungan 5-10 tahun). Mereka lebih luas melakukan apa sahaja dan lebih mudah pula terdedah dengan pelbagai unsur yang tidak sihat. Oleh kerana itulah ajaran Islam amat menekankan supaya di setiap ketika mereka berada di luar rumah, ibu-bapa perlu melihat siapakah kawan-kawan yang mereka gauli kerana sabda Rasulullah S.A.W:


))المرء مع من يخالل ((


Maksudnya: Seseorang itu bersama orang yang ia gauli (bersahabat).


Ertinya, ibu bapa tidak boleh berpada dengan didikan yang diberikannya. Pengaruh dalam rumah semata-mata belum cukup untuk menjadikan kanak-kanak tersebut berakhlak mulia, malahan juga pengaruh–pengaruh buruk dari luar juga perlulah disekat dari sampai ke pangkuan kanak-kanak tersebut.


Ayat 19:


وَجَاءتْ سَيَّارَةٌ فَأَرْسَلُواْ وَارِدَهُمْ فَأَدْلَى دَلْوَهُ قَالَ يَا بُشْرَى هَذَا غُلاَمٌ وَأَسَرُّوهُ بِضَاعَةً وَاللّهُ عَلِيمٌ بِمَا يَعْمَلُونَ (19)


19) Dan (semasa Yusuf dalam perigi) datanglah ke tempat itu satu rombongan (ahli perniagaan) yang sedang dalam perjalanan; lalu mereka menghantarkan seorang pencari air bagi mereka; (setelah sampainya ke perigi itu) dia pun menghulurkan timbanya (dan manakala ia melihat Yusuf bergantung pada timbanya) ia berseru dengan katanya: "Hai, (ini) sungguh menggembirakan! Ini adalah seorang budak lelaki (yang cantik parasnya)". (Setelah mengetahui hal itu, saudara-saudara Yusuf pun datang) serta mereka sembunyikan keadaan Yusuf yang sebenarnya (untuk dijual) sebagai barang dagangan. Dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan.


TAFSIR


Allah S.W.T telah meringkaskan ceritanya dengan memaparkan kisah Yusuf yang mana setelah mereka menolak Yusuf ke dalam perigi, mereka keluar ke suatu padang untuk bermain-main. Kebetulan pada masa itu tanpa mereka sedar, datanglah satu rombongan ahli perniagaan yang sedang dalam perjalanan menuju ke Mesir melalui ke perigi tersebut. Seorang ditugaskan mencari air. Bilamana ia menghulurkan timbanya ke dalam telaga, Yusuf bergantung pada timbanya. Setelah mana Yusuf berjaya dikeluarkan dari perigi tersebut, mereka sungguh gembira kerana memperolehi seorang budak lelaki yang cantik parasnya.


Mereka menyembunyikan Yusuf dalam barangannya dan membawa Yusuf ke Mesir.


HURAIAN


Andaian saudara-saudara Yusuf bahawa Nabi Yusuf akan dikutip oleh seseorang dan membawanya jauh dari pandangan bapa mereka Ya`akub adalah suatu ramalan yang amat jauh kemungkinannya, tetapi andaian ini -dengan kehendak dari Allah- telah benar-benar terjadi dan berlaku kepada Yusuf a.s. Peristiwa yang disangka berlaku secara kebetulan ini tentulah memeranjatkan mereka apabila mereka lupa bahawa Allah SWT mengatur perjalanan hambaNya untuk menguji hambaNya itu dalam persaingan hidup ini.


Pedagang yang dalam perjalanannya ke Mesir telah kehabisan bekalan air, mereka telah membelok ke perigi tersebut padahal perigi tersebut bukanlah terletak di tengah jalanan mereka. Mereka hanyalah mengetahui perigi tersebut kerana bilamana mereka sudah terlalu kerap melalui jalan itu, mereka telah diberitahu bahawa di situ terdapat sebuah perigi. Di perigi itulah, mereka telah mengambil Yusuf dan menyembunyikannya dalam baranganya. Ini kerana mereka bimbangkan perbuatan mencuri mereka itu diketahui oleh manusia lain ataupun orang tua budak tersebut menuntut balik darinya sedangkan mereka boleh memperolehi wang lebih dari yang biasa diperolehinya dengan cara menjual budak yang dijumpainya di pasar dagang.


Lihatlah bagaimana suatu andaian telah menjadi realiti yang tidak disangka oleh mereka. Ini sebenarnya berlaku untuk menunjukkan kebesaran Allah SWT yang tidak dijangka-jangka oleh orang yang merancang kejahatan.


Ayat 20:


وَشَرَوْهُ بِثَمَنٍ بَخْسٍ دَرَاهِمَ مَعْدُودَةٍ وَكَانُواْ فِيهِ مِنَ الزَّاهِدِينَ (20)


20) Dan (setelah berlaku perundingan) mereka menjualnya dengan harga yang murah, iaitu beberapa dirham sahaja bilangannya; dan mereka adalah orang-orang yang tidak menghargainya.


TAFSIR


Setibanya di Mesir pada awal pagi, mereka terus melelong Yusuf dengan harga yang cukup murah.


HURAIAN


Ayat ini mengisahkan saudagar tersebut telah menjual Yusuf dengan harga yang murah kerana bimbangkan kalau-kalau keluarga budak yang dijumpai menyedari perbuatan mereka dan menghukum mereka. Walaupun mereka menyedari perbuatan mereka salah, tetapi lantaran kerana sifat halobanya untuk mendapatkan sejumlah wang yang kecil iaitu sekitar dua puluh dirham sepertimana yang diterangkan oleh al-mufassiruun, pedagang tersebut bodoh setelah mengecam kecantikan dan wajah ceria yang baik lagi gemilang yang tersadur pada wajah Yusuf. Padahal alang-alang mereka mencuri manusia, adalah lebih baik sekiranya mereka mengambilkan saja Yusuf sebagai anak mereka.


Ayat 21:


وَقَالَ الَّذِي اشْتَرَاهُ مِن مِّصْرَ لاِمْرَأَتِهِ أَكْرِمِي مَثْوَاهُ عَسَى أَن يَنفَعَنَا أَوْ نَتَّخِذَهُ وَلَدًا وَكَذَلِكَ مَكَّنِّا لِيُوسُفَ فِي الأَرْضِ وَلِنُعَلِّمَهُ مِن تَأْوِيلِ الأَحَادِيثِ وَاللّهُ غَالِبٌ عَلَى أَمْرِهِ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لاَ يَعْلَمُونَ (21)


21) Dan (setelah Yusuf dijualkan di negeri Mesir), berkatalah orang yang membeli Yusuf kepada isterinya: "Berilah dia layanan yang sebaik-baiknya; semoga ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak". Dan demikianlah caranya Kami menetapkan kedudukan Yusuf di bumi (Mesir untuk dihormati dan disayangi), dan untuk Kami mengajarnya sebahagian dari ilmu ta’bir mimpi. Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.


TAFSIR


Yusuf telah dibeli oleh seorang pembesar Mesir yang kaya raya dan baik hati. Ia berpesan kepada isterinya agar melayan Yusuf dengan baik.


HURAIAN


Pembesar yang kaya raya ini adalah seorang yang baik hati. Ini dapat kita lihat dalam pesanannya kepada isterinya itu agar melayan Yusuf dengan cara yang baik. Di rumah yang sebegini rupa, tentulah ia dapat menikmati kehidupan yang baik.


Demikianlah yang dikatakan rezeki dan nasib. Kedua-duanya ditentukan Allah. Allah SWT lah yang mengaturkan segala-galanya.


Ayat 22:


وَلَمَّا بَلَغَ أَشُدَّهُ آتَيْنَاهُ حُكْمًا وَعِلْمًا وَكَذَلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ (22)


22) Dan ketika Yusuf sampai ke peringkat umurnya yang sempurna kekuatannya, Kami beri kepadanya kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan; dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.


TAFSIR


Allah SWT telah mengurniakan ilmu pengetahuan yang berbagai-bagai kepada Yusuf.




HURAIAN


Allah SWT mengisahkan bagaimana Yusuf terselamat dari keburukan saudara-saudaranya dengan melalui suatu jalan yang amat menakjubkan iaitu diambil oleh pedagang yang dalam perjalanan menuju ke Mesir. Walaupun jalan ini pernah difikirkan oleh saudara-saudaranya yang mempunyai perancangan buruk itu tetapi ketidak-munasabahan itu menjadi kenyataan dan ia mencabar kejahatan komplot yang mereka lakukan.


Terselamat dari keburukan ini bukanlah bererti terselamat terus dari segala ujian malahan ia terpaksa melalui suatu bentuk kehidupan baru yang penuh dengan ujian baru yang belum pernah tergambar olehnya.


Tuan rumah yang didiaminya adalah seorang kaya yang baik hati dan mempunyai jawatan yang besar pula dalam negara. Menurut ulama tafsir, beliau adalah seorang menteri yang disegani di nagara itu. Orangnya berperwatakan lembut dan memiliki berbagai ilmu pengetahuan. Ia juga menekankan perihal pentingnya ilmu pengetahuan kepada Nabi Yusuf. Menurut ahli tafsir lagi, menteri ini di panggil sebagai al-Aziz.


Tentang ilmu dan hikmat pula, sebagaimana rasul-rasul yang lain dianugerahkan kebijaksaan dan ilmu pengetahuan sebagai asas persediaan pertama sebelum dibangkitkan menjadi utusan, penganugerahan iman dan hikmah ke atas Nabi Yusuf ini adalah bertujuan untuk menekankan kepada para dai`e tentang peranan ilmu sebagai asas utama dan pertama dalam melaksanakan tugasan ini. Yusuf telah dikenali di dalam masyarakat sekelilingnya sebagai seorang yang cerdik dan pintar serta amat mencintai ilmu pengetahuan. Beliau meningkat remaja dalam keadaan bersih, tidak mencampuri kawan-kawan yang nakal, ganas dan liar juga tidak pula banyak menghabiskan masa dengan permainan-permainan yang tidak berfaedah.


Ayat 23:


وَرَاوَدَتْهُ الَّتِي هُوَ فِي بَيْتِهَا عَن نَّفْسِهِ وَغَلَّقَتِ الأَبْوَابَ وَقَالَتْ هَيْتَ لَكَ قَالَ مَعَاذَ اللّهِ إِنَّهُ رَبِّي أَحْسَنَ مَثْوَايَ إِنَّهُ لاَ يُفْلِحُ الظَّالِمُونَ (23)


23) Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itu pun menutup pintu-pintu serta berkata: "Marilah ke mari, aku bersedia untukmu". Yusuf menjawab: "Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya".


TAFSIR


Puan isteri pembesar itu di masa ketiadaan suaminya, telah berkali-kali menggodanya. Yusuf memohon pertolongan dari Allah agar memeliharanya dari terjatuh ke dalam perbuatan yang keji itu.


HURAIAN


Setelah lama menetap di rumah al-Aziz yang kaya-raya dan mewah itu, isteri al-Aziz yang bernama Zulaikha telah terpikat bukan sahaja pada akhlak dan budi pekerti Nabi Yusuf yang tinggi malahan ketampanan yang menakjubkan setiap mata yang memandang kepadanya memukaunya dan membangkitkan syahwatnya kepada melakukan kecurangan yang amat keji dipandang masyarakat. Ia menjadi tidak segan untuk berbuat kejahatan demikian bukan sahaja kerana Yusuf itu berada di rumahnya malahan kerana dirinya juga yang tidak kalah kecantikan berbanding dengan Yusuf. Beliau sendiri dikatakan oleh ulama merupakan seorang yang sangat cantik sehingga ada riwayat yang menyebutkan bahawa beliau adalah orang yang paling cantik di negeri tersebut. Ditambah pula oleh kesenangan hidup yang dimilikinya, menyebabkan ia lupa untuk memelihara kemuliaan dirinya. Sesungguhnya keinginan syahwat yang menjalar pada diri seseorang yang kehausan nafsu akibat seringkali ditinggalkan suaminya akan bertambah-tambah apabila bertemu dengan seorang yang menarik perhatiannya dalam sudut akhlak dan rupa bentuk, malahan menjadi semakin terbakar di sebabkan acap kali bertemu dalam masa yang panjang. Iman yang lemah atau nafsu yang beraja akan memandu syaitan ke kemuncak perasaan itu. Ini kerana jiwa muda yang kosong telah diisi oleh syaitan. Islam mengajar jiwa yang kosong tadi supaya diisi dengan zikir dan fikir. Inilah dua jalan yang membawakan kepada taqwa.


Al-Qur’an memaparkan suatu realiti sosial dalam bentuk yang jelas di mana suami yang sibuk dengan kerja-kerja luar, apatah lagi yang berpangkat besar dan berjawatan tinggi, sehingga kurang menumpukan perhatian kepada rumah tangga tidak menyedari sesuatu tanggungjawab yang sememangnya merupakan keperluan dalaman isterinya, ataupun mungkin berasal dari masalah yang berpunca dari pihak isteri yang tidak tahu menjaga iffahnya (harga diri dan kemuliaanya). Ini adalah suatu bentuk biasa porak-peranda yang selalu timbul dalam masyarakat yang berpunca dari jiwa yang tidak sihat sekalipun mereka mempunyai kemampuan material yang menakjubkan di mata masyarakatnya. Keadaan ini akan menjadikan mereka lebih mudah melakukan dan menjalarkan maksiat di dalam masyarakat.


Dalam suatu sudut yang lain, ini bererti sekalipun seseorang itu berjaya di mata umum belum bererti ia boleh membahagiakan keluarganya.


Dalam kisah di atas, sabda Rasulullah S.A.W:


سبعة يظلهم الله فى ظله يوم لا ظل إلا ظله إمام عادل وشاب نشأ فى عبادة الله ورجل قلبه معلق بالمسجد إذا خرج منه حتى يعود إليه ورجلان تحابا فى الله اجتمعا عليه وتفرقا عليه ورجل تصدق بصدقة فأخفاها حتى لا تعلم شماله ما أنفقت يمينه ورجل دعته امرأة ذات منصب وجمال فقال ا،ى أخاف الله ورجل ذكر الله خاليا ففاضت عيناه


Tujuh golongan yang mendapat perlindungan `arasyNya di hari yang tiada perlindungan (apa-apa lagi) melainkan perlindunganNya: pemerintah yang adil, pemuda yang membesar dalam keadaan sentiasa beribadat kepada Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terikat pada masjid( rumah Allah) bilamana ia keluar dari ( tempat tersebut sehinggalah) ia kembali pulang, dua lelaki yang berkasih sayang kerana Allah, mereka berkumpul dan berpisah keranaNya, lelaki yang bersedekah dengan satu sedekah lalu ia menyembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya, lelaki yang diajak oleh perempuan yang berpangkat dan jelita lantas ia berkata; sesungguhnya aku takutkan Allah dan lelaki yang mengingati Allah dalam keadaan seorang diri lantas mengalirkan air kedua matanya.
( Bukhari dan Muslim serta soheh mereka ms 239)


Ayat 24:


وَلَقَدْ هَمَّتْ بِهِ وَهَمَّ بِهَا لَوْلا أَن رَّأَى بُرْهَانَ رَبِّهِ كَذَلِكَ لِنَصْرِفَ عَنْهُ السُّوءَ وَالْفَحْشَاء إِنَّهُ مِنْ عِبَادِنَا الْمُخْلَصِينَ (24)


24) Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa.


TAFSIR


Bilamana nafsu Zulaikha telah menggelegak, Allah SWT dengan rahmatnya telah memelihara Nabi Yusuf.


HURAIAN


Ayat ini menggambarkan betapa besarnya nikmat seseorang yang dipelihara oleh Allah dari melakukan kejahatan sumbang yang dilarang. Iffah iaitu menjaga diri daripada perzinaan adalah suatu pakaian orang-orang yang mukmin. Ia sentiasa memelihara dirinya daripada kemurkaan Allah. Rasulullah S.A.W bersabda:


))لا يزنى الزانى حين يزنى وهو مؤمن ((


Yang bermaksud: Tidaklah berzina seorang yang berzina, pada masa itu ia beriman.


Hadis ini bermaksud seorang yang berzina, pakaian imannya telah terlucut pada masa ia berzina itu. Sehinggalah ia bertaubat kepada Allah dan meninggalkan amalan yang keji itu.


Al-Qur’an menceritakan wujudnya keinginan dalam jiwa Nabi Yusuf terhadap Zulaikha. Perasaan ini sekiranya disifatkan sebagai cinta, ia adalah fitrah kepada seorang yang telah meningkat tahap keremajaannya. Menurut ulama tafsir, perasaan ini tidak wujud pada awalnya tetapi lama-kelamaan, perasaan itu sekan-akan tidak akan dapat dibuang lagi dari dalam diri. Perasaan ini adalah lumrah berlaku kepada semua manusia muda yang terdedah kepada pertemuan yang berulang kali dalam apa jua bentuk interaksi.


Tetapi sesuatu yang buruk juga telah berlaku, buruk ini terlebih-lebih lagi dalam sudut kemasyarakatan kerana mencintai seorang yang bergelar ibu angkat. Dalam erti kata yang lain, Yusuf pada peringkat usia yang meningkat remaja tentulah secara fitrahnya, hati serta perasaannya inginkan kasih sayang yang bersih dan suci tetapi telah dihidangkan dengan sesuatu yang kotor; atau tumbuhnya kasih sayang tadi di celah-celah dua perkara yang baik dan buruk tadi. Maka ia menghadapi suatu kemelut yang dasyhat kerana ibu angkat yang menjadi tempat dia menumpahkan segala pengaduannya mengajak melakukan sesuatu yang amat menghilangkan kesucian jiwa, iaitulah perzinaan yang dilarang sama sekali. Jadi, sebagai seorang yang menjaga iffah tentulah hatinya amat kecewa hidup dalam keadaan yang seperti ini. Ia tidak mahu melakukan kejahatan yang diajak oleh Zulaikha itu, tetapi dia tidak dapat melarikan dari kehidupan kerana hati yang kecewa ini tentu akan menjadi bertambah luka kepada perempuan yang dihormatinya itu dengan berlakunya rentetan-rentetan lain selepas itu.


Sebenarnya dalam kehidupan yang begitu tertekan, Allah menjelaskan ia tidak membiarkan hambanya yang benar-benar memohon pertolongan dariNya. Namun begitu, Allah SWT sengaja mahu mengujikan hambaNya itu dengan membuka jalan kebuntuan yang amat-amat ditakuti oleh hamba tersebut melalui cara yang si hamba tersebut perlu lebih tabah lagi dari ujian tersebut. Dalam erti kata yang lain, untuk menemui jalan penyelesaian seseorang hamba itu kepada masalahnya, ia perlulah lebih tabah lagi. Sekiranya ia tidak dapat berbuat demikian, tidak mustahil ia akan terkorban dalam ujian tersebut. Maka jadilah ia golongan yang tewas.


Menurut ulama-ulama tafsir, ‘burhaana rabbihi’ بُرْهَانَ رَبِّهِ dalam ayat di atas ialah Nabi Yusuf terbayang dan terkenangkan wajah bapanya yang baik dan penyayang itu. Wajah bapanya yang baik soleh itu sentiasa terpampang di hadapan matanya setiap kali diajak oleh Zulaikha supaya melakukan maksiat tersebut. Gambaran bapanya inilah yang menginsafkannya. Sekali gus dengan itu menjadi suatu pendinding yang cukup ampuh memagarkannya dari melakukan kemurkaan Allah SWT itu. Kisah ini sudah cukup menggambarkan kepada kita bahawa seseorang anak yang menyedari bahawa dia telah mendapat kasih sayang yang cukup dari ibu bapanya, memiliki kekuatan setelah memahami nasihat dan tunjuk ajar yang pernah diterimanya dari orang tuanya dalam menghadapi sesuatu keadaan dengan baik. Kekuatan ajaran bapanya yang baik-baik tersemat di dalam jiwa anak itu akan menjadi senjata yang kuat untuk tidak terpengaruh dengan ajakan atau momokan yang kotor tersebut.


Soalnya bagaimanakah pula seseorang anak yang tidak memperolehi kasih sayang daripada orang tuanya boleh berhadapan dengan cabaran-cabaran sebegini?? Kita lihat sajalah dalam masyarakat kita hari ini. Terdapat ramainya muda mudi yang menjadi sampah masyarakat kerana ketandusan kasih sayang ini. Mereka ini sebenarnya dahagakan suatu kasih sayang yang telah diabaikan oleh masyarakat terhadapnya.


Ayat 25:


وَاسُتَبَقَا الْبَابَ وَقَدَّتْ قَمِيصَهُ مِن دُبُرٍ وَأَلْفَيَا سَيِّدَهَا لَدَى الْبَابِ قَالَتْ مَا جَزَاء مَنْ أَرَادَ بِأَهْلِكَ سُوَءًا إِلاَّ أَن يُسْجَنَ أَوْ عَذَابٌ أَلِيمٌ (25)


25) Dan mereka berdua pun berkejaran ke pintu, serta perempuan itu menarik baju Yusuf dari belakang; lalu terserempaklah keduanya dengan suami perempuan yang mengoyakkan itu di muka pintu. Tiba-tiba perempuan itu berkata (kepada suaminya): Tidak ada balasan bagi orang yang mahu membuat jahat terhadap isterimu melainkan dipenjarakan dia atau dikenakan azab yang menyeksanya".


TAFSIR


Perasaan gelora perempuan tersebut yang menghantuinya telah menyebabkan ia berkejar mengejar Yusuf. Apabila ia tidak berjaya kerana terserempak dengan suaminya yang secara tiba-tiba sahaja balik dan berada di muka pintu tersebut. Ia terus menutup kejahatannya itu dengan menuduh Yusuf yang bersalah. Ia menuduh Yusuf yang menggoda dan mengasarinya.


HURAIAN


Dalam menggambarkan jalan keluar dari tekanan isteri pembesar tersebut yang bakal dilalui oleh Yusuf, al-Qur’an terlebih dahulu dalam susunan cerita secara kronologinya menggambarkan kemuncak keinginan syahwat Zulaikha, lantaran beliau adalah seorang perempuan yang mempunyai kuasa terhadap orang suruhannya Yusuf yang tunduk dan menghormatinya, Zulaikha telah melakukan satu kekasaran yang melanggar ketatasusilaannya sebagai seorang isteri pembesar yang sepatutnya mestilah bertingkahlaku halus dan lembut. Tetapi ujian baru kepada Yusuf sebelum ia keluar dari tekanan Zulaikha itu ialah siapakah yang akan mempercayainya kerana semua pihak mengenali Zulaikha dalam bentuk hati, perasaan dan sikapnya sebagai perempuan yang penuh dengan kelembutan dan penyayang. Dan dengan sifat yang dizahirkan inilah, kekerasan Zulaikha yang menimpa Yusuf itu berjaya diselubungi pula olehnya.


Di sini, cebisan pengajaran yang dapat diambil ialah tentang kerakusan golongan elit yang melakukan kesalahan dan menudingkan kesalahan itu kepada golongan yang lemah sepertimana yang dipaparkan dalam ayat-ayat ini adalah suatu paparan yang akan kita temui dalam kehidupan masyarakat di sepanjang zaman.


Ayat 26:


قَالَ هِيَ رَاوَدَتْنِي عَن نَّفْسِي وَشَهِدَ شَاهِدٌ مِّنْ أَهْلِهَا إِن كَانَ قَمِيصُهُ قُدَّ مِن قُبُلٍ فَصَدَقَتْ وَهُوَ مِنَ الكَاذِبِينَ (26)


26) Yusuf pula berkata: "Dialah yang memujukku berkehendakkan diriku". (Suaminya tercengang mendengarnya) dan seorang dari keluarga perempuan itu (yang ada bersama-sama) tampil memberi pendapatnya dengan berkata:" "Jika baju Yusuf koyak dari depan maka benarlah tuduhan perempuan itu, dan menjadilah Yusuf dari orang-orang yang dusta.


TAFSIR


Yusuf pula menerangkan cerita sebenar yang berlaku. Sekali gus dengan itu, menolak tuduhan Zulaikha terhadapnya dan membersihkan dirinya dari celaan yang bakal dilemparkan terhadapnya.


Teman menteri itu berkata kepada menteri tersebut agar meneliti dengan teliti dua keterangan yang berbeza dengan menilai bukti-bukti yang didapati. Ia memberikan panduan yang sangat bijak dalam mengukur siapakah yang salah kepada menteri tersebut dengan berkata: Sekiranya koyak itu di hadapan, bererti Yusuf yang berkeiginan untuk menundukkan Zulaikha dan ini bererti Yusuf yang memulakan yang mana Zulaikha itu membantah, maka Yusuf adalah di pihak yang salah manakala Zulaikha adalah di pihak yang benar.


HURAIAN


Sesungguhnya berkata benar dan membela diri dalam perkara yang benar adalah dituntut, sabda Rasulullah S.A.W:


))قل الحق ولو كان مرا((


Ertinya: Berkatalah benar sekalipun iannya pahit.


Menurut ulama tafsir, mereka menghuraikan ayat; ‘wa syahida syaahidun min ahliha’
وَشَهِدَ شَاهِدٌ مِّنْ أَهْلِهَا adalah kawan baik bapa angkatnya. Beliau juga merupakan keluarga Zulaikha. Ia dikenali di dalam masyarakat kerana kebijaksaannya. Al-Qur’an menyebutkan kebijaksanaannya dengan catatan yang akan disebut berpanjangan tentang bagaimana ia mengemukakan suatu pandangan yang sangat bijak, ia dapat mendedah sesuatu kebenaran berdasarkan bukti yang boleh diterima oleh akal yang sihat dan diterima ilmu pengetahuan iaitu sepertimana yang diperjelaskan pada ayat di bawah:


Ayat 27:


وَإِنْ كَانَ قَمِيصُهُ قُدَّ مِن دُبُرٍ فَكَذَبَتْ وَهُوَ مِن الصَّادِقِينَ (27)


27) Dan jika bajunya koyak dari belakang, maka dustalah perempuan itu, dan Yusuf adalah dari orang-orang yang benar".


TAFSIR


Sekiranya koyak itu di belakang, bererti Zulaikha yang menangkap Yusuf dan ini menerangkan Zulaikha yang memulakan dan manakala Yusuf membantah, nescaya Yusuf adalah di pihak yang benar manakala Zulaikha adalah di pihak yang salah.


HURAIAN


Dengan melihatkan kesan koyak itu, dapatlah diketahui dan difahami siapakah yang melakukan kesalahan. Sekiranya koyak itu di belakang, bererti Zulaikha yang menangkap Yusuf yang mana dapat difahamkan bahawa Zulaikha yang memulakan dan Yusuf membantah, maka Yusuf adalah di pihak yang benar manakala Zulaikha adalah di pihak yang salah. Inilah yang dikatakan keterangan. Sesungguhnya keterangan adalah dipakai dalam mensabitkan seseorang itu benar ataupun salah.


Ayat 28:


فَلَمَّا رَأَى قَمِيصَهُ قُدَّ مِن دُبُرٍ قَالَ إِنَّهُ مِن كَيْدِكُنَّ إِنَّ كَيْدَكُنَّ عَظِيمٌ (28)


28) Setelah suaminya melihat baju Yusuf koyak dari belakang, berkatalah ia: "Sesungguhnya ini adalah dari tipu daya kamu orang-orang perempuan; sesungguhnya tipu daya kamu amatlah besar pengaruhnya.


TAFSIR


Setelah suaminya menyelidiki dan melihat baju Yusuf koyak dari belakang, maka fahamlah ia bahawa yang demikian itu adalah dari tipudaya isterinya. Fahamlah ia bahawa isterinya sendiri ingin memperdayakannya




HURAIAN


Kebiasaannya, percakapan perempuan lebih mudah dipercayai berbanding dengan percakapan lelaki yang sering kali kita pertikaikan, tetapi setiap kelaziman itu tidaklah semestinya benar bahkan seringkali juga menatijahkan sebaliknya.


Maka hukuman yang diputuskan berdasarkan pandangan kelaziman zahirnya semata-mata akan seringkali menatijahkan kepada kepalsuan. Setelah mereka mengetahui dengan yakin berdasarkan bukti yang jelas apakah sikap mereka? Allah SWT menjelaskan:


Ayat 29:


يُوسُفُ أَعْرِضْ عَنْ هَذَا وَاسْتَغْفِرِي لِذَنبِكِ إِنَّكِ كُنتِ مِنَ الْخَاطِئِينَ (29)


29) Wahai Yusuf, lupakanlah hal ini. Dan engkau (Wahai Zulaikha), mintalah ampun bagi dosamu, sesungguhnya engkau adalah dari orang-orang yang bersalah!"


TAFSIR


Al-Aziz telah meminta agar Yusuf melupakan dan menyembunyikan kesalahan isterinya. Dia yang dayus ini juga membiarkan isterinya melakukan kejahatan di dalam rumahnya tanpa menghukum kesalahan isterinya itu.


HURAIAN


Al-Aziz juga dikira sebagai pemimpin yang lemah di dalam rumahtangga apabila ia meminta kepada Nabi Yusuf supaya Yusuf menyembunyikan kesilapan isterinya. Nasihatnya kepada Yusuf itu bererti memberikan peluang kepada isterinya yang jahat itu mengulangi atau meneruskan perbuatan jahatnya itu.


Suami yang sebenarnya mestilah memberi atau melakukan hukuman dengan cara yang penuh bijaksana kepada isterinya yang jelas mengkhianatinya itu agar ia menjadi pengajaran yang berguna dan benar-benar menginsafkannya. Agar dengan itu, ia tidak akan mengulangi lagi kesalahan tersebut


Tanpa hukuman dari suaminya, maka bagi isteri menteri tersebut, apatah lagi dengan segala kesenangan yang ada padanya itu tidaklah sulit baginya melakukan langkah-langkah yang perlu bagi menjaga nama dan pengaruhnya yang besar di mata ramai untuk menyusun suatu konspirasi yang bertujuan menyembunyikan kejahatannya dan menudung kesilapannya di masa terdesak dengan melemparkan tuduhan jahat yang tidak berasas terhadap sesiapa saja yang boleh menjadi mangsa bagi tujuan mengabui mata orang lain.


Namun begitu, hakikatnya yang sering kita lihat secara realiti dengan mudah di dalam masyarakat ialah setiap peristiwa adalah berita. Oleh sebab itulah, walaupun Zulaikha cuba menyembunyikan peristiwa yang mendedahkan perasaannya yang sebenar, tetapi tetap ada manusia yang mengetahuinya.


Dalam perbahasan hukum fiqh, ayat ini menerangkan kepada kita bagaimana evidence, selagi mana ianya soheh dan tidak dipertikaikan, adalah sesuatu yang diakui dan dipakai terima dalam mensabit seseorang itu salah atau tidak. Kebijaksanaan dan kepakaran seseorang juga diakui dalam menentukan perkara yang sama.


Dalam kisah saksi dari saudara Zulaikha yang menemani Aziz ini, al-Qur’an menggambarkan bagaimana sesuatu penipuan itu akan diketahui sebagai penipuan bilamana seseorang itu memiliki skill-skill tertentu untuk mengukurnya kerana kepalsuan itu adalah senget dari yang benar.


Ayat 30:


وَقَالَ نِسْوَةٌ فِي الْمَدِينَةِ امْرَأَةُ الْعَزِيزِ تُرَاوِدُ فَتَاهَا عَن نَّفْسِهِ قَدْ شَغَفَهَا حُبًّا إِنَّا لَنَرَاهَا فِي ضَلاَلٍ مُّبِينٍ (30)


30) Dan (sesudah itu) perempuan-perempuan di bandar Mesir (mencaci hal Zulaikha dengan) berkata: Isteri Al-Aziz itu memujuk hambanya (Yusuf) berkehendakkan dirinya, sesungguhnya cintanya (kepada Yusuf) itu sudahlah meresap ke dalam lipatan hatinya; sesungguhnya kami memandangnya berada dalam kesesatan yang nyata."


TAFSIR


Kesalahan Zulaikha yang sangat-sangat ia bimbangkan itu akhirnya pecah dan diketahui oleh kebanyakan orang. Pihak luar rumahnya seperti rakan-rakan yang sudah biasa dengannya dan mengetahui perangai buruknya turut memperkatakan dan mencemuhnya.


HURAIAN


Mungkin orang bertanya bagaimana peristiwa tersebut diketahui oleh orang ramai. Ayat ini mendedah suatu hakikat yang menjadi sunnatullah dalam sesuatu sosial iaitu walaupun suatu penipuan itu cuba disembunyikan tetapi ia tetap akan tersebar dalam masyarakat. Dan kejahatan itu akan dikeji termasuklah yang mengeji itu mungkin juga melakukan perbuatan tersebut. Kejahatan Zulaikha akhirnya menjadi suatu pengetahuan yang tiada rahsia lagi di dalam masyarakat tersebut, lalu mereka cuba mengeji permainan Zulaikha yang kotor itu.


Ayat 31:


فَلَمَّا سَمِعَتْ بِمَكْرِهِنَّ أَرْسَلَتْ إِلَيْهِنَّ وَأَعْتَدَتْ لَهُنَّ مُتَّكَأً وَآتَتْ كُلَّ وَاحِدَةٍ مِّنْهُنَّ سِكِّينًا وَقَالَتِ اخْرُجْ عَلَيْهِنَّ فَلَمَّا رَأَيْنَهُ أَكْبَرْنَهُ وَقَطَّعْنَ أَيْدِيَهُنَّ وَقُلْنَ حَاشَ لِلّهِ مَا هَذَا بَشَرًا إِنْ هَذَا إِلاَّ مَلَكٌ كَرِيمٌ (31)


31) Maka apabila ia (Zulaikha) mendengar cacian mereka, dia pun menjemput mereka dan menyediakan satu jamuan untuk mereka, serta memberi kepada - tiap seorang di antara mereka sebilah pisau. Dan pada ketika itu berkatalah ia (kepada Yusuf): "Keluarlah di hadapan mereka". Maka ketika mereka melihatnya, mereka tercengang melihat kecantikan parasnya, dan mereka dengan tidak sedar melukakan tangan mereka sambil berkata: "Jauhnya Allah dari kekurangan! Ini bukanlah seorang manusia, ini tidak lain melainkan malaikat yang mulia!"


TAFSIR


Ayat di atas menerangkan bilamana Zulaikha mendengar cacian mereka, dia pun menjemput isteri-isteri pembesar tersebut dan menyediakan satu jamuan untuk mereka. Dalam jamuan tersebut, ia telah menyediakan pelbagai makanan dan buah-buahan yang lazat-lazat. Bila mana mereka sudah makan makanan yang berat, buah-buah yang menjadi pembasuh mulut pula dihidangkan kepada mereka. Untuk membelahkan buah-buah tersebut, setiap mereka telah disediakan pisau yang kecil seperti mana kebiasaan kenduri kita pada masa sekarang, akan disediakan sudu dan garfu. Bilamana mereka hendak membelah buah-buah yang berada di tangan mereka, Zulaikha telah memanggil Yusuf dan memerintahkannya supaya keluar di hadapan tetamu-tetamu tersebut agar melayan mereka kalau perlukan apa-apa makanan tambahan. Maka ketika mana mereka melihatnya, mereka tercengang melihat rupa paras Yusuf yang teramat cantik itu. Dalam keadaan tidak terkawal, terpancol kata-kata dari mulut mereka: “Jauhnya Allah dari kekurangan! Ini bukanlah seorang manusia, ini tidak lain melainkan malaikat yang mulia!”.


Perkataan حَاشَ لِلّهِ (Jauhnya Allah dari kekurangan) samalah ertinya dengan perkataan Subhanallah, iaitu perkataan yang diucapkan oleh seseorang kerana terkejut atau terpegun. Lantaran besarnya perasaan terkejut dan terpegun mereka kepada Yusuf mereka berkata; “Yusuf ini bukanlah seorang manusia, ini tidak lain melainkan malaikat yang mulia!"


HURAIAN


Al-Qur’an mengisahkan bagaimana isteri-isteri pembesar yang amat condong dengan kesenangan duniawi, mereka mudah tertewas dengan perasaan mereka sendiri. Ini adalah kerana mereka melihat kenikmatan dunia dengan nafsu yang besar sehingga menyalahi yang sebenarnya. Dengan gaya yang sangat indah, al-Qur’an menggambarkan mereka sedikitpun tidak merasai kebodohan mereka terhadap sikap dan tindakan mereka itu. Walhal mereka dalam cakap-cakap mereka, telah menghukum Zulaikha sebagai orang yang bersalah kerana bernafsu kepada si anak muda yang dipeliharai di rumahnya.


Ayat 32:


قَالَتْ فَذَلِكُنَّ الَّذِي لُمْتُنَّنِي فِيهِ وَلَقَدْ رَاوَدتُّهُ عَن نَّفْسِهِ فَاسَتَعْصَمَ وَلَئِن لَّمْ يَفْعَلْ مَا آمُرُهُ لَيُسْجَنَنَّ وَلَيَكُونًا مِّنَ الصَّاغِرِينَ (32)


32) (Zulaikha) berkata: "Inilah orangnya yang kamu tempelak aku mengenainya! Sebenarnya aku telah memujuknya berkehendakkan dirinya tetapi ia menolak dan berpegang teguh kepada kesuciannya; dan demi sesungguhnya kalau ia tidak mahu melakukan apa yang aku suruh tentulah ia akan dipenjarakan, dan ia akan menjadi dari kalangan orang-orang yang hina."


TAFSIR


Lihatlah bagaimana Zulaikha cuba menghalalkan kejahatannya dengan melakukan suatu treat di hadapan kawan-kawannya. Di sini sekali lagi Zulaikha menjadikan Yusuf sebagai mangsa. Seolah-olah ia ingin berkata kepada isteri-isteri pembesar tersebut bahawa walaupun ia tewas dengan perasaannya apabila berhadapan dengan kekacakan Yusuf, tetapi itu adalah setelah dalam tempoh yang lama Yusuf tinggal bersama dengannya di sini baru sekali itulah sahaja peristiwa itu terjadi; bagaimana kamu yang baru mengenalinya sudah terpesona dengannya. Kalaulah engkau menduduki tempatku, nescaya engkau akan melakukan kejahatan yang lebih teruk dariku. Zulaikha bukan sahaja telah berjaya menghalalkan kejahatannya sahaja, malahan ia berkeinginan untuk menunjukkan kepada mereka melalui kuasa suaminya yang besar, ia mempunyai kehebatan menyembunyikan kesalahannya dan berkuasa menentukan di manakah tempat orang-orang yang tidak mematuhi cakapnya. Ia menceritakan secara terang-terangan dalam majlis makan tersebut perancangan yang akan diaturnya iaitulah sekiranya Yusuf tidak mahu melakukan apa yang disuruhnya, maka tentulah Yusuf akan dipenjarakan.


HURAIAN


Kerja menghalalkan kejahatan yang dilakukan oleh seseorang bukanlah perkara yang pelik terutamanya bilamana seseorang itu mempunyai kuasa untuk berbuat begitu, malahan ia adalah suatu perkara yang seringkali dilakukan oleh ramai orang yang bertujuan mempertahankan kedudukannya. Caranya tidak lain dan tidak bukan tentulah dengan cara mempengaruhi masyarakat melalui pendekatan yang bijak dan licin. Lihatlah betapa indahnya al-Qur’an menceritakan penyakit masyarakat di mana dalam kisah ini menceritakan berlaku di zaman Yusuf, dan sebenarnya berlaku di sepanjang zaman.


Ayat 33:


قَالَ رَبِّ السِّجْنُ أَحَبُّ إِلَيَّ مِمَّا يَدْعُونَنِي إِلَيْهِ وَإِلاَّ تَصْرِفْ عَنِّي كَيْدَهُنَّ أَصْبُ إِلَيْهِنَّ وَأَكُن مِّنَ الْجَاهِلِينَ (33)


33) Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya".


TAFSIR


Dalam mengharungi ujian hidup yang berupa perempuan yang kebanyakannya manusia akan tewas, Nabi Yusuf bertawakkal sekuat-kuatnya kepada Allah SWT.


Nabi Yusuf tidak menukarkan kemuliaan yang Allah kurniakan kepadanya dengan nafsu syahwat yang keji itu. Ia sanggup dipenjarakan asalkan ia dapat mempertahankan maruah dan tidak menjadi cair atau tewas dengan godaan tersebut.


HURAIAN


Tentulah kita boleh membayangkan bilamana seseorang yang benar dan berprinsip dalam hidup, dalam menghadapi tuduhan yang sengaja diada-adakan terhadapnya akan merasai kejijikan perancangan buruk itu, apatah lagi perancangan itu telah sengaja dibuat oleh seorang yang amat dihormati sebelumnya. Yusuf telah bertekad untuk mempertahankan maruahnya walaupun di hadapan mahkamah yang sudah tidak lagi memperdaulatkan keadilan sebagaimana sepatutnya. Maka ia menyedari ia perlu bersedia melalui satu lagi ujian berat yang begitu asing kepadanya. Dalam ujian ini, belum tentu ia akan memperolehi untung yang pasti akan berpihak kepadanya. Bagi sesetengah golongan yang suka mengambil jalan mudah akan menyoal tiada lagikah jalan keluar yang lain lagi baginya sehingga memohon dari Allah jalan yang sebegitu sempit?? Tetapi bagi golongan yang memahami erti maruah yang perlu diperjuangkan dengan mudah akan dapat memahami bahawa doa yang dipanjatkan ini tentulah menunjukkan tekad dan ketabahan Yusuf yang tidak berbelah bagi lagi. Pendirian seorang hamba yang tabah ialah menyerahkan dirinya kepada Allah SWT semata-mata tanpa menghiraukan perasaan takut yang cuba menguasainya. Berjayanya orang-orang yang bersifat begini disebut oleh Allah:
          •          •     
Al maidah 55-56
Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan shalat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah).(55)Dan barangsiapa mengambil Allah, rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, Maka Sesungguhnya pengikut (agama) Allah[423] Itulah yang pasti menang.(56)


Ayat 34:


فَاسْتَجَابَ لَهُ رَبُّهُ فَصَرَفَ عَنْهُ كَيْدَهُنَّ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ (34)


34) Maka Tuhannya memperkenankan doanya, lalu dijauhkan daripadanya tipu daya mereka; sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.


TAFSIR


Setiap doa dan tawakal Nabi Yusuf tidak dipersia-siakan oleh Allah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui itu.


HURAIAN


Ayat ini menerangkan bahawa apabila seseorang hamba berhadapan dengan sesuatu ujian, tidaklah mudah baginya menghilangkan atau mengangkatkan ujian itu melainkan dengan sehabis usaha dan doa kerana apabila ujian itu diangkatkan darinya, ia akan terpaksa menghadapi ujian yang lain.


Rahmat Allah akan lebih terasa bilamana seseorang itu telah bertekad menghadapi sebarang cabaran tetapi Allah telah menyelamatkan dia dari cabaran tersebut untuk seketika bagi membiarkan tekad yang berkumpul di dalam dirinya itu masak dan matang.
Allah SWT berfirman:


                     •           


Surah At Thalaq ayat 2
Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya dia akan mengadakan baginya jalan keluar.(2)Dan memberinya rezki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.(3)




Ayat 35:


ثُمَّ بَدَا لَهُم مِّن بَعْدِ مَا رَأَوُاْ الآيَاتِ لَيَسْجُنُنَّهُ حَتَّى حِينٍ (35)


35) Kemudian timbul fikiran bagi suami perempuan itu, serta orang-orangnya hendak memenjarakan Yusuf sesudah mereka nampak tanda-tanda (yang menghendaki supaya Yusuf dijauhkan) hingga ke suatu masa.


TAFSIR


Mereka akhirnya merancang untuk memenjarakan Yusuf sesudah mereka nampak tanda-tanda yang menghendaki supaya Yusuf dijauhkan hingga ke suatu masa.


HURAIAN


Demikian masyarakat jahiliyah dengan kekebalan pada mempertahankan golongan yang elit. Tanpa mengira benar atau salah, mereka perlu dipertuankan. Dalam kebanyakan masyarakat, inilah yang dinamakan kekebalan, iaitu kekebalan nafsu mereka menerajui masyarakat. Maka kebenaran disepak-sepakkan di dalam masyarakat.


Kebenaran yang dilihat dan dirasakan oleh teman Aziz, seorang yang mempunyai bukti terhadap kebenaran Yusuf, tidak membawa erti apa-apa. Sekalipun di atas asas yang jelas dan terang, tetapi ia tidak mempunyai apa-apa kekuatan untuk membela Yusuf. Maka jadilah Yusuf pemuda yang dikenali sebelumnya sebagai seorang yang berakhlak mulia dan berilmu pengetahuan tinggi dari keluarga orang berada bertukar menjadi seorang yang dihina, dicaci dan dicemuh kerana kebenarannya telah tertutup dikambus oleh kefasikan yang perkasa.




CERITA DI DALAM PENJARA


Ayat 36:


وَدَخَلَ مَعَهُ السِّجْنَ فَتَيَانَ قَالَ أَحَدُهُمَآ إِنِّي أَرَانِي أَعْصِرُ خَمْرًا وَقَالَ الآخَرُ إِنِّي أَرَانِي أَحْمِلُ فَوْقَ رَأْسِي خُبْزًا تَأْكُلُ الطَّيْرُ مِنْهُ نَبِّئْنَا بِتَأْوِيلِهِ إِنَّا نَرَاكَ مِنَ الْمُحْسِنِينَ (36)


36) Dan masuklah bersama-samanya ke penjara dua orang khadam raja. Salah seorang di antaranya (bertanya kepada Yusuf dengan) berkata: "Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku memerah anggur ". Dan berkata pula yang seorang lagi: "Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku menjunjung roti atas kepalaku, yang sebahagiannya dimakan oleh burung." (kemudian keduanya berkata): "Terangkanlah kepada kami akan ta`birnya. Sesungguhnya kami memandangmu: dari orang-orang yang berbuat kebaikan (untuk umum)".


TAFSIR


Di antara penghuni penjara yang banyak bersahabat rapat dengannya adalah dua orang khadam raja. Pada suatu ketika, mereka bertanyakan Nabi Yusuf tentang mimpi masing-masing yang mereka perolehi malam hari. Salah seorang daripadanya bertanya kepada Nabi Yusuf akan mimpinya melihat dirinya memerah anggur manakala yang seorang lagi bertanyakan tentang dirinya yang menjunjung roti di atas kepalanya, sebahagian roti tersebut dimakan oleh burung..


HURAIAN


Satu hakikat yang sukar dipercayai tetapi benar kepada golongan yang teliti dan suka menghalusi bahawa penjara itu kadang-kadang menjadi tempat berkumpulnya pendukung-pendukung kebenaran yang menjadi mangsa manusia durjana yang berkuasa dalam masyarakat. Tanpa bukti yang kukuh, mangsa pengkhianatan, dengki dan dendam menderita di situ. Maka, tempat itu bertukar menjadi universiti untuk mereka ini mempelajari erti sabar, tabah dan gigih atau putus asa, kecewa dan akhirnya tunduk mengalah kepada ugutan.


Mangsa-mangsa penindasan yang berkumpul akan berbincang di situ, sesekali ia menjadi guru yang mengeluarkan pendapat dan pandangan, sesekali yang lain pula, ia menjadi pelajar yang menimbang-nimbang pandangan kedua dari orang lain pula. Demikianlah Nabi Yusuf dengan dua sahabat yang kerap kali bersamanya itu. Maka wujudlah perbincangan yang menghiburkan dan mempertajamkan lagi kebijaksanaan mereka.


Dua sahabat Yusuf ini adalah asalnya bekas khadam raja yang menjadi mangsa fitnah sebagaimananya juga. Setelah lama mereka bertegur sapa, maka pada suatu hari ketika mereka sedang berbincang dengan Yusuf, mereka bertanyakan Nabi Yusuf tentang mimpi masing-masing yang mereka perolehi malam hari. Salah seorang daripadanya bertanya kepada Nabi Yusuf mimpinya melihat dirinya memerah anggur manakala yang seorang lagi bertanyakan tentang dirinya yang menjunjung roti di atas kepalanya, sebahagian roti tersebut dimakan oleh burung.


Pandangan mereka yang tinggi terhadap Nabi Yusuf adalah di sebabkan watak Nabi Yusuf yang berbeza dari banduan-banduan lain. Akhlaknya, budi pekerti, tingkah laku, tutur kata dan segalanya, Nabi Yusuf adalah melebihi segala-galanya. Inilah sebenar-benar yang menarik perhatian mereka kepada mendapatkan nasihat dan penyelesaian mereka kepada Yusuf. Allah SWT berfirman:
   •   •    


Surah al an`am ayat 83
Kami tinggikan siapa yang Kami kehendaki beberapa darjat. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.


Ayat 37:


قَالَ لاَ يَأْتِيكُمَا طَعَامٌ تُرْزَقَانِهِ إِلاَّ نَبَّأْتُكُمَا بِتَأْوِيلِهِ قَبْلَ أَن يَأْتِيكُمَا ذَلِكُمَا مِمَّا عَلَّمَنِي رَبِّي إِنِّي تَرَكْتُ مِلَّةَ قَوْمٍ لاَّ يُؤْمِنُونَ بِاللّهِ وَهُم بِالآخِرَةِ هُمْ كَافِرُونَ (37)


37) Yusuf menjawab: "(Aku bukan sahaja dapat menerangkan ta`bir mimpi kamu itu, bahkan) tidak datang kepada kamu sesuatu makanan yang diberikan kepada kamu (tiap-tiap hari dalam penjara), melainkan aku juga dapat memberitahu kepada kamu akan nama dan jenisnya, sebelum ia dibawa kepada kamu. Yang demikian itu ialah sebahagian dari apa yang diajarkan kepadaku oleh Tuhanku. Dengan sebab itu aku meninggalkan ugama kaum yang tidak beriman kepada Allah serta tidak pula percayakan hari akhirat.


TAFSIR


Nabi Yusuf menjawab bahawa kurniaan Allah kepadanya bukanlah sekadar ia dapat menerangkan ta`bir mimpi mereka sahaja, bahkan ia akan menceritakan kepadanya tentang menu makanan mereka setiap hari sebelum hidangan makanan sampai kepada mereka.


HURAIAN


Yusuf menunjukkan kebolehan dan ilmu pengetahuannya bertujuan menjinakkan mereka kepadanya. Ini kerana ilmu pengetahuan sahajalah yang boleh mengubah ujian hidup yang sedang dihadapinya. Ilmu pengetahuan jugalah yang mempereratkan lagi hubungan, apatah lagi dalam kehidupan yang dalam suasana yang seperti itu, kehendak nafsu adalah terbatas.


Membincangkan tentang ilmu pengetahuan adalah pembuka jalan kepada dakwah. Dakwah pula adalah suatu kewajipan yang perlu ditunaikan terhadap masyarakat. Demikianlah Yusuf menyelami aliran pemikiran dan aqidah yang mereka anuti. Itu adalah langkah-langkah yang bijaksana kepada kejayaan dakwah yang telah dilalui Yusuf di dalam penjara.


Ayat 38:


وَاتَّبَعْتُ مِلَّةَ آبَآئِي إِبْرَاهِيمَ وَإِسْحَقَ وَيَعْقُوبَ مَا كَانَ لَنَا أَن نُّشْرِكَ بِاللّهِ مِن شَيْءٍ ذَلِكَ مِن فَضْلِ اللّهِ عَلَيْنَا وَعَلَى النَّاسِ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لاَ يَشْكُرُونَ (38)


38) "Dan aku menurut ugama bapa dan datuk nenekku: Ibrahim dan Ishak serta Yaakub. Tidaklah sepatutnya kita mempersekutukan sesuatupun dengan Allah. Mentauhid - mengesakan Allah ialah hasil dari limpah kurnia Allah kepada kita dan kepada umat manusia. Tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.


TAFSIR


Yusuf menjelaskan bahawa dia adalah penganut agama yang tauhid, agama keluarganya dan datuk neneknya, Ibrahim, Ishak serta Yaakub, agama yang mengesakan Allah. Pegangannya kepada agama tauhid ini adalah hasil dari limpah kurnia Allah kepada kita dan kepada umat manusia.


HURAIAN


Mendedahkan tentang diri kita datang dari keluarga orang baik-baik adalah satu bentuk memperkenalkan diri yang betul dan sihat.


Memulihkan masyarakat yang berjalan tempang dengan kepalsuan -kepalsuan yang bermaharaja lela- adaah suatu kewajipan. Sebab-sebab kenapa tempang itu berlaku dan bagaimana pulakah penyelesaian yang perlu dicari dan digerakkan adalah satu sambungan kepada kewajipan tadi yang perlu diperincikan dalam perbincangan dengan masyarakat. Inilah sebabnya Nabi Yusuf tidak berselindung-selindung lagi menceritakan kepada mereka tentang Tauhid dan menyeru mereka kepada meninggalkan syirik.


Ayat 39:


يَا صَاحِبَيِ السِّجْنِ أَأَرْبَابٌ مُّتَفَرِّقُونَ خَيْرٌ أَمِ اللّهُ الْوَاحِدُ الْقَهَّارُ (39)


39) "Wahai sahabatku berdua yang sepenjara, memuja dan menyembah berbilang-bilang tuhan yang bercerai-berai itukah yang lebih baik atau menyembah Allah Tuhan yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa?”


TAFSIR


Nabi Yusuf berdakwah kepada mereka dengan cara mengajak mereka menggunakan logik.


HURAIAN


Dakwah itu, di samping melalui contoh yang baik, mestilah juga melalui hujah-hujah yang logik kerana dengan cara tersebutlah akal seseorang akan menilai benar atau tidaknya sesuatu yang disampaikan oleh pendakwah.


Ayat 40:


مَا تَعْبُدُونَ مِن دُونِهِ إِلاَّ أَسْمَاء سَمَّيْتُمُوهَا أَنتُمْ وَآبَآؤُكُم مَّا أَنزَلَ اللّهُ بِهَا مِن سُلْطَانٍ إِنِ الْحُكْمُ إِلاَّ لِلّهِ أَمَرَ أَلاَّ تَعْبُدُواْ إِلاَّ إِيَّاهُ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لاَ يَعْلَمُونَ (40)


40) Apa yang kamu sembah, yang lain dari Allah, hanyalah nama-nama yang kamu menamakannya, kamu dan datuk nenek kamu, Allah tidak pernah menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya. Sebenarnya hukum (yang menentukan amal ibadat) hanyalah bagi Allah. Ia memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan Dia. Yang demikian itulah ugama yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.


TAFSIR


Nabi Yusuf terus mendetailkan perbincangan dengan menerangkan tentang konsep ketuhanan yang sebenarnya berdasarkan logik yang mudah difahami oleh mereka yang diseru.


HURAIAN


Secara umumnya menjadi kebiasaanlah mereka yang berada dalam keadaan tertekan dan terbatas begitu menghiburkan hati mereka dengan menceritakan pengalaman yang dilalui dan tentang diri mereka. Topik yang disentuh itu walaupun dengan nada bersahaja, di samping mengandungi makna kemegahan terhadap keluarganya sebagaimana lazim dilakukan oleh manusia-manusia yang baik, turut menjelaskan suatu prinsip yang sangat teguh tertanam dalam diri yang menjadi prinsip hidup yang memayungi seluruh hidupnya.


Pendekatan berhikmah dalam berdakwah dalam ayat ini ialah Yusuf tidak menjawab terus soalan tentang mimpi yang diajukan kepadanya sebaliknya menyelit-nyelitkan dengan pengajaran tentang tauhid serta menyeru mereka kepada aqidah yang betul. Menyelit-nyelitkan dengan pengajaran yang benar inilah yang menjadi suatu kebijaksanaan yang sukar dilakukan.


Peluang untuk menerangkan tentang pegangan yang betul telah digunakan sepenuhnya oleh Yusuf di samping menerangkan tentang latar belakang keluarganya yang baik dan terpilih yang perlu dijagai dan dipeliharai sebaik-baiknya.


Ayat ini juga menerangkan harus kita berbangga dengan kebaikan keluarga dan keturunan selagi mana tidak menjerumuskan kepada maksiat. Dalam perkara ini, ulama menerangkan lagi bahawa tiada apa-apa kebaikan bilamana kita berbangga dengan kebaikan keturunan padahal kebaikan itu tidak dilakukan oleh kita. Kebaikan yang pernah dilakukan atau dicapai oleh sesuatu keturunan itu perlulah dipelihara dengan meneruskan kebaikan-kebaikan yang diwarisi itu.


Menurut kebanyakan ahli tafsir, sebagaimana yang boleh difahami dari ayat di atas bahawa sebahagian penduduk Mesir di masa itu adalah kufur dan tidak beriman kepada Allah. Menurut mereka catatan yang menyebutkan bahawa pemerintahan pada masa itu adalah Islam adalah lemah kerana terdapat kesamaran pada tarikh pemerintahan tersebut. Ayat ini juga tidak menyebutkan adakah kedua-dua sahabat Yusuf ini akhirnya beriman dan menerima dakwahnya ataupun tidak. Itu tidaklah penting kerana ayat ini hanya sekadar menggambarkan peranan dakwah yang telah dilaksanakan oleh Yusuf sebagai mengisi peluang yang ada.


Ayat 41:


يَا صَاحِبَيِ السِّجْنِ أَمَّا أَحَدُكُمَا فَيَسْقِي رَبَّهُ خَمْرًا وَأَمَّا الآخَرُ فَيُصْلَبُ فَتَأْكُلُ الطَّيْرُ مِن رَّأْسِهِ قُضِيَ الأَمْرُ الَّذِي فِيهِ تَسْتَفْتِيَانِ (41)


41) "Wahai sahabatku berdua yang sepenjara! (Ta`bir mimpi kamu itu ialah): adapun salah seorang dari kamu, maka ia akan memberi minum arak kepada tuannya. Ada pun yang seorang lagi, maka ia akan dipalang, serta burung pula akan makan dari kepalanya. Telah selesailah (dan tetaplah berlakunya) perkara yang kamu tanyakan itu".


TAFSIR


Nabi Yusuf menjawab dengan menghuraikan tentang ta`bir mimpi mereka iaitulah salah seorang dari mereka iaitu yang memberi minum arak kepada tuannya, ia akan diberikan pengampunan oleh raja dan dapat bekerja semula di dapur istana manakala yang seorang lagi iaitu yang menjunjung roti lalu datang burung-burung dan terus memakan roti-roti yang dijunjungnya, maka ia tidak akan diberikan pengampunan. Ia akan dibunuh lalu dipalang di bawah jemuran matahari, maka datanglah burung-burung yang akan mematuk-matuk kepalanya.


HURAIAN


Mereka berdua telah mengetahui hukuman yang bakal mereka perolehi sebelum keputusan yang rasmi diputuskan. Seorang yang bergembira ini menunggu-nunggu hari yang dia akan selamat manakala seorang lagi yang kecewa menunggu dengan hati yang sedih menanti hari yang bakal ia akan dihukum.


Ayat 42:


وَقَالَ لِلَّذِي ظَنَّ أَنَّهُ نَاجٍ مِّنْهُمَا اذْكُرْنِي عِندَ رَبِّكَ فَأَنسَاهُ الشَّيْطَانُ ذِكْرَ رَبِّهِ فَلَبِثَ فِي السِّجْنِ بِضْعَ سِنِينَ (42)


42) Dan berkatalah Yusuf kepada orang yang ia percaya akan terselamat di antara mereka berdua: "Sebutkanlah perihalku kepada tuanmu". (Setelah orang itu dibebaskan dari penjara) maka ia dilupakan oleh syaitan untuk menyebutkan (hal Yusuf) kepada tuannya. Dengan sebab itu tinggallah Yusuf dalam penjara beberapa tahun.


TAFSIR


Mereka terus berada dalam penjara dan bersahabat baik. Setelah begitu lama, maka ditentukanlah keputusan terhadap dua sahabatnya. Memang benar, seorang telah dijatuhkan hukuman bunuh manakala yang seorang lagi dibebaskan dari tuduhan kerana tuduhan yang dilemparkan kepadanya adalah kerana dengki orang-orang istana. Apabila tuduhan itu tidak berasas dan tiada bukti, ia dipanggil balik untuk berkhidmat di istana dengan dinaikkan pangkat menjadi ketua tukang masak. Apabila tiba waktu ia akan dibebaskan, Yusuf berkata kepadanya agar menyebutkanlah perihalnya yang dizalimi tanpa apa-apa kesalahan itu kepada rajanya apabila ia berpeluang berbuat demikian semasa menghidangkan makanan kepada raja. Malangnya setelah orang itu dibebaskan dari penjara, maka ia dilupakan oleh syaitan untuk menyebukant hal Yusuf kepada rajanya. Lantaran itu, tinggallah Yusuf dalam penjara beberapa tahun dengan segala penderitaannya.


HURAIAN


Di dalam ayat di atas, dilupakan oleh syaitan bermaksud kerana kesibukan kerja buat yang terlalu diutamakan olehnya, dia meninggalkan kewajipan yang telah disanggupinya.


Ayat ini menceritakan harapan Nabi Yusuf kepada sahabatnya yang akan keluar dari penjara, lantaran terselamat dan diberikan kema`afan oleh raja kepadanya. Hukum meminta tolong orang bukan Islam adalah diharuskan. Pertolongan yang ditagih oleh Yusuf amat mudah sekali untuk ditunainya, hanya menunggu masa dan waktu yang sesuai sahaja untuk sahabatnya melakukannya kerana ia telah berada di dalam istana dan mudah pula berjumpa dengan raja tersebut. Namun begitu, malang sekali hasrat Nabi Yusuf ini tidak dipenuhi oleh sahabat tersebut.


Lupa adalah khawater syaitani (lintasan kesyaitanan). Godaan syaitan terhadap manusia itu adalah untuk melalaikan manusia dari tanggungjawab yang mesti dilakukannya. Dalam keadaan biasa, apabila sesuatu janji itu dimungkiri, orang yang dimungkiri janji itu akan merasa marah kepada orang yang memungkirinya dan tentulah akan menyebabkan perkelahian dan permusuhan. Maka memungkiri janji adalah satu sifat yang dikeji dan disifatkan satu dari sifat nifaq. Sabda Rasulullah S.A.W:


))أية المنافق ثلاثة إذا تكلم كذب وإذا وعد أخلف وإذا اؤتمن خان((


Ertinya: Tanda-tanda munafik itu tiga, apabila ia bercakap ia berbohong, apabila ia berjanji ia memungkiri janji dan apabila ia memegang amanah ia mengkhianati.


Seseorang yang lupa tidak terkena taklif - semasa ia lupa - kerana lupa itu akan terangkat taklif yang dikenakan ke atas seseorang. Rasulullah S.A.W bersabda:


))رفع القلم عن ثلاثة الصبى حتى احتلم النائم حتى يصحو المغمى عليه حتى يفيق((


Maksudnya: Diangkat al-qalaam (taklif) dengan sebab tiga perkara: Tersilap (dengan tidak disengajakan); Kanak-kanak sehingga mencapai umur baligh, orang yang tidur sehingga ia sedar ( bangkit dari tidur), orang yang pitam sehingga ia sedar.


Di dalam ayat di atas, dilupakan oleh syaitan bermaksud kerana kesibukan kerja buat yang terlalu diutamakan olehnya, dia meninggalkan kewajipan yang telah disanggupinya.


Apabila ia ingat kembali, taklif tersebut dikenakan semula ke atas mereka.


Allah SWT juga menceritakan di dalam ayat ini:


فَأَنسَاهُ الشَّيْطَانُ ذِكْرَ رَبِّهِ فَلَبِثَ فِي السِّجْنِ بِضْعَ سِنِينَ (42)


42) Maka ia dilupakan oleh syaitan untuk menyebutkan (hal Yusuf) kepada tuannya. Dengan sebab itu tinggallah Yusuf dalam penjara beberapa tahun.


Bayangkanlah kehidupan Yusuf membilang hari-hari yang dilaluinya di dalam penjara dengan penuh kepahitan itu. Masa yang bergerak pantas sangat berharga untuk mengubah manusia dan kehidupan. Masa memberikan peluang kepada manusia untuk melakukan apa sahaja kerjaya supaya manusia itu dapat berada di puncak kemegahannya, namun begitu, hidup yang dilalui pula mencabutnya dari mereka peluang-peluang yang telah tersedia dengan menjadikan manusia itu semakin tua, lemah dan ditinggalkan.


Kehidupan di dalam penjara yang bergerak perlahan-lahan tanpa mengubah apa-apa -dengan kerja yang terbatas dan dipaksa-paksa - memberikan kerehatan untuk berbincang dengan fikiran, perasaan dan jiwanya sendiri. Sesiapa yang memiliki ruh yang kuat akan dapat mengarahkan akal dan jiwanya untuk bersabar dan mengawal perasaannya. Di sini ia lebih banyak belajar tentang erti kesabaran, ketabahan, keazaman, memaafkan orang lain yang mana kelak membolehkan ia bekerja berlipat kali ganda sehingga kadang-kadang mampu menyaingi orang yang bebas bergerak dan berusaha di luar penjara. Ramai juga orang yang pernah di penjara memiliki kehidupan yang lebih besar dari orang yang tidak pernah di penjara seperti Nabi Yusuf a.s.


Orang–orang yang lemah ruhnya pula, perasaannya semasa berada di dalam penjara itu akan menjadi lebih liar sehingga kekuatannya yang berkurangan itu tidak dapat dikawal lagi. Di masa inilah ia akan ditewaskan oleh rasa putus asa dan kecewa.


Ayat 43:


وَقَالَ الْمَلِكُ إِنِّي أَرَى سَبْعَ بَقَرَاتٍ سِمَانٍ يَأْكُلُهُنَّ سَبْعٌ عِجَافٌ وَسَبْعَ سُنبُلاَتٍ خُضْرٍ وَأُخَرَ يَابِسَاتٍ يَا أَيُّهَا الْمَلأُ أَفْتُونِي فِي رُؤْيَايَ إِن كُنتُمْ لِلرُّؤْيَا تَعْبُرُونَ (43)


43) Dan (pada suatu hari) raja Mesir berkata: "Sesungguhnya aku mimpi melihat: tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus, dan aku melihat tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau dan tujuh tangkai lagi yang kering. Wahai ketua-ketua kaum (yang hadir, terangkanlah kepadaku tentang mimpiku ini, kalau kamu orang yang pandai menafsirkan mimpi".


TAFSIR


Pada suatu hari, raja Mesir yang dikatakan bernama Qatofar menceritakan kepada pembesar-pembesarnya bahawa ia mimpi melihat tujuh ekor lembu yang kurus memakan tujuh ekor lembu yang gemuk. Ia juga melihat tujuh tangkai bijian gandum yang hijau dan tujuh tangkai lagi yang kering. Justeru itu ia meminta pembesar-pembesarnya mencarikan orang yang pandai menafsirkan mimpnya itu.


HURAIAN


Lima ayat berikutnya akan menerangkan tentang mimpi yang dilihat oleh si raja ini. Satu mimpi ini mempunyai dua huraian yang berbeza yang dibuat oleh dua pihak yang menta`birkannya. Satu pihak menta`birkannya dengan betul di sebabkan pengetahuannya yang sebenar tentang perkara tersebut iaitu Nabi Yusuf a.s manakala pihak yang satu lagi menghuraikan dengan huraian yang salah dan menyedari kejahilannya. Huraian pembesar-pembesar bahawa mimpi tersebut adalah gambaran kosong yang singgah ke dalam kotak gambaran semasa tidur adalah kesilapan yang kecil berbanding dengan kesilapan orang-orang yang menta`birkan mimpi di zaman kita ini dalam keadaan dia tidak menyedari kejahilannya, tentu keburukan akan menjadi lebih teruk dari pembesar-pembesar raja itu.


Dalam kisah raja yang bermimpi ini, ayat ini amat jelas sekali menggambarkan kepada kita bahawa seseorang pemerintah tidak semestinya mengetahui semua perkara. Namun begitu, pemerintah yang baik perlulah berbincang dengan orang-orang yang tahu dan bijak mengendalikan keadaan sehingga dapat mengurus dengan baik.


Ayat 44:


قَالُواْ أَضْغَاثُ أَحْلاَمٍ وَمَا نَحْنُ بِتَأْوِيلِ الأَحْلاَمِ بِعَالِمِينَ (44)


44) Mereka menjawab: "Yang demikian itu ialah mimpi-mimpi yang bercampur-aduk, dan kami bukanlah orang-orang yang mengetahui mimpi-mimpi (yang sedemikian) itu".


TAFSIR


Pembesar-pembesar itu menganggapkan bahawa mimpi yang demikian itu adalah mimpi-mimpi yang bercampur-aduk dan karut-marut yang tidak boleh diterjemahkan secara tepat. Mereka juga mengakui bahawa mereka bukanlah orang-orang yang mengetahui mimpi-mimpi yang sedemikian itu.


HURAIAN


Mimpi di sebabkan terlalu berfikir tentang sesuatu perkara atau terlalu letih adalah mimpi yang dipengaruhi oleh keadaan badan dan tidak akan dapat diukur dengan sebenarnya. Pembesar-pembesar yang ditanyai raja tersebut membayangkan bahawa mimpi-mimpi sebeginilah yang telah mempengaruhi mimpi rajanya itu. Sebenarnya pembesar-pembesar dan penta`bir-penta`bir mimpi yang mendampinginya, sekalipun dipandang tinggi oleh masyarakat, tidaklah juga kurang jahilnya. Mereka akan meneka-neka dalam perkara yang di luar dari pengetahuan mereka, padahal lebih baik mereka mencari seorang yang lebih berpengetahuan untuk diambil manfaat darinya.


Mengakui kejahilan sendiri dalam perkara yang tidak diketahui akan menyelamatkannya dari kebinasaan.


Ayat 45:


وَقَالَ الَّذِي نَجَا مِنْهُمَا وَادَّكَرَ بَعْدَ أُمَّةٍ أَنَاْ أُنَبِّئُكُم بِتَأْوِيلِهِ فَأَرْسِلُونِ (45)


45) Dan (pada saat itu) berkatalah orang yang terselamat di antara mereka yang berdua itu, dan yang baru mengingati (akan pesanan Yusuf) sesudah berlalu suatu masa yang lanjut: "Aku akan memberi tahu kepada kamu tafsirannya. Oleh itu hantarkanlah daku pergi (kepada orang yang mengetahui tafsirannya)".


TAFSIRAN


Si tukang masak yang terselamat dan telah dipanggil balik semula ke dapur istana untuk menyediakan hidangan kepada raja ingin membuat jasa setelah melihat di situ ada jalan untuk memperolehi kepentingan dirinya sendiri.


HURAIAN


Ingatan terhadap kelalaian sahabat Nabi Yusuf yang telah dilantik menjadi tukang masak raja dan kelupaannya ini menyebabkan sehingga Nabi Yusuf yang pernah membantu dan membimbingnya ketika dalam penjara itu terpaksa menanggung sekian lama penderitaan dapat menggambarkan secara kebiasaannya hakikat persahabatan yang seringkali terjalin kepada manusia. Pudarnya kemesraan dan hilangnya kehangatan persahabatan bilamana mereka telah berpisah. Walaupun dengan tidak dapat dinafikan sekali-kali bahawa kadang-kadang ingatan terhadap kisah yang telah berlaku itu menjelma di fikiran tetapi ransangan terhadap jelmaan tersebut tidaklah sampai untuk menggerakan suatu kerja yang bermakna terhadap persahabatan itu.


Apatah lagi apabila persahabatan itu berlaku secara kebetulan tanpa melalui sebarang kepenatan dalam mengusahakannya. Menurut mufassirin, bukanlah bererti sahabat Yusuf ini melupai terus janji tersebut kerana ingatannya kepada penjara adalah suatu kenangan yang menjadi hakikat kehidupan yang pernah dilaluinya tetapi yang pasti dari itu ialah ia tidak mengotakan janji-janjinya untuk memanjangkan pengaduannya kepada raja tersebut.


Walau bagaimanapun dengan kehadiran mimpi yang tidak disangka-sangka ini, suatu ketetapan Allah yang Maha Kaya sedang berjalan mengatur kehidupan yang lebih baik untuk Nabi Yusuf a.s. Melalui perantaraannya dan usahanya untuk memohon keizinan memasuki kawasan penjara yang menjadi kawasan larangan bertujuan mendapatkan huraian tentang mimpi raja tersebut dari sahabatnya.


Lihatlah bagaimana al-Qur’an menggambarkan tukang masak itu memanggil Yusuf dengan panggilan yang meyejukkan hati Yusuf sekaligus menunjukkan keinsafannya untuk menambahkan respeknya terhadap sahabatnya yang tersangat mulia itu kerana itulah satu pendekatan yang mungkin -pada sangkaannya- membuatkan Yusuf memenuhi hajatnya.


Ayat 46:


يُوسُفُ أَيُّهَا الصِّدِّيقُ أَفْتِنَا فِي سَبْعِ بَقَرَاتٍ سِمَانٍ يَأْكُلُهُنَّ سَبْعٌ عِجَافٌ وَسَبْعِ سُنبُلاَتٍ خُضْرٍ وَأُخَرَ يَابِسَاتٍ لَّعَلِّي أَرْجِعُ إِلَى النَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَعْلَمُونَ (46)


46) (Setelah ia berjumpa dengan Yusuf, berkatalah ia): "Yusuf, wahai orang yang benar (pada segala-galanya)! Tafsirkanlah kepada kami (seorang bermimpi melihat: tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus; dan tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau serta tujuh tangkai lagi yang kering; (tafsirkanlah) supaya aku kembali kepada orang-orang yang mengutusku itu, semoga mereka dapat mengetahui tafsirannya".


TAFSIRAN


Sahabat Yusuf bertanyakan kepada Yusuf berkenaan ta`biran mimpi tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus; dan tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau serta tujuh tangkai lagi yang kering. Ia juga menjelaskan bahawa dia adalah wakil raja. Ini kerana raja tersebut berkehendakkan mengetahui tafsiran tersebut sebagaimana yang telah kita nyatakan.


HURAIAN


Lihatlah bagaimana indahnya al-Qur’an menggambarkan sahabat Yusuf yang melupai amanah yang disanggupinya. Di tika mana ia berhajat, ia datang menemui Yusuf dan bercakap dengan nada dan bahasa yang lembut sebagaimana yang telah ia lakukan ketika ia berhajat kepada yusuf dulu ketika dalam penjara. Demikianlah lumrahnya manusia, melupai amanah tetapi amat berhemah dalam mendapatkan kepentingan-kepentigan yang diingininya.


Sekurang-kurangnya dengan menjadi orang tengah, ia akan dilihat sebagai orang yang berguna dan berbuat jasa pada raja dan negara. Inilah yang dicari oleh orang-orang yang berkepentingan dan golongan yang mencari peluang.


Seterusnya Allah mengisahkan:


Ayat 47:


قَالَ تَزْرَعُونَ سَبْعَ سِنِينَ دَأَبًا فَمَا حَصَدتُّمْ فَذَرُوهُ فِي سُنبُلِهِ إِلاَّ قَلِيلاً مِّمَّا تَأْكُلُونَ (47)


47) Yusuf menjawab: "Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan.


TAFSIR


Yusuf dalam menjelaskan ta`biran mimpi tersebut, menjawab bahawa mereka hendaklah menanam dengan bersungguh-sungguh pada tujuh tahun pertama yang akan datang kerana akan datang pula selepas itu tahun-tahun kemarau yang panjang. Di sini Yusuf menceritakan bahawa gambaran lembu-lembu yang gemuk dalam mimpi tersebut adalah menghuraikan tentang tujuh tahun yang subur-subur yang akan berlaku kepada Mesir tak lama lagi. Yusuf juga, dalam penerangan itu menjelaskan bagaimana untuk menyimpan hasil tanaman tersebut supaya tahan lama iaitulah membiarkan hasil-hasil tersebut pada tangkai-tangkainya, jangan diperleraikan satu-persatu kerana yang demikian itu adalah supaya tahan lebih lama. Hasil yang boleh diperelaikan biarlah dalam jumlah yang sedikit iaitulah bahagian yang ingin dijadikan untuk makan.


HURAIAN


KEPENTINGAN MERANCANG


Bagi negara Islam, pertanian menjadi sektor yang sangat mustahak kerana ia adalah keperluan asas kepada penduduk. Tanpa menafikan kepentingan sektor-sektor lain, sektor ini tidak harus diperlekehkan sekali-kali. Walaupun sahabatnya bertanyakan tentang mimpi yang sepatutnya dita`birkan oleh Nabi Yusuf tetapi Nabi Yusuf telah menjawabnya dengan saranan yang sangat berguna iaitu agar kerajaan menanam gandum ini untuk menghadapi ancaman yang terkandung dalam rahsia mimpi raja tersebut. Saranan itu juga mengandungi pengajaran bahawa menghasilkan pendapatan yang melebihi keperluan sangat-sangat dituntut oleh Islam kerana ia dapat dimanfaatkan di masa terdesak yang kadang-kadang terjadi dalam keadaan yang tidak di sangka-sangka.


Ayat ini mengajarkan secara umum kepada kita bahawa setiap perkara memerlukan perancangan yang bijak, dan inilah ajaran Islam. Ayat ini secara spesifik memfokuskan tentang strategi ekonomi di mana ia perlulah dirancang dengan penuh bijaksana untuk memberikan kemudahan dan kebahagian kepada orang ramai. Menyimpan dan merezabkan hasil untuk digunakan di suatu masa yang masih dalam tempoh yang boleh digunakan termasuk dalam strategi yang bijaksana. Tidaklah bijak sesuatu hasil pendapatan digunakan laksana rezeki harimau.


Pada ayat di atas, kita melihat bagaimana Nabi Yusuf tidak mensyaratkan apa-apa sebelum ia memberitahu maksud mimpi raja tersebut, sekalipun ia boleh berbuat begitu kalau ia menghendakinya. Namun begitu, jemputan raja untuk mengadapnya pula dikenakan syarat secara bijaksana. Ini mungkin adalah kerana mimpi raja tersebut mempunyai rahsia yang berkait dengan masyarakat umum yang perlu dipelihara kepentingannya, dan ia perlu menunjukkan kepandaiannya supaya kebaikan-kebaikan dirinya yang terpendam akan dapat diketahui.


Ayat di atas juga mengajarkan kita bahawa pendakwah yang baik bukan sahaja menjawab soalan sekadar yang ditanyakan kepadanya sahaja malahan juga cuba menyarankan yang terbaik kepada si yang bertanya.


Jawapan yang baik ialah jawapan yang memberikan kefahaman yang jelas kepada orang yang bertanya.


Seterusnya marilah kita mengambil pengajaran dari kata-kata Yusuf:


فَمَا حَصَدتُّمْ فَذَرُوهُ فِي سُنبُلِهِ إِلاَّ قَلِيلاً مِّمَّا تَأْكُلُونَ
Ertinya:Kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan.


Dalam penerangan ini, Yusuf menjelaskan bagaimana menyimpan hasil tanaman tersebut supaya tahan lama. Pengetahuan ini biasanya adalah menjadi rahsia peladang-peladang yang mahir. Bagaimana untuk menghalang angin daripada merosakkan biji atau buah hasil tanaman supaya dengan itu hasil tersebut boleh tahan lebih lama ialah dengan membiarkan hasil-hasil tersebut pada tangkai-tangkainya dan jangan diperelaikan satu-persatu kerana pada tangkainya ada penapis yang mencegah angin perosak tersebut. Maka dengan cara yang demikian itu akan menjadikan buah dapat tahan lebih lama. Itu adalah suatu sistem yang Allah SWT jadikan pada tanam-tanaman untuk menandakan kebesaranNya.


Nabi Yusuf juga menbuat pendetailan tentang kuantiti yang perlu dileraikan. Jumlahnya biarlah berpada-pada sekira-kira untuk dimakan dan tidak menyebabkan pembaziran.
Firman Allah SWT:


         • 
Surah al-Israa’ ayat 26


Maksudnya: Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang dekat akan haknya, kepada orang miskin dan orang yang dalam perjalanan dan janganlah kamu menghambur-hamburkan (hartamu) secara boros.


Firman Allah lagi:
•          
Surah al-Israa’ ayat 27


Bermaksud: Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.


Ayat 48:


ثُمَّ يَأْتِي مِن بَعْدِ ذَلِكَ سَبْعٌ شِدَادٌ يَأْكُلْنَ مَا قَدَّمْتُمْ لَهُنَّ إِلاَّ قَلِيلاً مِّمَّا تُحْصِنُونَ (48)


48) Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemaraun yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).


TAFSIR


Dalam ta`bir mimpi, seekor lembu ertinya setahun. Tujuh ekor lembu ertinya tujuh tahun.
Tujuh tahun kemarau yang besar dan panjang itu adalah huraian daripada mimpi tentang lembu yang kurus-kurus. Tempoh kemarau yang panjang ini akan menghabiskan makanan yang mereka usahakan pada tujuh tahun terdahulu.


HURAIAN


Dalam ayat ini, diterangkan kepada kita betapa Islam amat menekankan dan mementing supaya kita mengambil langkah berjaga-jaga terhadap ancaman yang difikirkan bakal menimpa masyarakat kita. Lihatlah beberapa pesanan Rasulullah SAW:


لا يلدغ المؤمن من حجر واحد مرتين
Bermaksud: Tidak (terkena) dipatuk seorang mukmin itu sebanyak dua kali dari satu lubang (yang sama).


Sabda Rasulullah SAW


إن الله يحب العبد إذا عمل عملا فأتقنه
Ertinya: Sesungguhnya Allah SWT amat menyukai hambanya yang apabila melakukan sesuatu pekerjaan, ia memperelokkannya.


Dari saranan Rasulullah SAW, dapatlah kita memahami betapa perlu wujud sebahagian harta yang disimpan untuk dijadikan reserve. Ia boleh digunakan dalam keadaan-keadaan terdesak yang tidak pernah dijangka-jangka oleh kita.


Lihatlah apa yang telah ditegaskan oleh Rasulullah SAW.
ما ملأ ابن آدم وعاء شر من بطنه , حسب ابن آدم أكلات يقمن صلبه فإن كان لا محالة فثلث لطعامه وثلث لشرابه و ثلث لنفسه
Maksudnya: Tidak Anak Adam itu memenuhi bekas yang lebih hina dari perutnya. Memadailah anak Adam itu makan beberapa suap yang membolehkan berdiri tulang belakang( boleh bekerja kuat) sekiranya ia tidak mampu melakukan ( makan yang sedikit itu, ) maka hendaklah ( ia membahagikan perutnya) sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya, sepertiga untuk dirinya( di biarkan kosong)
Perut perlu di bahagikan kepada tiga bahagian. Demikianlah juga harta perlu di bahagikan kepada tiga bahagian juga. Sebahagian untuk di gunakan sebagai keperluan sehari-harian. Sebahagian lagi perlu di pusing-pusingkan dalam bentuk perniagaan dan pelaburan manakala sebahagian yang lain perlu di simpan sebagai persiapan semasa terdesak. Allah juga melarang pembaziran dengan firmanNya:


وكُلُواْ وَاشْرَبُواْ وَلاَ تُسْرِفُواْ إِنَّهُ لاَ يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
Yang bermaksud: Dan makan, minumlah, dan jangan membazir. SesungguhNya (Allah ) tidak sukakan kepada mereka yang membazir


Sekiranya perkara ini diabaikan, maka kerosakan yang lebih besar pasti akan berlaku. Mengetahui kelemahan dan membuat persiapan untuk menghadapinya amatlah penting kepada seorang pentadbir yang berjaya.
Allah SWT sentiasa memerintah hamba-hambanya agar sentiasa membuat persiapan untuk menghadapi apa-apa kemungkinan yang tidak di sangka-sangka.FirmanNya:
  •         •  •                     
Surah al-Anfal ayat 60
Yang bermaksud: Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan orang orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah niscaya akan dibalasi dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).


Firman Allah lagi:


•   •   •   
Surah al-Baqarah ayat 197
Ertinya: Berbekallah, dan Sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal.


Ayat ini memerintahkan agar kita sentiasa membuat persiapan. Sebaik-baik bekalan untuk ke akhirat ialah taqwa. Untuk kehidupan dunia yang menuju kepada taqwa itu pula, ada banyak bekalan yang perlu dilakukan.


Ayat 49:


ثُمَّ يَأْتِي مِن بَعْدِ ذَلِكَ عَامٌ فِيهِ يُغَاثُ النَّاسُ وَفِيهِ يَعْصِرُونَ (49)


49) "Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)".


TAFSIR


Yusuf turut menerangkan kepada mereka bahawa kemarau yang panjang itu akan berakhir dengan turunnya hujan. Pada waktu itu, wajah-wajah mereka akan ceria melihatkan negara mereka kembali mengeluarkan hasil mahsul yang baik kepada mereka.


HURAIAN


Ayat di atas menerangkan tentang betapa mendalam dan detailnya pengetahuan Yusuf tentang ilmu ta`bir mimipi tersebut.


Ayat ini menjelaskan bahawa perkara yang akan berlaku di masa hadapan, tidak semestinya tidak akan atau tidak boleh diketahui. Ia boleh diketahui atau diramalkan secara ilmu. Ilmu akan menghuraikan secara tanda-tanda, symptom-symton, indicator dan sebagainya lagi. Ini semuanya bertujuan untuk memandu manusia yang cerdik kepada merancang untuk mengurus secara betul.


Rahmat Allah yang Maha Luas tidak akan membiarkan manusia berada lama dalam sengsara. Firman Allah:
                      •       •     
Surah al-A`raf 156
Bererti: Dan tetapkanlah untuk kami kebajikan di dunia Ini dan di akhirat; Sesungguhnya kami kembali (bertaubat) kepada Engkau. Allah berfirman: "Siksa-Ku akan Kutimpakan kepada siapa yang Aku kehendaki dan rahmat-Ku meliputi segala sesuatu. Maka akan Aku tetapkan rahmat-Ku untuk orang-orang yang bertakwa, yang menunaikan zakat dan orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat kami".-Surah Al A`raf 156


Maka dengan itu Allah SWT mengajarkan kepada kita agar kita sentiasa memanjatkan doa kepadaNya dengan firmanNya:


               •       •     


Maksudnya: (Malaikat-malaikat) yang memikul 'Arsy dan malaikat yang berada di sekelilingnya bertasbih memuji Tuhannya dan mereka beriman kepada-Nya serta memintakan ampun bagi orang-orang yang beriman (seraya mengucapkan): "Ya Tuhan kami, rahmat dan ilmu Engkau meliputi segala sesuatu, Maka berilah ampunan kepada orang-orang yang bertaubat dan mengikuti jalan Engkau dan peliharalah mereka dari siksaan neraka yang menyala-nyala,(Surah Ghafir/ Al Mukmin ayat 7)


Allah SWT juga menggesa supaya kita memohon rahmat dariNya dengan firmanNya:
             •    •      
Surah az-Zumar ayat 53:
Yang bermaksud: Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.


Ayat 50:


وَقَالَ الْمَلِكُ ائْتُونِي بِهِ فَلَمَّا جَاءهُ الرَّسُولُ قَالَ ارْجِعْ إِلَى رَبِّكَ فَاسْأَلْهُ مَا بَالُ النِّسْوَةِ اللاَّتِي قَطَّعْنَ أَيْدِيَهُنَّ إِنَّ رَبِّي بِكَيْدِهِنَّ عَلِيمٌ (50)


50) Dan (apabila mendengar tafsiran itu) berkatalah raja Mesir: "Bawalah dia kepadaku!” Maka tatkata utusan raja datang kepada Yusuf (menjemputnya mengadap raja), Yusuf berkata kepadanya: “Kembalilah kepada tuanmu kemudian bertanyalah kepadanya: "Apa halnya perempuan-perempuan yang melukakan tangan mereka? Sesungguhnya Tuhanku Maha Mengetahui tipu daya mereka".


TAFSIR


Setelah mana sahabat yang bertanyakan Yusuf itu memperolehi jawapan, ia kembali menemui raja yang menyatakan jawapan yang diperolehinya. Apabila raja mendengar huraian mimpi yang begitu menakjubkan, raja tersebut telah memerintahkan supaya Nabi Yusuf dibawa mengadap. Maka tatkata utusan raja menjemput Yusuf di dalam penjara untuk dibawa mengadap raja, Yusuf berkata kepada pegawai tersebut bahawa ia tidak mahu menerima penghormatan tersebut melainkan setelah mana kesalahan yang sebenarnya didedahkan dan dihentikan kezaliman ke atas dirinya yang tidak bersalah dengan berkata “Kembalilah kepada tuanmu kemudian bertanyalah kepadanya: "Lihatlah tipu daya dan muslihat berkaitan perempuan-perempuan yang melukakan tangan mereka itu, dan hukumlah mereka yang sebenarnya bersalah kerana mereka mengetahui kebenaran dan menyembunyikannya sehingga ia terpenjara di sini. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui tipu daya mereka".


HURAIAN


Di dalam ayat ini, tentu sekali kita dapat mempelajari dengan jelas tentang harga diri dan ketinggian maruah Yusuf. Beliau menolak jemputan untuk mengadap raja kerana apalah gunanya menerima jemputan mengadap raja untuk rela dipergunakan padahal kebenaran tetap juga diperlekeh dan diinjak-injakkan, manakala kepalsuan pula dibiarkan bebas sewenang-wenangnya. Kebenaran dan kepalsuan perlulah dinyatakan kepada masyarakat dengan sejelas-jelasnya. Dengan ini, Yusuf hanya ingin memberitahu kepada mereka bahawa ia telah dizalimi oleh mereka yang lebih kuat darinya padahal di hari ia dizalimi, ia adalah insan kerdil yang lemah dan tidak mempunyai kelebihan apa-apa.


Nabi Yusuf mahu mengembalikan kebenaran daripada tuannya. Ia mahu ia dibebaskan dari penjara kerana kebenaran dan keadilan, bukannya semata-mata kerana kuasa raja yang dapat dipengaruhinya. Pengaruh yang bukan pada tempat yang sebenarnya tidak lebih hanyalah akan terus merosakkan kebenaran itu sendiri. Inilah pegangan orang-orang yang tabah. Sebaliknya dewasa ini, kita melihat terlalu ramai kaki-kaki bodek yang mengampu. Kehidupan mereka adalah untuk berdampingan dengan golongan yang boleh memberikan habuan yang lebih banyak kepada mereka tanpa mengambil kira sesuatu itu benar atau palsu.


Ayat 51:


قَالَ مَا خَطْبُكُنَّ إِذْ رَاوَدتُّنَّ يُوسُفَ عَن نَّفْسِهِ قُلْنَ حَاشَ لِلّهِ مَا عَلِمْنَا عَلَيْهِ مِن سُوءٍ قَالَتِ امْرَأَةُ الْعَزِيزِ الآنَ حَصْحَصَ الْحَقُّ أَنَاْ رَاوَدتُّهُ عَن نَّفْسِهِ وَإِنَّهُ لَمِنَ الصَّادِقِينَ (51)


51) (Setelah perempuan-perempuan itu dipanggil), raja bertanya kepada mereka: "Apahal kamu, semasa kamu memujuk Yusuf mengenai dirinya?" Mereka menjawab: “JauhNya Allah dari segala cacat cela, kami tidak mengetahui sesuatu kejahatan terhadap Yusuf". Isteri al-Aziz pun berkata: "Sekarang ternyatalah kebenaran (yang selama ini tersembunyi), akulah yang memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya (tetapi ia telah menolak); dan sesungguhnya adalah ia dari orang-orang yang benar.


TAFSIR


Hal keadaan Yusuf yang menolak penghormatan raja kepadanya amat memeranjatkan semua pihak. Di sebabkan mereka berhajatkan kepada penerangan Yusuf, akhirnya mereka terpaksa memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh Yusuf. Bukti-bukti yang dibawa oleh Menteri dan keluarganya yang dulunya kuat dan kebal tentulah pada hari ini menjadi kecil dan keterangannya adalah berlawanan antara satu sama lain di sebabkan arahan raja yang inginkan kebenarannya yang sebenarnya. Ini kerana arahan si raja dan kuasanya mengatasi segala hasrat dan keinginan menteri-menterinya. Apabila keadilan untuk menunggu waktu dan ketikanya saja untuk ditegakkan, maka isteri-isteri yang menghadiri jemputan Zulaikha dipanggil semula untuk menjadi saksi terhadap rancangan dan tipu muslihat Zulaikha. Di hari tersebut, saksi-saksi yang telah sekian lama membisu melihat kepalsuan bermaharajalela bersuara menyatakan “JauhNya Allah dari segala cacat cela, kami tidak mengetahui sesuatu kejahatan pun yang telah dilakukan olehYusuf". Isteri al-Aziz juga mengakui kesilapannya dengan mengatakan: "Sekarang ternyatalah kebenaran (yang selama ini tersembunyi), akulah yang memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya (tetapi ia telah menolak); dan sesungguhnya adalah ia dari orang-orang yang benar. Maka bebaslah Yusuf dari segala nesta yang menimpa dirinya.


HURAIAN


Dalam ayat ini, kita dapat melihat bagaimana apabila suatu kepalsuan itu perlu dibongkarkan dan kebenaran akan terserlah jua tetapi mestilah dengan harga yang mahal. Perempuan-perempuan itu akhirnya menceritakan kisah sebenarnya dan mendedahkan hakikat sebenar bahawa ada manusia yang terpenjara padahal ia menjadi mangsa kezaliman manusia yang kuat dan pejal dengan kuasa.


Pada hari terserlah segala kebenaran, kebodohan menteri yang menyuruhnya menyembunyikan kesilapan isteri tidak akan dapat ditudung-tudung lagi ketika ia dengan kuasa menterinya menyebutkan:


. يُوسُفُ أَعْرِضْ عَنْ هَذَا


Ertinya: “Wahai Yusuf, lupakanlah hal ini”.


Tetapi malangnya di sini, sekali lagi kita dapat melihat orang-orang yang besar seperti Zulaikha tetap kebal dan tidak dihukum apa-apa.


Sekadar catatan, ada perlunya juga disebutkan di sini bahawa menurut ulama tafsir, Zulaikha ini akhirnya insaf dan bertaubat. Ia menjadi seorang perempuan yang baik di akhir hayatnya. Ia telah diambil oleh Nabi Yusuf sebagai isteri setelah lama ia menjanda dan memperolehi dua orang anak perempuan. Di masa itu, Nabi Yusuf telah menjadi Menteri Perbendaharaan Harta.


Hal ini dapat kita faham apabila kita memiliki penghayatan terhadap firman Allah SWT di bawah:


وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُواْ فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُواْ أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُواْ اللّهَ فَاسْتَغْفَرُواْ لِذُنُوبِهِمْ وَمَن يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ اللّهُ وَلَمْ يُصِرُّواْ عَلَى مَا فَعَلُواْ وَهُمْ يَعْلَمُونَ (135)
(Surah al-Imran: 135)


Maksudnya: Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiayai diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampukan dosa-dosa melainkan Allah - , dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahuinya (akan salahnya dan akibatnya).


Keinsafan dan taubatlah yang mengubah manusia kearah yang baik.


Ayat 52:


ذَلِكَ لِيَعْلَمَ أَنِّي لَمْ أَخُنْهُ بِالْغَيْبِ وَأَنَّ اللّهَ لاَ يَهْدِي كَيْدَ الْخَائِنِينَ (52)


52) “(Pengakuanku) yang demikian supaya ia mengetahui, bahawa aku tidak mengkhianatinya semasa ia tidak hadir (bersama di sini); dan bahawa Allah tidak menjayakan tipu daya orang-orang khianat.


TAFSIR


Nabi Yusuf mempertegaskan prinsip yang diimaninya bahawa dirinya tidak mengkhianati bapa angkatnya yang amat berjasa kepadanya. Ia tidak melakukan kerja sumbang dengan ibu angkat tersebut ketika ketiadaan suaminya. Ia kerana Yusuf amat berkeyakinan bahawa segala helah dan tipu daya orang yang khianat tidak akan berjaya sekali-kali.


HURAIAN


Dalam kisah ini, kita tentulah dapat melihat keberanian Nabi Yusuf dan kesetiaannya pada prinsip yang diimaninya meskipun ia diuji dengan satu ujian yang bagi kebanyakan manusia biasa pasti akan tewas tetapi tidak kepada Nabi Yusuf.


Dalam ayat ini, kita dapat melihat bagaimana beliau dengan berani mempertegaskan bahawa dirinya bukanlah mengkhianati apa-apa amanah yang dipegangnya.


Perbuatan mengkhinati adalah satu perbuatan keji yang telah dinyataka oleh Allah SWT iaitu sebagaimana yang difirmankanNya:
           
Surah al-Anfal ayat 27:
Ertinya: Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu Mengetahui.
•          •     
Surah al-Anfal ayat 58:
Maksudnya: Dan jika kamu khawatir akan (terjadinya) pengkhianatan dari suatu golongan, maka kembalikanlah perjanjian itu kepada mereka dengan cara yang jujur. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berkhianat.


        •    •   
Surah al-Hajj ayat 38:
Bermaksud: Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang telah beriman. Sesungguhnya Allah tidak menyukai tiap-tiap orang yang berkhianat lagi mengingkari nikmat.
       •        
Surah an-Nisaa’ ayat 107:
Maksudnya: Dan janganlah kamu berdebat (untuk membela) orang-orang yang mengkhianati dirinya. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang selalu berkhianat lagi bergelimang dosa,


Penegasan bahawa ia bukanlah pengkhianat bukanlah kata-kata manis yang diungkapkannya pada awal ujian yang bertujuan membawa keyakinanan kepada sesuatu yang belum pasti, tetapi diungkapkan setelah ia benar-benar berjaya dalam ujian tersebut. Dalam situasi yang seperti ini, tentulah ungkapan tersebut dinyatakan oleh Yusuf dalam bentuk yang merendah diri. Inilah yang dikatakan tekad dengan prinsip.


Demikianlah contohnya orang-orang yang berani dan orang-orang yang mempunyai prinsip yang bertunjang kepada Allah yang Maha Esa di dalam hatinya.


Ayat 53:


وَمَا أُبَرِّىءُ نَفْسِي إِنَّ النَّفْسَ لأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلاَّ مَا رَحِمَ رَبِّيَ إِنَّ رَبِّي غَفُورٌ رَّحِيمٌ (53)


53) "Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."


TAFSIR


Dengan cara yang sebegitu berani dan yakin, Nabi Yusuf tidak mempertahankan dirinya kerana dirinya tidak bersalah. Kebenaran dan kepalsuan akan muncul dengan sendirinya apabila sampai waktu dan ketikanya.


HURAIAN


Ayat ini menggambarkan kepada kita secara yang amat jelas sekali bagaimana Nabi Yusuf berusaha untuk memastikan bahawa kebenaran (haq) mestilah diletakkan kembali ke tempat asalnya, demikianlah juga kebatilan, sekalipun perjuangan untuk mengembalikan kedua-dua itu ke tempat asalnya memerlukan waktu yang panjang, kegigihan yang besar dan kesabaran yang tinggi.


Dalam pada itu, ayat ini sekali lagi menjelaskan secara nature meskipun tanpa usaha dari manusia, di dalam setiap tabiat kehidupan bahawa setiap kebenaran dan kepalsuan akan kembali ke tempat asalnya kerana tempat itulah yang layak dan cantik untuk kedua-duanya.


Tanpa dapat dihalang oleh sesiapa, kebenaran akan tetap kembali kepada kebenaran meskipun ia dipusing-pusing, dilambung ditolak ke sana ke mari atau dihanyutkan ke mana-manapun. Demikianlah juga kebatilan akan tetap kembali kepada kebatilan meskipun ia diletakkan di dalam satu iklan yang besar dan dipamerkan saban waktu kepada khalayak ramai, akhirnya kebatilan itu tetap akan kembali kepada kebatilan.


Allah SWT berfirman:
                •           •   • •    •   ••         
Surah ar-Ra`dhu ayat 17:
Yang bermaksud: Allah Telah menurunkan air (hujan) dari langit, lalu membanjiri tanah-tanah lembah (dengan airnya) menurut ukurannya yang ditetapkan Tuhan untuk faedah makhlukNya, kemudian banjir itu membawa buih yang terapung-apung. Dan dari apa (logam) yang mereka lebur dalam api untuk membuat perhiasan atau alat-alat yang diperlukan, juga timbul buihnya seperti itu. Demikianlah Allah membuat perumpamaan (bagi) yang benar dan yang bathil. Adapun buih itu, akan hilang sebagai sesuatu yang tak ada harganya; manakala yang memberi manfaat kepada manusia maka ia tetap di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan.


Ini adalah suatu susunan yang sangat cantik yang diatur oleh Allah SWT yang Maha Kaya. Ayat di atas mengisahkan bagaimana manusia yang merancang konspirasi itu sendiri yang mendedahkan kejahatannya. Zulaikha sendiri telah mendedahkan rancangan jahatnya yang telah benar-benar ia lakukan kepada Nabi Yusuf. Dan perempuan-perempuan yang mendiamkan diri dari menyuarakan kebenaran tujuh tahun yang lampau, tidak lagi menyembunyikan perasaan hatinya terhadap kebenaran yang diyakini oleh hatinya. Ini kerana kebenaran pada hari itu telah mula bernafas kuat untuk memiliki kehidupan yang lebih sempurna dari hari semalam.


Soalnya, mengapa perempuan-perempuan itu mendiamkan diri tujuh tahun yang lampau ketika Yusuf mula dimasukkan ke dalam penjara, padahal mereka mengetahui hal keadaan yang sebenarnya. Lihatlah bagaimana ramai manusia yang boleh menerima kepalsuan dalam hidupnya, untuk memelihara kepentingan orang-orang yang kuat dan masyarakat. Adapun di hari ketika mana kebenaran menjadi kuat, mereka ingin menunjukkan mereka telah berperanan dengan selayaknya terhadap kebenaran tersebut. Memang begitulah sifat manusia yang sememangnya lemah.


Ayat 54:


وَقَالَ الْمَلِكُ ائْتُونِي بِهِ أَسْتَخْلِصْهُ لِنَفْسِي فَلَمَّا كَلَّمَهُ قَالَ إِنَّكَ الْيَوْمَ لَدَيْنَا مِكِينٌ أَمِينٌ (54)


54) Dan (setelah mendengar pengakuan perempuan-perempuan itu), raja berkata: "Bawalah Yusuf kepadaku, aku hendak menjadikan dia orang yang khas untuk aku bermesyuarat dengannya. Setelah (Yusuf dibawa mengadap, dan raja) berkata-kata dengannya (serta mengetahui kebijaksanaannya) berkatalah raja kepadanya: "Sesungguhnya engkau pada hari ini (wahai Yusuf), seorang yang berpangkat tinggi, lagi dipercayai di kalangan kami ".


TAFSIR


Yusuf telah memperolehi kepercayaan di hati raja sehingga raja tersebut akan memberikan pangkat dan kedudukan yang tinggi dalam negara.


HURAIAN


Ayat di atas begitu indah telah memaparkan kepada kita bahawa gaya percakapan yang menyenangkan orang akan menarik perhatian dan minat mereka kepada dakwah dan seterusnya menerima sebagai pemimpin tetapi sebaliknya bahasa yang kasar dan keras akan menjauhkan pula orang ramai dari jalan dakwah seperti mana yang difirmankan Allah SWT:


لو كان عرضا قريبا وسفرا قاصدا لتبعوك ولكن بعدت عليهم الشقة
Maksudnya: Kalau engkau (wahai Mohammad) kasar dan keras nescaya mereka akan lari darimu.
Maka semestinyalah kita dalam mendidik masyarakat berhubungan dengan manusia dengan cara yang menyenangkan orang agar menarik perhatian dan minat mereka kepada topik dakwah yang dibincangkan.


Ayat 55:


قَالَ اجْعَلْنِي عَلَى خَزَآئِنِ الأَرْضِ إِنِّي حَفِيظٌ عَلِيمٌ (55)


55) Yusuf berkata: "Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya".


TAFSIR


Nabi Yusuf memohon agar dilantik menjadi pemegang perbendaharaan bumi dengan berkata: "Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara menta`birkannya".


HURAIAN


Memang benar Nabi Yusuf berdakwah kepada dua sahabatnya dalam penjara tetapi sebab apa dia jadi menteri? Sebabnya ialah dakwah yang lain dari yang kita fahami. Soalan bagaimana Nabi Yusuf dapat menjadi menteri telah dijawab oleh Allah SWT dalam firmannya:
اجْعَلْنِي عَلَى خَزَآئِنِ الأَرْضِ
Dan ia (yusuf ) berkata: Jadikanlah aku pemegang perbendaharaan bumi.


Nabi Yusuf telah meminta jawatan yang sebegitu tinggi walaupun raja dan rakyatnya masih lagi kafir kerana apabila dia jadi menteri, lebih ramai lagi orang dapat diIslamkannya dan jalan dakwah menjadi lebih berjaya dengan sebab kuasa menteri yang ada pada dia.


Di sini kita dapat belajar, dakwah Nabi Yusuf ialah dengan menyelesaikan masalah kemiskinan dan kemarau dengan membuktikan ia mempunyai kemahiran dan memerlukan kuasa untuk melaksanakan kemahiran tersebut. Apabila ia telah diberi kuasa untuk membuktikan kemahiran, maka ia menggunakan peluang ini untuk berdakwah. Ini adalah sebahagaian dari dakwah dengan tangan. Ini juga termasuk dalam dakwah secara hikmat dan termasuk dalam huraian ayat yang berbunyi:


))ادع إلى سبيل ربك بالحكمة والموعظة الحسنة وجادلهم بالتى هى أحسن((


Maksudnya: Dan serulah pada jalan Tuhanmu dengan bijaksana (hikmat) dan peringatan yang baik.


Nabi Yusuf dalam memohon jawatan menteri ini - pemegang khazanah bumi - tidaklah membuat surat kerana prosedur al-Aziz di zaman itu tidak membuat peraturan supaya menulis surat. Nabi Yusuf hanya berkata dengan mulut dan lidahnya sahaja. Ini bukanlah pula bererti membuat surat dan mengisi borang itu haram. Perbezaan memohon dengan mengisi borang dan menulis surat ini berbanding dengan permohonan Nabi Yusuf melalui lisan, pendetailan tentangnya perlulah dipelajari dalam ilmu pengurusan Islam, suatu ilmu yang lebih kurang sama luas dengan ilmu pengurusan kafir barulah kita dapat memahami dengan jelas dan tepat. Atau pun dalam ilmu undang-undang lebih tepat lagi sebab jawatan itu adalah jawatan politik dan bukannya jawatan pegawai tadbir biasa.


Tidakkah tindakan Nabi Yusuf ini bertentangan dengan apa yang telah dilakukan oleh baginda ketika baginda menolak tawaran orang-orang Musyrikin di Mekah yang menawarkan kepada beliau jawatan raja, menjadi orang yang paling kaya, atau menghadiahkan perempuan yang paling cantik untuk mengubatinya sekiranya ia sedang sakit (jiwa)? Untuk menjawab soalan ni, kita perlu melihat kepada prinsipnya. Rasulullah telah menolak tawaran tersebut kerana disyaratkan meninggalkan dakwah manakala Nabi Yusuf tidak disyaratkan demikian. Sebarang tawaran yang menggagalkan dakwah, ia termasuk dalam firman Allah SWT:


وَلاَ تَشْتَرُواْ بِآيَاتِي ثَمَناً قَلِيلاًِ (41)
(Surah al-Baqarah: 41)


Bererti: Dan janganlah kamu menjual dengan ayat-ayat ku akan harga yang murah.


-وَإِذَ أَخَذَ اللّهُ مِيثَاقَ الَّذِينَ أُوتُواْ الْكِتَابَ لَتُبَيِّنُنَّهُ لِلنَّاسِ وَلاَ تَكْتُمُونَهُ فَنَبَذُوهُ وَرَاء ظُهُورِهِمْ وَاشْتَرَوْاْ بِهِ ثَمَناً قَلِيلاً فَبِئْسَ مَا يَشْتَرُونَ (187)
(Surah al-Imran: 187)


Ertinya: Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian serta dari orang-orang yang telah diberikan Kitab (iaitu): “Demi sesungguhnya! Hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya”. Kemudian mereka membuang (perjanjian setia ) itu ke belakang mereka, serta mereka menukarnya dengan mengambil faedah dunia yang sedikit. Maka amatlah buruknya apa yang mereka dapati dari penukaran (Kalamullah dan janjiNya) itu.


إِنَّ الَّذِينَ يَشْتَرُونَ بِعَهْدِ اللّهِ وَأَيْمَانِهِمْ ثَمَنًا قَلِيلاً أُوْلَئِكَ لاَ خَلاَقَ لَهُمْ فِي الآخِرَةِ وَلاَ يُكَلِّمُهُمُ اللّهُ وَلاَ يَنظُرُ إِلَيْهِمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلاَ يُزَكِّيهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ (77)
(Surah al-Imran: 77)


Ertinya: Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.


Menurut ulama feqh kepada seseorang yang mampu memikul tanggungjawab dengan baik, adalah harus meminta kuasa atau memohon jawatan. Bahkan sekiranya dibimbangi jawatan tersebut jatuh ke tangan orang yang khianat dalam menjalankan amanah, adalah disunatkan padanya meminta jawatan tersebut walaupun masih ada orang lain yang mampu memikulnya dan hal tersebut menjadi wajib ketika ketiadaan orang lain yang layak dan setelah dipilihnya untuk menjalankan amanah tersebut padahal dirinya tidak mempunyai apa-apa halangan untuk menerimanya. Hal tersebut pula akan menjadi haram apabila ia bukanlah seorang yang layak memikulnya. Inilah yang diingatkan oleh baginda Rasulullah S.A.W kepada Abu Zhar al-Ghifari:


))هذه أمانة وإنها يوم القيامة لندامة((


Maksudnya: Ini adalah suatu amanah dan ia pada hari akhirat adalah suatu penyesalan.


Ayat ini juga menerangkan hukum bekerja dengan pemerintahan kufur yang mengizinkan pengamalan yang baik adalah dibolehkan .


Sifat-sifat yang perlu dihiasi oleh pemegang tanggungjawab ialah:


1) Hafiz - memelihara tanggung jawab yang di pikulkan kepadanya. Menurut beberapa ahli sejarah, Nabi Yusuf bukan sahaja membataskan penanaman kepada gandum semata-mata malahan juga beberapa tanam-tanaman lain. Beliau juga memperbanyakkan penggunaan kincir air.
2) Amin - beramanah, tidak mementingkan diri sendiri bahkan menganggapkan tugas tersebut lebih berat dan lebih perlu diutamakan sesempurna mungkin berbanding dengan ganjaran upah yang diperolehi dari jawatan tersebut. Allah SWT berfirman:


                                    
Surah al-Ahzab ayat 72-73
Yang bermaksud: Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh.
Sehingga Allah mengazab orang-orang munafik laki-laki dan perempuan dan orang-orang musyrikin laki-laki dan perempuan; dan sehingga Allah menerima Taubat orang-orang mukmin laki-laki dan perempuan. dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.


Ayat ini turut memberikan pengajaran kepada kita bahawa dasar yang baik tidak akan berjaya tanpa pemimpin yang baik kerana pemimpin yang baik akan mengatur dan mengendalikan kerja-kerja yang lebih mudah membantu kejayaan dasar tersebut.


Ayat 56:


وَكَذَلِكَ مَكَّناَّ لِيُوسُفَ فِي الأَرْضِ يَتَبَوَّأُ مِنْهَا حَيْثُ يَشَاء نُصِيبُ بِرَحْمَتِنَا مَن نَّشَاء وَلاَ نُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ (56)


56) Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; ia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan.


TAFSIR


Allah SWT telah menjelaskan bagaimana suatu susunan yang diatur olehNyalah yang menjadikan Yusuf berada dalam kedudukan yang sebegitu baik. Dengan kudratNya, Allah SWT melimpahkan rahmaNya kepada sesiapa sahaja yang Ia kehendaki dan Dialah Allah yang tidak akan menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan.


HURAIAN


Perkataan ((مَكَّناَّ)) bermaksud pengukuhan. Ia terhasil dengan gabungan tiga perkara iaitu ilmu, kemahiran dan kuasa. Ilmu yang dimiliki oleh Yusuf sudah lama semenjak sebelum dipenjarakan lagi sebagaimana yang disebutkan dalam ayat 22.
وَلَمَّا بَلَغَ أَشُدَّهُ آتَيْنَاهُ حُكْمًا وَعِلْمًا وَكَذَلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ (22)


Yang bermaksud: Dan ketika Yusuf sampai ke peringkat umurnya yang sempurna kekuatannya, Kami beri kepadanya kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan; dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.


Kuasa pula terkumpul dari tenaga manusia dan alat sebagaimana yang dihadkan oleh Allah SWT dalam kisah Dzul-Qurnaindalam surah al-Kahfi:


قَالُوا يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَى أَن تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا (94) قَالَ مَا مَكَّنِّي فِيهِ رَبِّي خَيْرٌ فَأَعِينُونِي بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا (95) آتُونِي زُبَرَ الْحَدِيدِ حَتَّى إِذَا سَاوَى بَيْنَ الصَّدَفَيْنِ قَالَ انفُخُوا حَتَّى إِذَا جَعَلَهُ نَارًا قَالَ آتُونِي أُفْرِغْ عَلَيْهِ قِطْرًا (96)
Surah al-Kafi ayat 94-96
Yang bermaksud: Mereka berkata: “Wahai Zu’l-Qarnain, sesungguhnya kaum Ya’juj dan Ma’juj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?”.(94) Ia menjawab: “(Kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai), aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh.(95) “Bawalah kepadaku ketul-ketul besi”; sehiangga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, ia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: “Tiuplah dengan alat-alat kamu”, sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah ia: “Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya”.


Ayat 57:


وَلَأَجْرُ الآخِرَةِ خَيْرٌ لِّلَّذِينَ آمَنُواْ وَكَانُواْ يَتَّقُونَ (57


57) Dan sesungguhnya pahala hari akhirat lebih baik bagi orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.


TAFSIR


Allah SWT menjelaskan bahawa ganjaran di hari akhiratlah yang lebih baik bagi orang-orang yang beriman. Adapun pangkat yang diperolehi di dunia sebagaimana yang ia berikan kepada Yusuf, tidak akan diperolehi oleh semua orang-orang yang beriman kerana itu adalah pilihanNya yang Maha Bijaksana. Namun begitu, orang yang tidak memperolehi di dunia akan memperolehi gantian yang lebih baik di akhirat kelak.


HURAIAN


Seorang yang melihat kepada ganjaran yang dekat tentulah tidak akan dapat memiliki jiwa yang tahan diuji sebaliknya orang yang mengharapkan ganjaran di akhirat sahajalah yang dapat bertahan dengan ujian-ujian yang berat. Setiap kali mereka diuji mereka akan terus memperbaiki kelemahan diri mereka sendiri. Membina taqwa dan mempertingkatkan taqwa adalah asas kepada kekuatan daya juang menghadapi cabaran tersebut.


Ayat 58:


وَجَاء إِخْوَةُ يُوسُفَ فَدَخَلُواْ عَلَيْهِ فَعَرَفَهُمْ وَهُمْ لَهُ مُنكِرُونَ (58)


58) Dan (setelah tiba musim kemarau) datanglah saudara-saudara Yusuf (ke Mesir), lalu masuklah mereka mendapatkannya; Yusuf dengan serta merta kenal mereka, sedang mereka tidak mengenalinya.


TAFSIR


Dengan meringkaskan cerita, al-Qur’an memaparkan pula sambungan kisah bagaimana saudara-saudara Yusuf telah datang ke Mesir kerana ingin mendapatkan bantuan makanan akibat negaranya telah dilanda kemarau dan penduduk di situ tidak membuat apa-apa persediaan untuk menghadapinya.


Apabila mereka masuk ke Mesir, mereka mendapatkan menteri bahagian yang berkaitan di mana kebetulannya adalah Yusuf sendiri. Yusuf dengan serta merta mengenali mereka sedang mereka tidak mengenalinya.


HURAIAN


Seterusnya al-Qur’an meringkaskan cerita dengan mula memaparkan kisah yang menjadi jawapan atau natijah terhadap pakatan jahat saudara-saudaranya. Indahnya cerita ini kerana ia berlaku setelah Yusuf memiliki kedudukan yang tinggi dan besar dalam masyarakat. Kedudukan yang lebih tinggi dan lebih baik daripada ketika saudara-saudaranya berdengki dan merancang untuk membinasakannya dulu.


Al-Qur’an menceritakan di suatu ketika di musim kemarau panjang yang mengeringkan Mesir dan kawasan yang berdekatan dengannya, sepuluh orang adik beradik Nabi Yusuf datang ke Mesir bertujuan untuk mendapatkan makanan yang diperlukan untuk keluarga mereka. Kedatangan mereka disedari dan dikenali oleh Nabi Yusuf tetapi mereka tidak mengenali Nabi yusuf. Terdapat dua pendapat di kalangan ulama dalam menghuraikan mengapa mereka tidak mengenali Nabi Yusuf:


Pendapat pertama: Mereka tidak mengenali Nabi Yusuf di sebabkan terlalu lama mereka berpisah, pendapat ini mereka yakin Nabi Yusuf belum mati. Mereka berdalilkan keterangan yang terdapat dalam ayat 90-91.
قَالُواْ أَإِنَّكَ لَأَنتَ يُوسُفُ قَالَ أَنَاْ يُوسُفُ وَهَذَا أَخِي قَدْ مَنَّ اللّهُ عَلَيْنَا إِنَّهُ مَن يَتَّقِ وَيِصْبِرْ فَإِنَّ اللّهَ لاَ يُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ (90) قَالُواْ تَاللّهِ لَقَدْ آثَرَكَ اللّهُ عَلَيْنَا وَإِن كُنَّا لَخَاطِئِينَ (91)
Maksudnya: Mereka bertanya (dengan hairan): "Engkau ini Yusufkah? " Ia menjawab: "Akulah Yusuf dan ini adikku (Bunyamin). Sesungguhnya Allah telah mengurniakan nikmatNya kepada kami. Sebenarnya sesiapa yang bertaqwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.
Mereka berkata: "Demi Allah! Sesungguhnya Allah telah melebihkan dan memuliakan engkau daripada kami (di sebabkan taqwa dan kesabaranmu); dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah".


Pendapat kedua: Mereka tidak mengenali Nabi Yusuf di sebabkan mereka menyangka Nabi Yusuf telah mati, sekalipun mereka merangcang bukan untuk membunuh Nabi Yusuf tetapi di sebabkan kehilangan Nabi Yusuf yang tidak dapat dikesan.


Pendapat kedua ini berdalilkan keterangan yang terdapat dalam ayat 95-96 iaitu Allah SWT menyebut:


قَالُواْ تَاللّهِ إِنَّكَ لَفِي ضَلاَلِكَ الْقَدِيمِ (95) فَلَمَّا أَن جَاء الْبَشِيرُ أَلْقَاهُ عَلَى وَجْهِهِ فَارْتَدَّ بَصِيرًا قَالَ أَلَمْ أَقُل لَّكُمْ إِنِّي أَعْلَمُ مِنَ اللّهِ مَا لاَ تَعْلَمُونَ (96)
Maksudnya:Mereka berkata: "Demi Allah! Sesungguhnya ayah masih berada dalam keadaan tidak siumanmu yang lama".
Maka sebaik-baik sahaja datang pembawa khabar berita yang mengembirakan itu, dia pun meletakkan baju Yusuf pada muka Nabi Ya`akub, lalu menjadilah ia celik kembali seperti sediakala. Nabi Ya`akub berkata: "Bukankah aku telah katakan kepada kamu, sesungguhnya aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahuinya?"


Kedatangan mereka telah disambut oleh Nabi Yusuf dengan cara yang baik termasuk diberikan penempatan dan makan minum.


Ayat 59-60
وَلَمَّا جَهَّزَهُم بِجَهَازِهِمْ قَالَ ائْتُونِي بِأَخٍ لَّكُم مِّنْ أَبِيكُمْ أَلاَ تَرَوْنَ أَنِّي أُوفِي الْكَيْلَ وَأَنَاْ خَيْرُ الْمُنزِلِينَ (59)


59) Dan ketika Yusuf menyediakan untuk mereka bekalan mereka, berkatalah ia: "(Pada kali yang lain) bawalah kepadaku saudara kamu yang sebapa. Tidakkah kamu melihat, bahawa aku menyempurnakan bekalan makanan kamu, dan bahawa aku sebaik-baik penerima tetamu?


فَإِن لَّمْ تَأْتُونِي بِهِ فَلاَ كَيْلَ لَكُمْ عِندِي وَلاَ تَقْرَبُونِ (60)


60) Oleh itu, kalau kamu tidak membawanya kepadaku, maka tidak ada hak bagi kamu mendapat bekalan makanan di sisiku, dan janganlah kamu menghampiriku lagi".


TAFSIR


Yusuf ketika menyediakan keperluan kepada saudara-saudaranya yang akan pulang ke Palestin itu, telah membuat syarat supaya dapat membawa di waktu yang akan datang kepadanya saudara mereka Bunyamin yang tidak bersama-sama mereka pada kali itu. Sekiranya mereka tidak dapat membawanya, maka ia tidak akan melayan lagi mereka di masa yang akan datang.


HURAIAN


Tanggungjawab asas mana-mana kementerian ialah menjaga kepentingan, kebajikan dan keselesaan orang ramai supaya mereka dapat mentaati Allah SWT.


Harus kerajaan atau kementerian mengenakan apa-apa syarat tambahan atau peraturan tambahan yang tidak ditetapkan oleh syara` yang difikirkan perlu untuk kepentingan bersama. Syarat dan peraturan ini mestilah tidak bersifat kepentingan individu, zalim atau menganiayai mana-mana pihak terutamanya golongan bawahan.


Kerajaan boleh juga memberikan keistimewaan kepada golongan tertentu sebagai galakan kepada mereka untuk melakukan kerja-kerja kebaikan. Keistimewaan ini mestilah di atas asas yang benar dan bukannya kezaliman atau menganiayai seseorang atau juga memilih bulu.


Demikianlah lagi boleh membuat perjanjian dengan pihak-pihak tertentu untuk tujuan-tujuan kebaikan dan kemanfaatan untuk umat dan orang ramai.


Bagi sesetengah golongan pengurusan yang tidak melihat dari aspek politik tentulah menuduh syarat ini menekan dan membebankan saudara-saudaranya. Tetapi dari sudut politik, sebenarnya dengan menuruti syarat itu, mereka masih kekal dengan keistimewaan yang telah mereka perolehi.


Dalam perjanjian-perjanjian antara dua pihak, sering berlaku satu pihak mengkhianati pihak yang satu lagi. Untuk menilai sesuatu pihak adakah ia akan menepati janjinya atau tidak, syarat-syarat yang berat boleh dilakukan asalkan mereka bersetuju untuk disepakati. Dalam kisah Nabi Yusuf dan saudaranya-saudaranya, Nabi Yusuf lebih kuat dalam menguasai perjanjian tersebut. Namun begitu, oleh kerana pihak yang satu lagi itu telah diketahui berperangai buruk, syarat yang berat itu telah dibuat untuk menguji sejauh manakah kejujuran dan kesetiaannya.


Ayat 61:
قَالُواْ سَنُرَاوِدُ عَنْهُ أَبَاهُ وَإِنَّا لَفَاعِلُونَ (61)


61) Mereka menjawab: “Kami akan memujuk bapanya melepaskan dia bersama-sama kami, dan sesungguhnya kami akan melakukannya”.


TAFSIR


Mereka berjanji kepada Yusuf untuk memujuk bapa mereka agar memenuhi syarat dan permintaan Yusuf selaku hajat menteri yang ia perlu patuhi sekiranya beringinan untuk mendapatkan keistimewan yang mereka perlukan itu.


HURAIAN


Ayat di atas menerangkan kepada kita tabiat semula jadi manusia akan berusaha untuk memperolehi kehidupan yang lebih baik. Kerana desakan hidup, ia mampu dan pasti melakukannya perkara-perkara yang di luar dari kelaziman yang biasa dilakukannya. Apatah lagi dalam keadaan yang masih panas-panas, semangat pun tentulah dalam keadaan yang panas-panas juga. Itulah sebabnya mereka berjanji kepada Yusuf untuk memujuk bapa mereka agar memenuhi syarat dan permintaan Yusuf.


Ayat 62:
وَقَالَ لِفِتْيَانِهِ اجْعَلُواْ بِضَاعَتَهُمْ فِي رِحَالِهِمْ لَعَلَّهُمْ يَعْرِفُونَهَا إِذَا انقَلَبُواْ إِلَى أَهْلِهِمْ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ (62)


62) Dan (selepas itu) berkatalah Yusuf kepada orang-orang suruhannya: “Masukkanlah barang-barang dagangan mereka pada tempat simpanan barang di kenderaan mereka, supaya mereka mengetahuinya kelak ketika mereka kembali kepada keluarga mereka, dan supaya mereka datang lagi (ke negeri ini)”.


TAFSIR


Yusuf memerintahkan kepada pegawai-pegawainya supaya memulangkan kembali bayaran mereka secara senyap-senyap agar tidak diketahui oleh mereka. Biarlah mereka hanya menyedarinya setelah mereka sampai di perkampungan mereka. Maka, Nabi Yusuf memerintahkan supaya bayaran itu dimasukkan bersama ke dalam bekas barangan yang mereka beli.


HURAIAN


Di dalam ayat di atas, melalui tindakan Nabi Yusuf itu dapatlah kita memahami bahawa sesuatu pihak yang bertanggungjawab demi membanyakkan lagi usaha kebajikan, berhak membuat sesuatu syarat asalkan tidak menyalahi syarak demi untuk kebaikan orang ramai selagi mana syarat ini tidak bersifat zalim dan penindasan.


Jadi sememangnya menjadi hak yang tidak boleh dipertikaikan lagi bahawa Nabi Yusuf memiliki hak untuk membuat sebarang syarat yang difikirkan perlu dan menjadi kebijaksanaannya pula meletakkan syarat yang seperti itu kepada golongan yang berkaitan seperti yang boleh kita lihat dengan terang dan jelas dalam ayat ini ialah adik-beradiknya.


Ayat 63:
فَلَمَّا رَجَعُوا إِلَى أَبِيهِمْ قَالُواْ يَا أَبَانَا مُنِعَ مِنَّا الْكَيْلُ فَأَرْسِلْ مَعَنَا أَخَانَا نَكْتَلْ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ (63)


63) Maka ketika mereka kembali kepada bapa mereka, berkatalah mereka: "Wahai ayah kami! Kami (tetap diberi amaran bahawa kami) tidak akan mendapat lagi bekalan makanan (kiranya Bunyamin tidak pergi bersama). Oleh itu, hantarkanlah dia bersama-sama kami, supaya kami dapat lagi bekalan makanan; dan sesungguhnya kami akan menjaganya dengan sebaik-baiknya".


TAFSIR


Kerisauan adik-beradik Yusuf terhadap syarat yang diminta oleh menteri Mesir yang baik hati itu tidaklah disembunyikan dari bapa mereka Ya`aqub malah mereka berterus terang kepada bapa mereka tentang satu permintaan yang besar disyaratkan oleh Yusuf:


HURAIAN


Sering kali kita mendapati dalam kehidupan berkeluarga, anak-anak melakukan kesalahan sewenang-wenangnya dan menyembunyikan kesalahan tersebut dari pengetahuan keluarga sehingga masalah yang ia hadapi menjadi semakin besar. Setelah mana ia buntu mencari jalan penyelasian kepada masalah yang telah semakin membesar itu, barulah ia akan memberitahu dan berterus terang juga kepada keluarganya. Ertinya mereka masih mengakui peranan dan potensi keluarganya dalam mencari penyelesaian masalah tersebut.


Bersalahan dengan kisah ini, anak-anak Yaakub yang telah beberapa kali melakukan kesilapan kepada bapanya dan ingin memperbetulkan kesilapan mereka yang telah lalu itu tidak menyembunyikan lagi beban yang terpaksa mereka tanggung kepada bapa mereka setelah mereka tiba ke rumah meraka. Terus terang mereka katakan bahawa mereka mahukan Bunyamin sebagai syarat kepada menyambung kehidupan di masa yang akan datang sebagaimana yang diminta oleh menteri tersebut walaupun mereka memang mengetahui bahawa bapa mereka tidak akan sekali-kali mengizinkan mereka membawa keluar Bunyamin jauh darinya. Namun begitu, mereka semestinyalah berterus terang di saat itu dan tidak boleh bersembunyi-sembunyikan lagi walaupun ini adalah suatu yang masih berat kepada mereka tetapi inilah penyelesaian yang ada yang perlu diambil oleh mereka di sebabkan tiada pilihan lain lagi. Sebenarnya bukanlah senang bagi seseorang itu ingin mengubah sikap dan perangainya tetapi bilamana telah sampai masanya untuk ia berubah, sama ada mahu atau tidak, ia mesti berubah kerana sekiranya tidak begitu, ia akan selama-lamanya tempang tidak dapat menyelesaikan masalah.


Ayat 64:
قَالَ هَلْ آمَنُكُمْ عَلَيْهِ إِلاَّ كَمَا أَمِنتُكُمْ عَلَى أَخِيهِ مِن قَبْلُ فَاللّهُ خَيْرٌ حَافِظًا وَهُوَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ (64)


64) Bapa mereka berkata: "(Jika aku lepaskan dia pergi bersama-sama kamu), aku tidak menaruh kepercayaan kepada kamu menjaganya melainkan seperti kepercayaanku kepada kamu menjaga saudaranya dahulu (yang telah kamu hampakan. Oleh itu aku hanya menaruh kepercayaan kepada Allah), kerana Allah jualah Penjaga yang sebaik-baiknya, dan Dialah jua yang Maha Mengasihani dari sesiapa sahaja yang menaruh belas kasihan".


TAFSIR


Bayangkanlah perasaan hampa Nabi Ya`aqub yang merasa terkejut dengan syarat yang dinyatakan oleh anak-anaknya itu, sudah tentulah hatinya kesal dan merasa bimbang. Dia tidak menaruh kepercayaan kepada kepada anak-anaknya lagi yang telah menghilangkan Yusuf dulu. Ia benar-benar takut perkara itu berulang lagi. Namun begitu, ia sebagai hamba yang rapat dengan Tuhannya, ia tetap mengharapkan dan bersangka baik kepada Allah SWT.


HURAIAN
Pergantungan kepada Allah itu adalah sebesar-besar penawar kepada sekeping hati yang telah lama sedih dan pilu.


Ayat 65:


وَلَمَّا فَتَحُواْ مَتَاعَهُمْ وَجَدُواْ بِضَاعَتَهُمْ رُدَّتْ إِلَيْهِمْ قَالُواْ يَا أَبَانَا مَا نَبْغِي هَذِهِ بِضَاعَتُنَا رُدَّتْ إِلَيْنَا وَنَمِيرُ أَهْلَنَا وَنَحْفَظُ أَخَانَا وَنَزْدَادُ كَيْلَ بَعِيرٍ ذَلِكَ كَيْلٌ يَسِيرٌ (65)


65) Dan semasa mereka membuka barang-barang mereka, mereka dapati barang-barang dagangan mereka telah dikembalikan kepada mereka. Mereka berkata dengan gembiranya: "Wahai ayah kami! Apa yang kita kehendaki lagi? Ini dia barang-barang dagangan yang kita jadikan tukaran (bagi mendapat gandum) itu telah dikembalikan kepada kita. Dan (dengan kemurahan hati menteri yang berbudi itu) akan dapatlah kami membawa lagi bekalan makanan kepada keluarga kami, dan kami pula akan dapat menjaga saudara kami, serta akan dapat tambahan benda-benda makanan sebanyak muatan seekor unta lagi. Pemberian tambahan yang sebanyak itu mudah sekali ditunaikannya".




TAFSIR


Setelah membuka barangan yang baru mereka bawa pulang dari Mesir, mereka terkejut mendapati modal atau wang mereka telah dikembalikan. Menteri itu tidak mengambil bayaran yang mereka bayarkan. Hal ini menyebabkan mereka gembira, padahal mereka sepatutnya berfikir bahawa mungkin menteri itu terlupa untuk mengambil bayarannya. Adapun sekiranya memang sebenarnya menteri itu terlupa mengambil wang tersebut, maka menjadi kewajipan mereka untuk memulangkan balik wang tersebut sebagai bayaran harga barang yang mereka perolehi tetapi tidak, sebaliknya mereka mengharapkan di kali yang akan datang agar dapat bekalan yang lebih banyak. Demikianlah kebanyakan hati manusia teramat mudah cenderung kepada ketamakan.


HURAIAN


Di antara kemuliaan hati yang ditunjukkan oleh menteri Mesir itu dan syarat yang ia kenakan kepada mereka untuk memperolehi bekalan di tahun hadapan, kedua-duanya pada hakikatnya yang sebenarnya mereka tidak sedar adalah untuk menguji mereka. Setiap hubungan manusia dalam apa jua bentuknya adalah menjadi ukuran yang akan dinilai oleh pihak yang satu lagi.


Di sini jelas kepada kita dapat melihat bahawa saudara-saudara Yusuf ini masih tewas dengan sifat ketamakan mereka, malas, lebih kepada mahu bersenang-senang dan mengharapkan kepada orang lain.


Ayat 66:
قَالَ لَنْ أُرْسِلَهُ مَعَكُمْ حَتَّى تُؤْتُونِ مَوْثِقًا مِّنَ اللّهِ لَتَأْتُنَّنِي بِهِ إِلاَّ أَن يُحَاطَ بِكُمْ فَلَمَّا آتَوْهُ مَوْثِقَهُمْ قَالَ اللّهُ عَلَى مَا نَقُولُ وَكِيلٌ (66)


66) Bapa mereka berkata: "Aku tidak sekali-kali akan melepaskan dia (Bunyamin) pergi bersama-sama kamu, sehingga kamu memberi kepadaku satu perjanjian yang teguh (bersumpah) dengan nama Allah, bahawa kamu akan membawanya kembali kepadaku dengan selamat, kecuali jika kamu semua dikepong dan dikalahkan oleh musuh". Maka ketika mereka memberikan perjanjian yang teguh (bersumpah) kepadanya, berkatalah ia: "Allah jualah yang menjadi Saksi dan Pengawas atas apa yang kita semua katakan itu."


TAFSIR


Setelah mana makanan yang mereka perolehi dari Mesir telah hampir habis, mereka berfikir untuk pergi lagi ke sana. Soalnya syarat tersebut perlulah mereka penuhi. Jadi mereka merayu kepada Nabi Ya`akub yang akhirnya Nabi Ya`akub mengalah.
Nabi Ya`aqub mahukan satu janji yang teguh dari mereka sebelum melepaskan mereka pergi ke Mesir untuk tahun keduanya bersama Bunyamin. Ia tidak mahu harapannya dipersia-siakan sekali lagi oleh anak-anaknya setelah mana mereka mempersia-siakannya dulu ketika bersama Nabi Yusuf.


HURAIAN


Ikatan janji yang disebut wathiqah biasa dibuat terutamanya apabila di jangka salah satu dari dua pihak akan melanggar ikatan janji tersebut dan sesuatu hukuman akan dikenakan kepada pihak yang melanggar perjanjian tersebut. Namun begitu, dalam wathiqah Nabi Ya`akub dengan anak-anaknya ini, tidak pula disebut tentang hukuman yang akan dijatuhkan ke atas mereka bilamana mereka tidak dapat melakukan perjanjian tersebut.


Hukuman tersebut diserahkan kepada Allah sebagai satu amanah yang perlu dipelihara kerana Allah akan menjadi saksi terhadap tindak tanduk mereka. Sekiranya mereka dapat lari dari hukuman Allah di dunia ini, mereka pasti tidak dapat lari di akhirat kelak.


Ayat 67:
وَقَالَ يَا بَنِيَّ لاَ تَدْخُلُواْ مِن بَابٍ وَاحِدٍ وَادْخُلُواْ مِنْ أَبْوَابٍ مُّتَفَرِّقَةٍ وَمَا أُغْنِي عَنكُم مِّنَ اللّهِ مِن شَيْءٍ إِنِ الْحُكْمُ إِلاَّ لِلّهِ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَعَلَيْهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُتَوَكِّلُونَ (67)


67) Dan ia berkata lagi: "Wahai anak-anakku! Janganlah kamu masuk (ke bandar Mesir) dari sebuah pintu sahaja, tetapi masuklah dari beberapa buah pintu yang berlainan. Dan aku (dengan nasihatku ini), tidak dapat menyelamatkan kamu dari sesuatu takdir yang telah ditetapkan oleh Allah. Kuasa menetapkan sesuatu (sebab dan musabab) itu hanya tertentu bagi Allah. KepadaNyalah aku berserah diri, dan kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri".


TAFSIR


Nabi Ya`akub memerintahkan anak-anaknya ini supaya memasuki Mesir melalui berbagai-bagai pintu masuk. Dilarangnya masuk melalui satu pintu sahaja sebagaimana yang telah mereka lakukan pada tahun lalu iaitu memasuki Mesir melalui pintu dari arah Syam. Dikatakan Mesir pada masa itu mempunyai empat pintu masuk.


HURAIAN


Kebijaksanaan Ya`aqub dalam menasihati anak-anaknya agar menyembunyikan kekuatan di tempat orang kerana bimbangkan ada pihak yang ingin menguji mereka yang berasal dari keluarga yang baik-baik sudah tentulah ramai musuh-musuhnya yang terdiri dari ahli maksiat. Langkah berhati-hati dan merendah diri juga menyembunyikan kekuatan ini tentulah dapat menyelamatkan mereka dari keburukan yang bakal tiba.


Seseorang yang membina kekuatan tetapi tidak mempamerkan kekuatan tersebut di hadapan khalayak ramai sebaliknya hanya mempamerkan kesederhanaan di hadapan khalayak ramai, namun begitu ia bersedia menggunakan kekuatan-kekuatan tadi pada masa yang diperlukan adalah manusia yang cerdik dan sentiasa berjaya dalam langkahnya. Demikianlah sebaliknya seseorang yang suka mempamerkan kekuatan di hadapan khalayak ramai seringkali tersilap bilamana berhadapan dengan suasana sebenar kerana suasana yang sebenarnya adalah lebih kuat dari apa yang ia khayalkan. Maka jadilah ia golongan yang rugi dan gagal tanpa di sangka-sangkanya. Demikianlah Ya`akub mengajar anak-anaknya dalam berhubungan dengan manusia.


Ayat 68:
وَلَمَّا دَخَلُواْ مِنْ حَيْثُ أَمَرَهُمْ أَبُوهُم مَّا كَانَ يُغْنِي عَنْهُم مِّنَ اللّهِ مِن شَيْءٍ إِلاَّ حَاجَةً فِي نَفْسِ يَعْقُوبَ قَضَاهَا وَإِنَّهُ لَذُو عِلْمٍ لِّمَا عَلَّمْنَاهُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لاَ يَعْلَمُونَ (68)


68) Dan ketika mereka masuk menurut arah yang diperintahkan oleh bapa mereka, tidaklah perintahnya itu dapat menyelamatkan mereka dari apa yang telah ditakdirkan oleh Allah sedikitpun, tetapi yang demikian itu hanyalah melahirkan hajat yang terpendam dalam hati Nabi Ya`akub. Dan sesungguhnya ia orang yang berilmu, kerana kami telah mengajarnya (dengan perantaraan wahyu); tetapi kebanyakkan manusia tidak mengetahui (akan rahsia takdir Tuhan).


TAFSIR


Mereka telah berpecah kepada beberapa kumpulan yang lebih kecil dan masuk melalui beberapa pintu sepertimana yang telah disarankan oleh bapanya. Mereka dapat masuk dengan selamat tanpa menerima apa-apa gangguan dari mana-mana pihak.


HURAIAN


Akhirnya mereka dapat masuk dengan selamat.


Ayat ini menerangkan kepada kita bahawa langkah-langkah, strategi dan pergerakan mestilah disembunyikan dan tidak wajar dibising-bisingkan sehingga dapat diketahui oleh orang-orang yang tidak berkenaan apatah lagi musuh. Setiap perancangan yang berjaya adalah perancangan yang disertakan dengan usaha yang berterusan dan ada peningkatan dari semasa ke semasa walaupun orang ramai di sekelilingnya tidak menyedari hal tersebut.


Ayat 69:
وَلَمَّا دَخَلُواْ عَلَى يُوسُفَ آوَى إِلَيْهِ أَخَاهُ قَالَ إِنِّي أَنَاْ أَخُوكَ فَلاَ تَبْتَئِسْ بِمَا كَانُواْ يَعْمَلُونَ (69)


69) Dan semasa mereka masuk mendapatkan Yusuf, ia menempatkan saudara kandungnya (Bunyamin) bersama-samanya, sambil berkata kepadanya:" Akulah saudara engkau Yusuf), oleh itu janganlah engkau berdukacita lagi disebabkan apa yang mereka lakukan".


TAFSIR


Setelah mereka bertemu di gudang pertukaran barang-barang, Yusuf telah mencari masa yang sesuai dan mengasingkan Bunyamin seketika dari mereka seraya menjelaskan kepada adiknya itu tentang siapakah dirinya yang sebenar. Ia tidak menyembunyikan lama supaya saudaranya Bunyamin akan lebih tenang dalam keadaan begitu.


HURAIAN


Ayat ini menerangkan kepada kita bahawa kasih sayang adalah satu fitrah semula jadi yang tidak mampu dibuang oleh sesiapa pun. Pertaliannya sangat panjang dan halus walaupun tidak dapat dilihat oleh sesiapa pun dengan mata kasar yang berada bersama jasad. Tautan kasih sayang yang mengikat saudara kandung ini berkongsi sama-sama bernyala marak dan terus berhubungan secara fikiran dan perasaan walaupun dijarakkan oleh perpisahan yang panjang. Panjangnya perpisahan yang diukur dengan ukuran masa itu adalah satu yang amat pendek pada ukuran kasih sayang yang apinya terus bernyala tak kunjung-kunjung padam dalam diri kedua-duanya selagi mana kedua-duanya berdiri di atas iman dan taqwa. Tetapi bilamana kedua-duanya atau salah satu darinya lari dari landasan iman dan taqwa nescaya fitrah juga tercabutlah dari dirinya pada masa itu.


Ayat 70:
فَلَمَّا جَهَّزَهُم بِجَهَازِهِمْ جَعَلَ السِّقَايَةَ فِي رَحْلِ أَخِيهِ ثُمَّ أَذَّنَ مُؤَذِّنٌ أَيَّتُهَا الْعِيرُ إِنَّكُمْ لَسَارِقُونَ (70)


70) Maka ketika ia membekalkan mereka dengan bekalan makan (yang mencukupi keperluan) mereka, lalu ia meletakkan bijana kerajaan di kenderaan saudaranya (Bunyamin), kemudian menyeru seorang penyeru:" Wahai orang-orang kafilah ini, sesungguhnya kamu adalah pencuri ".


TAFSIR


Nabi Yusuf telah melakukan satu muslihat iaitu meletakkan bijana kerajaan di dalam karung yang berada di kenderaan saudaranya (Bunyamin) seraya berkata bahawa mereka adalah pencuri ".


HURAIAN


Lazimnya kita mengetahui bahawa muslihat adalah sebahagian daripada strategi peperangan. Tetapi kadang-kadang ia diperlukan juga dalam pendidikan dan pengurusan masyarakat asalkan ia membawa kebaikan bersama kepada semua pihak dan bukannya kebaikan kepada individu atau kumpulan tertentu semata-mata. Helah yang telah dilakukan oleh Nabi Yusuf dengan meletakkan bijana minuman raja di kenderaan saudaranya Bunyamin seraya menuduh mereka sebagai pencuri adalah sebagai balasan kepada sikap mereka yang pura-pura lupa untuk memberitahu bahawa pada tahun yang lalu, terdapat kesilapan yang telah dilakukan oleh menteri iaitu tidak mengambil bayaran tersebut kerana wang bayaran itu telah masuk ke dalam karung barangan mereka. Mereka tidak memberitahu kesilapan menteri kerana kesilapan itu menguntungkan mereka. Dalam erti kata yang lain, mereka sebenarnya tidak amanah. Nampak benar isi mereka yang tamak itu. Nah!! Maka pada hari ini, kesilapan itu berlaku lagi, tetapi keuntungannya tidak lagi berpihak kepada pihaknya. Maka bagaimanakah sikap mereka? Inilah yang ingin diuji oleh Nabi Yusuf kepada mereka.


Lihatlah bijaksana dan adilnya Nabi Yusuf membalas setimpal dengan perbuatan orang itu.


Ayat71:
قَالُواْ وَأَقْبَلُواْ عَلَيْهِم مَّاذَا تَفْقِدُونَ (71)


71) Mereka bertanya sambil mengadap ke arah orang-orang menteri yang menuduh itu: "Apa benda kamu yang kehilangan?".


TAFSIR


Mereka bertanya untuk mendapatkan kepastian yang sejelas-jelasnya kenapa mereka dituduh mencuri.


HURAIAN


Secara lazim dan logiknya, sesuatu golongan yang tertuduh tidak akan menerima tuduhan melulu ke atasnya tanpa bukti. Dalam Islam, orang yang tertuduh pada asalnya belum dikira bersalah sehinggalah ada bukti yang benar mensabitkan ia sebagai bersalah.


Pertanyaan mereka yang dalam keadaan terpinga-pinga ini jelas menunjukkan ketakutan yang baru tumbuh menambahkan lagi ketakutan yang telah sedia ada.


Ayat 72:
قَالُواْ نَفْقِدُ صُوَاعَ الْمَلِكِ وَلِمَن جَاء بِهِ حِمْلُ بَعِيرٍ وَأَنَاْ بِهِ زَعِيمٌ (72)


72) Orang-orang menteri menjawab: "Kami kehilangan cupak raja. Dan sesiapa yang memulangkannya akan diberi (benda-benda makanan) sebanyak muatan seekor unta, dan akulah yang menjamin pemberian itu".


TAFSIR


Pihak Nabi Yusuf menjelaskan bahawa mereka kehilangan cupak raja. Mereka berkata bahawa sesiapa yang memulangkan cupak tersebut, akan diberi (benda-benda makanan) sebanyak muatan seekor unta (sepikul unta). Nabi Yusuf juga menjamin bahawa dia sendirilah yang akan menyerahkan pemberian itu".


HURAIAN


Ayat ini menerangkan kepada kita bahawa harus memberi upah kepada seseorang yang melakukan pekerjaan yang disuruh sebagai galakan dalam masyarakat. Dalam kisah ini, Allah menceritakan tawaran Nabi Yusuf kepada sesiapa yang dapat memulangkan balik cupak tersebut yang mana ia akan diberikah hadiah yang besar berupa barangan sepikul unta yang penuh dengan makanan sebagai upah atau galakan kepada sumbangannya memelihara sifat amanah terhadap harta masyarakat (orang ramai).


Ayat 73:
قَالُواْ تَاللّهِ لَقَدْ عَلِمْتُم مَّا جِئْنَا لِنُفْسِدَ فِي الأَرْضِ وَمَا كُنَّا سَارِقِينَ (73)


73) Mereka berkata: "Demi Allah! Sesungguhnya kamu sedia mengetahui bahawa kedatangan kami bukanlah untuk berbuat kerosakan di bumi (Mesir ini), dan kami pula bukanlah pencuri".


TAFSIR


Mereka mempertahankan diri mereka dengan menjelaskan bahawa kedatangan mereka adalah untuk mencari makanan yang mereka perlukan untuk kehidupan mereka dan bukanlah untuk membuat kerosakan. Mereka juga bukanlah pencuri yang pernah melakukan pekerjaan tersebut.


HURAIAN
Seseorang yang tidak bersalah perlulah membuat penjelasan dengan berani kerana dengan itulah sahaja seseorang itu dapat membela dirinya. Seseorang yang diam membisu adalah manusia yang lemah dan akan mudah diperkecilkan. Itulah sebabnya Rasulullah S.A.W mengajarkan kepada kita:


اللهم إنى أعوذ بك من غلبة الدين وقهر الرجال


Ya Allah, aku berlindung denganMu dari dikelilingi oleh hutang dan ditewaskan oleh musuh-musuh.


Ayat 74:
قَالُواْ فَمَا جَزَآؤُهُ إِن كُنتُمْ كَاذِبِينَ (74)


74) (Orang-orang menteri) bertanya: "Maka apa balasan pencuri itu, jika kamu berdusta?".


TAFSIR


Mereka ditanya sekira ada bukti untuk mensabitkan kesalahan kepada mereka, apakah mereka rela di hukum?


HURAIAN


Mereka bertanya dengan cara yang berani berhadapan dengan resiko. Ini kerana sekiranya mereka telah benar-benar melakukan kecurian tersebut, mereka pasti tidak akan berani. Mereka pasti bimbang sekiranya benar-benar terdapat bukti yang mendedahkan kejahatan dan kesalahan mereka.


Maka, bolehlah kita untuk mengukur seseorang itu benar atau tidak boleh dipastikan dengan salah satu daripada caranya ialah menguji sejauh mana ia sanggup menghadapi tuduhan tersebut. Sekiranya ia tidak bersalah, ia akan berani menghadapi kesalahan tersebut sekiranya dapat dibuktikan manakala orang yang berdalih pula, mereka akan sentiasa takut untuk berdepan dengan kebenaran. Mereka tetap berdalih sekiranya bukti dapat menunjukkan mereka bersalah.


Ayat 75:


قَالُواْ جَزَآؤُهُ مَن وُجِدَ فِي رَحْلِهِ فَهُوَ جَزَاؤُهُ كَذَلِكَ نَجْزِي الظَّالِمِينَ (75)


75) Mereka menjawab: "Balasannya: sesiapa yang didapati benda itu di kenderaannya, maka dialah sendiri yang menjadi balasannya. Demikianlah kami membalas orang-orang yang zalim".


TAFSIR


Pembesar-pembesar di kalangan pihak Yusuf itu menjawab bahawa orang yang didapati bersalah itulah yang akan dihukum.


HURAIAN


Keadilan itu ialah orang yang didapati bersalah itulah yang akan dihukum manakala orang yang didapati tidak bersalah itulah tidak akan dihukum. Sekiranya yang berlaku adalah sebaliknya pula, maka zalimlah namanya.


Menegakkan keadilan dalam masyarakat adalah satu tanggung jawab yang wajib ditunaikan. Tetapi kadang kala tuntutan ini seringkali diabaikan. Nabi Yusuf telah berusaha memperbaiki dan telah berjaya mengubah keadaan buruk itu bertukar menjadi lebih baik bilamana ia berada pada jawatan tersebut.


Ayat 76:
فَبَدَأَ بِأَوْعِيَتِهِمْ قَبْلَ وِعَاء أَخِيهِ ثُمَّ اسْتَخْرَجَهَا مِن وِعَاء أَخِيهِ كَذَلِكَ كِدْنَا لِيُوسُفَ مَا كَانَ لِيَأْخُذَ أَخَاهُ فِي دِينِ الْمَلِكِ إِلاَّ أَن يَشَاء اللّهُ نَرْفَعُ دَرَجَاتٍ مِّن نَّشَاء وَفَوْقَ كُلِّ ذِي عِلْمٍ عَلِيمٌ 76))


76) Maka Yusuf pun mulailah memeriksa tempat-tempat barang mereka sebelum memeriksa tempat barang saudara kandungnya (Bunyamin) kemudian ia mengeluarkan benda yang hilang itu dari tempat simpanan barang saudara kandungnya. Demikianlah Kami jayakan rancangan untuk (menyampaikan hajat) Yusuf. Tidaklah ia akan dapat mengambil saudara kandungnya menurut undang-undang raja, kecuali jika dikehendaki oleh Allah. (Dengan ilmu pengetahuan), Kami tinggikan pangkat kedudukan sesiapa yang Kami kehendaki, dan tiap-tiap orang yang berilmu pengetahuan, ada lagi di atasnya yang lebih mengetahui,


TAFSIR


Nabi Yusuf menemui cupak tersebut pada barangan Bunyamin sebagaimana yang disembunyikannya.


HURAIAN


Ayat-ayat di atas mengisahkan muslihat yang dibuat oleh Yusuf untuk menyedarkan adik-beradiknya kepadanya dengan cara menekan mereka lebih ke dalam dalam bentuk yang tidak disedari oleh mereka. Meletakkan cupak di dalam guni Bunyamin dan menuduhnya mencuri seterusnya menangkapnya setelah mana dapat mensabitkan kesalahannya adalah helah yang bertujuan kebaikan. Helah itu sememangnya sebahagian dari kekuatan yang diperlukan kerana manusia itu perlu ditadbir dengan cara yang bijak. Kejayaan itu memerlukan kepada kebijaksanaan. Kebijaksanaan itu pula semestinya berbentuk kelembutan. Itulah cara yang akhirnya membuahkan keredhaan dan keinsafan. Kerana itulah Islam mengizinkan membuat helah asalkan helah itu di dalam linkungan yang digariskan oleh syara`.


Ilmu adalah sebahagian dari rezeki batin yang Allah SWT agihkan kepada hamba-hambaNya. Allah SWT berfirman:
                  
Surah Al Baqarah ayat 269
Yang bermaksud: Allah menganugerahkan Al hikmah (kefahaman yang dalam tentang Al Quran dan As Sunnah) kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan barangsiapa yang dianugerahi hikmah, ia benar-benar telah dianugerahi kurnia yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakallah yang dapat mengambil pelajaran (dari firman Allah).


Ayat 77:
قَالُواْ إِن يَسْرِقْ فَقَدْ سَرَقَ أَخٌ لَّهُ مِن قَبْلُ فَأَسَرَّهَا يُوسُفُ فِي نَفْسِهِ وَلَمْ يُبْدِهَا لَهُمْ قَالَ أَنتُمْ شَرٌّ مَّكَانًا وَاللّهُ أَعْلَمْ بِمَا تَصِفُونَ (77)


77) Mereka berkata:" Kalau dia mencuri, maka (tidaklah pelik), kerana sesungguhnya saudara kandungnya pernah juga mencuri dahulu. (Mendengar kata-kata yang menyinggung itu) maka Yusuf pun menyembunyikan perasaannya, dan tidak menyatakannya kepada mereka, sambil berkata (dalam hati): "Kamulah yang lebih buruk keadaannya; dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu katakan itu".


TAFSIR


Setelah cupak itu ditemui, mereka mudah membebaskan diri dari tuduhan tersebut.


Akhirnya setelah melihat bukti yang ditemui di dalam karung Bunyamin. Mereka mengakuilah bahawa Bunyamin telah melakukan kesalahan tersebut. Mereka menghina perbuatan Bunyamin dengan berkata bahawa abangnya Yusuf itu pernah juga mencuri dahulu. Di sini ada satu sifat kecuaian dalam diri mereka kerana mereka tidak berfikir bahawa mungkin bukti itu sengaja diada-adakan untuk mengenakan Buninyamin. Adakah dengan mengakui bulat-bulat bukti yang ditemui itu, seolah-olah mereka belum benar-benar mengenali adiknya itu dalam kehidupan sehari-hariannya sehingga ditangkap kerana mencuri?


Sekiranya mereka benar-benar mengenali sifat dan akhlak adik mereka itu, tentulah mereka tidak mempercayai bukti tersebut. Tetapi oleh kerana mereka memandang rendah kepada anak-anak rahil, demikianlah mudahnya mereka dipermain-mainkan kerana sikap dingin mereka terhadap adik-beradik mereka.


Yusuf menyembunyikan perasaan marahnya terhadap kebebalan mereka sambil berkata (dalam hati): "Kamulah yang lebih buruk keadaannya; dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu katakan itu".


HURAIAN


Dalam ayat ini kita dapat melihat sikap sesetengah manusia terhadap sangkaan dirinya sendiri yang datang dari perasaannya yang menipu menjadi anggapan dan sangkaan yang terus hidup berpanjangan. Sikap ini ternyata amat merbahaya kerana boleh membuatkan hatinya benar-benar menyakini sesuatu yang ia sendiri mengetahuinya sebagai palsu. Hal ini berlaku di dalam dirinya semata-mata untuk menyeronok hatinya dari kegelisahan-kegelisahannya. Dalam keadaan ini, ia cuba memujuk dirinya untuk menerima kepalsuan.
Itulah sebabnya Yusuf sinis dan kesal kepada saudara-saudaranya.




Ayat 78:


قَالُواْ يَا أَيُّهَا الْعَزِيزُ إِنَّ لَهُ أَبًا شَيْخًا كَبِيرًا فَخُذْ أَحَدَنَا مَكَانَهُ إِنَّا نَرَاكَ مِنَ الْمُحْسِنِينَ (78)


78) Mereka pun merayu dengan berkata: "Wahai Datuk Menteri! Sesungguhnya ia (Bunyamin), mempunyai bapa yang sudah tua, lagi berpangkat. Oleh itu, ambilah salah seorang di antara kami sebagai gantinya; sesungguhnya kami memandangmu dari orang-orang yang sentiasa berbudi ".


TAFSIR


Mereka merayu kepada Yusuf agar dibebaskan Bunyamin. Mereka membuat alasan yang pada perkiraan undang-undang tidak boleh diambil kira sekali-kali. Mereka berkata bahawa bapa Bunyamin sudah tua dan mereka juga memujuk menteri dengan kata-kata pujian sebagaimana yang seringkali dilakukan oleh golongan yang suka membodek.


HURAIAN


Rayuan yang dibuat oleh saudara-saudara Yusuf ini bertujuan untuk memperbetulkan hubungan mereka dengan ayah mereka. Tentang persoalan kasih sayang kepada sesiapa sahaja ayah mereka mahu tumpahkan, itu adalah sesuatu yang tidak boleh dipersoalkan oleh anak-anak. Itu adalah hak seseorang ayah yang ia sendiri perlu bertanggungjawab di hadapan Allah dan bukan hak anak-anak untuk mempersoalkannya. Sikap anak-anak yang cuba mempersoalkannya adalah mengundang bala dan keburukan yang lebih besar kepada keluarga. Cadangan mereka di atas menunjukkan kepada kita sikap mereka yang bertanggung jawab untuk cuba memenuhi hasrat bapanya.


Tetapi pujukan yang berupa kata-kata bodek itu tidak akan boleh diterima oleh seorang yang benar dan mengetahui erti amanah.


Ayat 79:
قَالَ مَعَاذَ اللّهِ أَن نَّأْخُذَ إِلاَّ مَن وَجَدْنَا مَتَاعَنَا عِندَهُ إِنَّآ إِذًا لَّظَالِمُونَ (79)


79) Yusuf berkata: “Kami berlindung kepada Allah daripada mengambil sesiapa pun kecuali orang yang kami dapati barang kami dalam simpanannya. Sesungguhnya jika kami mengambil orang lain, nescaya jadilah kami orang-orang yang zalim”.


TAFSIR


Nabi Yusuf menolak permintaan mereka dengan menyebutkan bahawa ia berlindung kepada Allah daripada mengambil sesiapa yang tidak bersalah kerana perbuatan itu akan menjatuhkannya bersama orang-orang yang zalim.


HURAIAN


Hujah logik dan berdasarkan perundangan yang dikemukakan oleh Yusuf kepada saudara-saudaranya dalam menolak cadangan mereka untuk menggantikan salah seorang dari mereka di tempat Bunyamin adalah kukuh dan tidak dapat dipatahkan oleh mereka. Inilah contoh sistem keadilan Islam yang hanya menjatuhkan hukuman ke atas yang bersalah sahaja dan hukuman itu tidak boleh dipermain-mainkan atau ditukar ganti. Keadilan dalam ajaran Islamlah yang mengajarkan umatnya meletakkan sesuatu pada tempat yang sebenarnya. Faktor kekeluargaan, kemewahan, pangkat dan jawatan mahupun perasaan simpati dan kasihan tidak boleh sekali-kali menjadi alasan dalam perlaksanaan hukuman yang dijatuhkan.
Allah s.w.t berfirman:
             
(Surah an-Nuur: 2)


Ertinya: Dan janganlah kamu mengambil (rasa) simpati dalam menjalankan hukum Allah jika kamu beriman dengan Allah dan hari akhirat.


Rasulullah s.a.w bersabda:


لو كانت فاطمة بنت محمد سرقت لقطعت يدها
Maksudnya: Demi Allah, sekiranya Fatimah binti Mohammad (anakku) mencuri,nescaya akan aku potong tangannya.-


Zalim - yang mana-mana dalam konteks pengertian Islamnya ialah meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya yang asal tetapi pada tempatnya yang telah diubah – mestilah dijauhi dan dielakkan sepenuhnya. Sekiranya pemimpin atau penjatuh hukuman juga berfikir untuk menukar sesuatu dari kedudukan asalnya, nescaya masyarakat itu akan menjadi porak peranda.


Ayat 80:
فَلَمَّا اسْتَيْأَسُواْ مِنْهُ خَلَصُواْ نَجِيًّا قَالَ كَبِيرُهُمْ أَلَمْ تَعْلَمُواْ أَنَّ أَبَاكُمْ قَدْ أَخَذَ عَلَيْكُم مَّوْثِقًا مِّنَ اللّهِ وَمِن قَبْلُ مَا فَرَّطتُمْ فِي يُوسُفَ فَلَنْ أَبْرَحَ الأَرْضَ حَتَّىَ يَأْذَنَ لِي أَبِي أَوْ يَحْكُمَ اللّهُ لِي وَهُوَ خَيْرُ الْحَاكِمِينَ (80)
80) Maka apabila mereka berputus asa daripada mendapat pertolongannya, merekapun mengasingkan diri lalu bermesyuarat tentang hal itu. Berkatalah ketua mereka (saudaranya yang sulung): "Tidakkah kamu ketahui bahawa bapa kita telah mengambil janji dari kamu yang dikuatkan dengan nama Allah, dan dahulu pun kamu telah mencuaikan janji dan sumpah kamu dalam perkara menjaga keselamatan Yusuf? Oleh itu, aku tidak sekali-kali akan meninggalkan negeri (Mesir) ini sehingga bapaku izinkan aku (kembali atau sehingga Allah menghukum bagiku (untuk meninggalkan negeri ini), dan Dialah Hakim yang seadil-adilnya.


TAFSIR


Setelah mereka gagal memujuk menteri, mereka berbincang sesama mereka dan memutuskan untuk menerangkan kepada bapa mereka hal sebenar yang telah berlaku. Abang sulung mereka yang lebih matang dan insaf, Yahuza, memutuskan untuk tidak akan meninggalkan Mesir pulang ke kampung halaman sehingga bapanya, Ya`akub memaafkannya.


HURAIAN


Ayat ini mengisahkan perasaan insaf yang telah menjelma dalam diri sebahagian saudara-saudara Yusuf terhadap kesilapannya yang lalu di mana keinsafan ini datang bersama ilmu dan pengalaman disertakan juga dengan umur yang semakin meningkat. –(lihat ayat 91)
وَإِن كُنَّا لَخَاطِئِينَ
Maksudnya: Dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah".


Ayat ini turut menggambarkan saudaranya yang insaf ini turut berharap agar bapanya yang telah tua juga dilayan dengan baik oleh adik-adiknya yang lain, lebih-lebih lagi dalam menerima berita yang menyedihkan ini. Ramai manusia seperti ini dan mereka pastinya akan memperolehi keampunan dari Allah yang maha Pengampun dan Maha Penyanyang. Lihat seumpama firman Allah SWT ini:


إِلَّا مَن ظَلَمَ ثُمَّ بَدَّلَ حُسْنًا بَعْدَ سُوءٍ فَإِنِّي غَفُورٌ رَّحِيمٌ (11)
(Surah an-Naml: 11)


Bermaksud: Melainkan orang-orang yang zalim lalu ia menukarkan kepada kebaikan selepas kejahatan maka sesungguhnya Aku maha pengampun lagi maha penyayang-


Ayat 81:
ارْجِعُواْ إِلَى أَبِيكُمْ فَقُولُواْ يَا أَبَانَا إِنَّ ابْنَكَ سَرَقَ وَمَا شَهِدْنَا إِلاَّ بِمَا عَلِمْنَا وَمَا كُنَّا لِلْغَيْبِ حَافِظِينَ (81)


81) Kembalilah kamu kepada bapa kamu, dan katakanlah, wahai ayah kami! Sesungguhnya anakmu (Bunyamin) telah mencuri, dan kami tidak menjadi saksi (terhadapnya) melainkan dengan apa yang kami ketahui dan kami tidaklah dapat menjaga perkara yang ghaib.


TAFSIR
Salah seorang dari abang mereka menyuruh agar mereka kembali kepada bapa dan menjelaskan hal yang sebenarnya iaitu Bunyamin telah mencuri.


HURAIAN


Ia mengarahkan supaya saudara-saudara yang bersamanya pulang memaklumkan kepada bapanya tentang berita yang tidak sedap didengar ini. Sikap tanggungjawab sebagai abang yang lebih tua telah cuba dilaksanakan dengan cara yang sebaik-baiknya. Namun begitu ia tidak pula bersungguh-sungguh mempertahankan Bunyamin yang mereka kenali sebagai baik itu. Mereka juga tidak mempertikaikan kesohehan keterangan yang terdapat pada bukti. Mereka lebih bersifat percaya kepada apa yang ada sedangkan biasanya tiap-tiap apa yang berlaku itu ada banyak sandiwaranya. Sekiranya mereka benar-benar mengenali adik mereka sendiri tentulah mereka akan mempertahankannya. Ini bererti mereka adalah lemah dalam mempertahankan adik mereka itu.


Ayat 82:
وَاسْأَلِ الْقَرْيَةَ الَّتِي كُنَّا فِيهَا وَالْعِيْرَ الَّتِي أَقْبَلْنَا فِيهَا وَإِنَّا لَصَادِقُونَ (82)


82) Dan bertanyalah kepada penduduk negeri (Mesir) tempat kami tinggal (berdagang) dan kepada orang-orang kafilah yang kami balik bersamanya. Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang benar".


TAFSIR


Ia turut mencadangkan supaya memberikan jawapan yang baik untuk menyakinkan bapa mereka dan berharap agar keyakinan bapa mereka kepadanya tidak berkurangan.


Ia meminta saudara-saudaranya membawakan bukti-bukti untuk dikemukan kepada bapa mereka yang berupa saksi-saksi yang boleh memberikan penjelasan. Bilangan ahli-ahli kumpulan yang bertolak bersama-sama mereka adalah melebihi bilangan yang diperlukan sehingga tidak mungkin mereka mereka-reka cerita atau menipu. Apatah lagi setelah berita itu telah tersebar luas setelah mana ketua kumpulan mereka mengisahkan beberapa orang yang datang bersama mereka tidak pulang bersama.


Ayat 83:
قَالَ بَلْ سَوَّلَتْ لَكُمْ أَنفُسُكُمْ أَمْرًا فَصَبْرٌ جَمِيلٌ عَسَى اللّهُ أَن يَأْتِيَنِي بِهِمْ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ (83)


83) (Setelah mereka kembali dan menyampaikan hal itu kepada bapa mereka) berkatalah ia: (“Tidaklah benar apa yang kamu katakan itu) bahkan nafsu kamu telah memperelokkan pada pandangan kamu suatu perkara (yang kamu rancangkan). Jika demikan, bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya, mudah-mudahan Allah mengembalikan mereka semua kepadaku. Sesungguhnya Dialah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.


TAFSIR


Nabi Ya`akub menolak berita yang mereka sampaikan dengan berkata: “Nafsu kamu telah menyebabkan kamu melihat rancangan kamu itu elok, paahal sebenarnya tidak.maka aku hanyalah boleh bersabar dan mengharapkan mudah-mudahan Allah mengembalikan mereka semua kepadaku. Sesungguhnya Dialah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.


HURAIAN


Allah SWT menceritakan bahawa ucapan Ya`akub ( بَلْ سَوَّلَتْ لَكُمْ أَنفُسُكُمْ أَمْرًا ) yang bermaksud bahkan nafsu kamu telah memperelokkan pada pandangan kamu suatu perkara (yang kamu rancangkan) telah disebutnya dua kali. Kali pertama ketika mendengar berita dari anak-anaknya ini bahawa Yusuf telah dimakan serigala manakala yang kedua setelah ia mendengar perkhabaran dari mereka juga bahawa Bunyamin telah didapati mencuri. Mengapakah mereka meninggalkan bunyamin bersendirian seorang diri sebagaimana mereka meninggalkan Yusuf seorang diri? Mengapalah mereka adik-beradik itu tidak saling teman menemani antara satu sama lain?


Dalam erti kata yang lain, besarnya kesalahan mereka pada kali yang pertama itu menjadi hujah untuk Nabi Ya`akub melihat yang kedua adalah berlaku dengan sebab kecuaian mereka juga. Mengapa mereka tidak mempertikaikan bukti yang dijumpai itu adakah benar-benar dicuri oleh Bunyamin? Inilah dia kecuaian yang kedua yang menyebabkan Nabi Ya`akub menuduh mereka sebagai memperelokkan rancangan kamu itu.


Ya`akub melihat jalan keluar kepada masalah ini ialah bersabar dan terus menerus merayu kepada Allah SWT semoga Allah mengembalikan Yusuf, Buninyamin dan anaknya yang tidak mahu pulang itu kembali kepangkuannya semula. Ia tetap terus menyakini mimpi yang pernah dinyatakan oleh Nabi Yusuf itu pasti akan berlaku. Hanya menunggu masa yang ditentukan Allah. Ia tetap yakin bahawa ujian ini adalah untuk mempamerkan dan membuktikan Allah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.


Ayat 84:
وَتَوَلَّى عَنْهُمْ وَقَالَ يَا أَسَفَى عَلَى يُوسُفَ وَابْيَضَّتْ عَيْنَاهُ مِنَ الْحُزْنِ فَهُوَ كَظِيمٌ (84)


84) Dan (bapa mereka - Nabi Ya`akub) pun berpaling dari mereka (kerana berita yang mengharukan itu) sambil berkata: “Aduhai sedihnya aku kerana Yusuf”. Dan putihlah dua belah matanya disebabkan ratap tangis dukacitanya kerana ia orang yang memendamkan marahnya di dalam hati.


TAFSIR


Allah menggambarkan keluhan Ya`akub kerana keperitan yang dalam dan panjang yang ditanggung olehnya.


HURAIAN


Konflik keyakinan dan percaya-mempercayai antara Nabi Ya`akub dengan anak-anaknya adalah satu ujian yang amat berat. Bagi Nabi Ya`aqub yang merasa ia diperbudak-budakkan oleh anak-anaknya, kaum keluarga, kerabat yang lain-lain, sahabat-handai dan jiran tetangga tidak mampu mengubati penderitaannya ini melainkan pengaduannya kepada Allah SWT sahaja yang boleh mengurangkan kepedihannya. Dalam masa ia berdoa, ia mengeluh-ngeluh tidak putus-putus menyebut nama Nabi Yusuf, ia berkata:


وَقَالَ يَا أَسَفَى عَلَى يُوسُفَ
Maksudnya: Dan Nabi Ya`aqub berkata: “Aduhai sedihnya aku kerana Yusuf”.


Dapatlah kita fahami dari kisah yang penuh dengan pengajaran dan mukjizat ini bahawa hadirnya sesetengah perasaan secara berlebihan ke dalam diri seseorang sering kali menekankan diri itu lebih jauh ke dalam jurang kesakitan.


Namun begitu, perasaan yang datang secara berlebihan itu tidak mampu dihalang-halang. Ia datang dengan sendirinya seolah-olah ia adalah tentera yang gagah perkasa yang dengan senang dan mudah dapat menakluki dan menundukkan satu negeri yang dinamakan “diri”.


Perasaan yang berlebihan itu seringkali boleh membinasakan dirinya. Maka seseorang tidak harus melayan perasaannya itu tetapi apabila seseorang yang cuba mengawal perasaannya gagal dalam memerangi perasaan yang menguasai dirinya walaupun setelah dicuba dengan sedaya upayanya, itu adalah satu dari ujian Allah yang tidak kecil kepadanya. Kasih yang berlebihan dan benci yang berlebihan adalah sepasang sifat yang seringkali menekan ke dalam jiwa seseorang dengan cara begitu.


Ayat 85:


قَالُواْ تَالله تَفْتَأُ تَذْكُرُ يُوسُفَ حَتَّى تَكُونَ حَرَضًا أَوْ تَكُونَ مِنَ الْهَالِكِينَ (85)


85) Mereka berkata: "Demi Allah, ayah tak habis-habis ingat kepada Yusuf, sehingga ayah menjadi sakit merana, atau menjadi dari orang-orang yang binasa".


TAFSIR


Melihatkan keadaan bapa mereka yang merana kesedihan akibat perasaan kerinduannya yang berlebihan itu membebankan dirinya, maka mereka merungut-rungut supaya janganlah membebankan diri lagi.


HURAIAN


Lihatlah dalam ayat ini Allah mengisahkan sikap anak-anak yang memperlihatkan perasaan berputus-asa dengan keadaan bapanya. Mereka sama-sama menanggung kesusahan akibat perbuatan mereka melenyapkan Yusuf daripada keluarga beberapa puluh tahun yang lampau. Pada masa ini ternyata dakwaan mereka dahulu bahawa dengan melenyapkan Yusuf itu mereka akan beroleh bahagia adalah silap.


Ayat ini ingin menerangkan kepada kita sesuatu kesilapan yang telah dilakukan sebenarnya ia tidak akan lenyap begitu saja walaupun pada asalnya ia adalah kecil, kesilapan itu akan membesar sedikit demi sedikit bersama umur mereka yang semakin meningkat itu. Maka akibatnya menjadi semakin berat dari semasa ke semasa.


Ayat 86:
قَالَ إِنَّمَا أَشْكُو بَثِّي وَحُزْنِي إِلَى اللّهِ وَأَعْلَمُ مِنَ اللّهِ مَا لاَ تَعْلَمُونَ (86)


86) (Nabi Ya`akub) menjawab: “Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah, dan aku mengetahui (dengan perantaraan wahi) dari Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya”.


TAFSIR


(Nabi Ya`akub) menjelaskan lagi bahawa biarlah ia hanya mengadukan kesusahan dan dukacitanya itu kepada Allah. Ia menjelaskan juga dengan bertubi-tubi supaya anak cucunya benar-benar mengerti dan yakin – walaupun mereka boleh senyangka sebagai nyanyuk - bahawa ia mengetahui (dengan perantaraan wahi) dari Allah apa yang mereka tidak mengetahuinya.


HURAIAN


Kesedihan Nabi Ya`akub bukanlah kerana menuruti perasaan tetapi kesedihan semulajadi akibat kasih yang bersangatan terhadap anaknya. Kesedihan ini akan menambahkan rasa insaf diri dan memperbetukan kesilapan yang lalu. Memang menjadi haknya untuk bersedih dan menangis sebagaimana Rasulullah S.A.W juga menangisi di atas kematian anaknya Ibrahim yang masih kecil.


Ini menjadikan ia banyak mengadu kepada Allah. Setiap kali ia mengadu kepada Allah SWT dengan sepenuh tekun dan khusu’nya, terasa semakin ringanlah penderitaan tersebut dan semakin dekatlah janji Allah.


Di saat-saat yang sebegini menekan perasaannya, ia belum mahu menceritakan tentang mimpi Nabi Yusuf itu kerana bimbangkan ta`bir itu meleset atau disalah fahamkan oleh anak-anaknya. Namun begitu, ia masih yakin kepada janji yang terdapat padanya. Sekali lagi juga kita dapat memahami di sini bahawa rindu yang bersangatan bukan sahaja merosakkan perasaan manusia malahan juga boleh merosakkan saraf dan tubuh badan seseorang. Demikianlah juga perasaan yang berlebihan akan melemahkan fizikal seseorang.


Ayat ini jelas kepada kita bahawa seseorang yang dilihat lemah kerana usia tuanya, lantas itu - kerana percakapan, perbuatan dan tingkah laku yang pelik, - anak cucunya mula meminggirkannya dan menganggapkannya sebagai nyanyuk. Sebenarnya ia melihat dengan suatu penglihatan yang lebih jauh yang tidak mampu dicapai oleh anak cucunya itu. Mereka mempunyai penglihatan yang berbeza. Bezanya ialah fizikalnya adalah lemah berbanding dengan fizikal anak cucunya, lantas itulah mereka menolaknya. Ini adalah satu rahsia kehidupan. Sebenarnya ia menerangkan tahap penglihatan seseorang yang berbeza yang berkait dengan umurnya.


Ayat 87:
يَا بَنِيَّ اذْهَبُواْ فَتَحَسَّسُواْ مِن يُوسُفَ وَأَخِيهِ وَلاَ تَيْأَسُواْ مِن رَّوْحِ اللّهِ إِنَّهُ لاَ يَيْأَسُ مِن رَّوْحِ اللّهِ إِلاَّ الْقَوْمُ الْكَافِرُونَ (87)


87) Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir".


TAFSIR


Ya`akub tidaklah berserah semata-mata malahan ia juga berikhtiyar dengan kemampuan yang ada padanya. Ia menyuruh anak-anaknya pergi mengintip khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin) dan ia melarang anak-anaknya berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Ia menegaskan bahawa sesungguhnya jangan berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir".


HURAIAN


Kalau nak dikatakan si ayah ini sudah nyanyuk, masakan ia boleh menyalakan semangat ke dalam diri anak-anaknya supaya berusaha dengan kemampuan yang ada pada masing-masing untuk pergi semula ke Mesir mencari ketiga-tiga yang tidak pulang itu. Bagaimana pula ia boleh menyuruh anak-anaknya pergi mengintip khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin)? Kalaulah ia nyanyuk, bagaimana pandai pula ia melarang anak-anaknya berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Masih tahu ia dan masih ingat ia untuk menegaskan kepada anak cucunya bahawa sesungguhnya tidak boleh berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir.


Di sini ada suatu keyakinan si ayah yang tua itu tetapi tidak dirasai oleh anak-anaknya. Dalam erti kata yang lain, seolah-olah sifat nyanyuk yang anak cucu tuduhkan kepadanya pada hakikatnya tidak difahami oleh anak cucunya sendiri tentang pandangannya yang tinggi dan jauh melepasi garisan yang sedang disaksikan oleh anak cucu tersebut.


Demikianlah kehidupan yang berdekatan antara bapa yang tua dengan anak cucu hanyalah sebelah menyebelah sahaja tetapi mempunyai pandangan yang jauh berbeza. Maka malanglah bagi anak cucu yang tidak mahu memahami bahkan tidak mahu mempelajari dari orang tua yang dilihat sudah lemah itu.


Ayat 88:
فَلَمَّا دَخَلُواْ عَلَيْهِ قَالُواْ يَا أَيُّهَا الْعَزِيزُ مَسَّنَا وَأَهْلَنَا الضُّرُّ وَجِئْنَا بِبِضَاعَةٍ مُّزْجَاةٍ فَأَوْفِ لَنَا الْكَيْلَ وَتَصَدَّقْ عَلَيْنَآ إِنَّ اللّهَ يَجْزِي الْمُتَصَدِّقِينَ (88)


88) Maka (bertolaklah mereka ke Mesir, dan) setelah mereka masuk mengadap Yusuf, berkatalah mereka: "Wahai datuk menteri, kami dan keluarga kami telah menderita kesusahan (kemarau), dan kami datang dengan membawa barang-barang yang kurang baik dan tidak berharga (untuk menjadi tukaran bagi benda-benda makanan negeri ini). Oleh itu, sempurnakanlah sukatan bekalan makanan bagi kami dan mendermalah kepada kami, sesungguhnya Allah membalas dengan sebaik-baik balasan kepada orang-orang yang bermurah hati menderma".


TAFSIR


Ayat-ayat ini mengisahkan cerita tentang kemasukan mereka ke Mesir kali ketiga pula setelah mana makanan yang mereka bawa pulang kali yang kedua itu habis dan perlu kepada bekalan yang baru pula. Maka mereka masuk mengadap Yusuf, dan berkata: "Wahai datuk menteri, kami dan keluarga kami telah menderita kesusahan (kemarau), dan kami datang dengan membawa barang-barang yang kurang baik dan tidak berharga (untuk menjadi tukaran bagi benda-benda makanan negeri ini). Ini kerana barang-barang yang baik sudah habis tiada lagi akibat terlampau lamanya dan panjangnya kemarau kali ini. Oleh itu, Berilah bekalan makanan bagi kami dan mendermalah kepada kami, sesungguhnya Allah membalas dengan sebaik-baik balasan kepada orang-orang yang bermurah hati menderma".


HURAIAN


Demikianlah perbezaan pengurusan dan pentadbiran orang yang tahu dengan orang yang tidak tahu, tetap tidak sama. Kesannya adalah berbeza terhadap rakyat jelata. Negara yang makmur akan dikunjungi oleh berbagai-bagai pihak manakala negara yang menderita hanyalah akan terdedah kepada kepentingan musuh-musuh yang sanggup menjajah asalkan memperolehi keuntungan yang lebih besar.


Perlunya usaha dan tawakkal dengan apa jua cara sekalipun selagimana ianya baik dan diizinkan syara’ termasuklah memperbaiki hubungan supaya lebih baik dengan orang yang boleh membantu menyelesaikan masalah sepertimana rayuan yang dibuat oleh adik -beradik Yusuf kepadanya. Ini jelas dapat kita jadikan pengajaran yang berharga boleh kita kutip dari ayat ini.


Ayat ini juga menerangkan kepada kita bagaimana adik-beradik Yusuf memujuknya agar belas kasihan dan menghulurkan ikhsan kepada mereka. Meskipun tangan yang di atas itu lebih baik dari tangan yang di bawah, tetapi hakikatnya kemiskinan dan kepapaan boleh mengheret kepada kekufuran. Oleh kerana itulah Islam amat-amat menyuruh umatnya supaya sentiasa berusaha membina kehidupan yang lebih baik. Inilah yang akan menyelamatkan harga diri dan agamanya. Ini kerana kesempitan hidup akan mengubah manusia samada ke arah yang lebih baik atau buruk bergantung kepada orang yang membantunya.


Di saat-saat inilah Yusuf melihat bahawa inilah masa yang baik untuk mengubah mereka seterusnya menghentikan salah sangka mereka terhadapnya. Lalu ia bertanya sebagaimana yang dinyatakan Allah.


Ayat 89:
قَالَ هَلْ عَلِمْتُم مَّا فَعَلْتُم بِيُوسُفَ وَأَخِيهِ إِذْ أَنتُمْ جَاهِلُونَ (89)


89) Yusuf berkata: "Tahukah kamu (betapa buruknya) apa yang kamu telah lakukan kepada Yusuf dan adiknya, semasa kamu masih jahil (tentang buruknya perbuatan yang demikian)?".


TAFSIR


Yusuf bertanya adakah mereka sudah rasa menyesal terhadap apa yang mereka telah lakukan kepada Yusuf dan adiknya semasa dulu .


HURAIAN


Dalam ayat ini kita dapat melihat suatu bentuk interaksi yang sangat bijak. Di masa-masa yang amat menghimpitkan dan menekankan mereka, Yusuf bertanyakan kepada mereka sesuatu yang amat dalam sentuhan rasanya menyentak lubuk perasaan mereka. Soalan yang ditanyai itu: ( هَلْ عَلِمْتُم مَّا فَعَلْتُم بِيُوسُفَ ) "Tahukah kamu (betapa buruknya) apa yang kamu telah lakukan kepada Yusuf”? Sekali-kali tidak memperlihatkan keangkuhannya di hadapan saudara-saudaranya yang pasti akan menyesal dengan perbuatan mereka dulu itu. Kelembutan soalan itu adalah kelembutannya dulu yang sebenarnya mereka sendiri sangat-sangat menghausinya. Soalan itu memberikan sesuatu kekenyangan yang menyeronokkan tanpa disedari oleh mereka sendiri.


Ayat 90:
قَالُواْ أَإِنَّكَ لَأَنتَ يُوسُفُ قَالَ أَنَاْ يُوسُفُ وَهَذَا أَخِي قَدْ مَنَّ اللّهُ عَلَيْنَا إِنَّهُ مَن يَتَّقِ وَيِصْبِرْ فَإِنَّ اللّهَ لاَ يُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ (90)


90) Mereka bertanya (dengan hairan): "Engkau ini Yusufkah?" Ia menjawab: "Akulah Yusuf dan ini adikku (Bunyamin). Sesungguhnya Allah telah mengurniakan nikmatNya kepada kami. Sebenarnya sesiapa yang bertaqwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.


TAFSIR


Terperanjat mereka dengan soalan menteri yang menikam lubuk hati itu dan mereka bertanya dengan hairan: "Engkau ini Yusufkah?" Ia menjawab: "Akulah Yusuf dan ini adikku Bunyamin. Sesungguhnya Allah telah mengurniakan nikmatNya kepada kami. Sebenarnya sesiapa yang bertaqwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.


HURAIAN


Inilah perbuatan Allah yang semestinyalah mereka akui sepatutnya semenjak hari pertama mereka merancang kejahatan terhadap Yusuf dan lebih-lebih lagi sewaktu mereka menghumbangkan Yusuf ke dalam perigi itu. Allah SWT boleh memberi, mengambil dan menukar gantikan apa-apa sahaja dari mana-mana juga di kalangan hamba-hambanya yang Ia kehendaki dan tidak harus dipertikaikan oleh sesiapapun. Insaflah wahai manusia akan firman Allah:


                      •         •  •                  
Katakanlah: "Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.(26) Engkau masukkan malam ke dalam siang dan Engkau masukkan siang ke dalam malam. Engkau keluarkan yang hidup dari yang mati, dan Engkau keluarkan yang mati dari yang hidup. dan Engkau beri rezki siapa yang Engkau kehendaki tanpa hisab (batas)".(27- Surah Ali Imran ayat 26-27)


Ayat 91:
قَالُواْ تَاللّهِ لَقَدْ آثَرَكَ اللّهُ عَلَيْنَا وَإِن كُنَّا لَخَاطِئِينَ (91)


91) Mereka berkata: "Demi Allah! Sesungguhnya Allah telah melebihkan dan memuliakan engkau daripada kami (di sebabkan taqwa dan kesabaranmu); dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah".


TAFSIR


Mereka mengakui Allah telah melebihkan dan memuliakan Yusuf di sebabkan taqwa dan kesabaran. Mereka juga mengakui mereka telah melakukan kesilapan.


HURAIAN


Di sini, bagi seseorang yang celik fikirannya, tentulah dapat membayangkan kegembiraan mereka yang tidak mungkin dapat digambarkan. Bukan kepalang gembiranya dapat berjumpa dengan saudara dalam keadaan yang tidak di sangka-sangka, padahal saudara yang pernah mereka khianati itu telah menjadi penyebab kepada kesedihan bapa mereka yang berpanjangan. Namun begitu, sekarang saudara itu melayan mereka dengan layanan yang teramat baik dan mengajak pula mereka supaya berkongsi kebahagiaan yang diperolehinya. Jadi kegembiraan itu menjadi lebih bertambah lagi kepada mereka.


Tentulah segenap keinsafan terhadap kebodohan mereka akan dihayati baik-baik. Keinsafan itu menambahkan lagi kemesraan mereka apatah lagi mereka telah mencapai umur tahap matang. Segala kepahitan masa lalu akan mencengkamkan perasaan ingin bersama untuk selama-lamanya di dalam banir-banir hati mereka.


Sesungguhnya itu adalah sebesar-besar nikmat Allah yang Maha Agung untuk mereka yang berpisah.


Ayat 92:
قَالَ لاَ تَثْرَيبَ عَلَيْكُمُ الْيَوْمَ يَغْفِرُ اللّهُ لَكُمْ وَهُوَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ (92)


92) Yusuf berkata: "Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu), semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dialah jua yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani.


TAFSIR


Setelah mereka mengakui kesilapan mereka. Yusuf tidaklah pula menekan mereka dengan kesilapan tersebut, sebaliknya ia berkata bahawa Allah itu Maha Pengampun semoga Allah mengampunkan dosa kita semua. Tiada dendam kesumat walaupun sebesar zarah di dalam hati yang bersih suci mencari keredhaan Allah. Yusuf juga mengharapkan kasih sayanglah yang menggantikan tempat permusuhan itu. Ia berkata bahawa Allahlah jua yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani.


HURAIAN


Lihatlah sikap Yusuf yang penyayang kepada keluarganya yang telah memberikan kemaafan terhadap kesilapan mereka. Inilah contoh manusia yang tidak mahu keluar dari penjara setelah diberikan peluang melainkan setelah maruah dan harga dirinya dibersihkan terlebih dahulu.


Perkataan jaahilun pada ayat 89 menunjukkan bahawa Yusuf telah pun lama berlapang dada untuk memaafkan mereka. Sememangnya bodoh jika seseorang itu tidak memaafkan kesalahan yang dilakukan oleh seseorang pada masa bodohnya si pelaku kerana perbuatan tersebut tidak akan menjadikan orang yang bersalah itu akan berundur dari kesalahannya dengan mudah tetapi sebaliknya apabila ia dimaafi, ia akan menjadi malu dan akhirnya ia akan mengalah kepadanya. Inilah sifat keegoan manusia yang kadang-kala sering kali memperbodohkan tuannya. Kita tentunya boleh membayangkan betapa saudara-saudara Yusuf telah sedia mengakui kesilapan mereka. Lihatlah dalam kisah bagaimana Bunyamin diperangkapkan dengan kes cupak. Kegusaran mereka tidak dapat disembunyikan lagi. Tetapi dengan kejutan yang dibuat oleh Yusuf ini benar-benar menjadikan mereka tersentuh dengan kesilapan dan kebodohan mereka. Manakala di pihak Yusuf pula, ia merasakan peristiwa ini amat manis.


Tidak perlu kepadanya menyalahkan saudara-saudaranya kerana saudara-saudaranya telah cuba memenuhi hajatnya walaupun hajatnya itu cuba dipenuhi oleh saudaranya setelah ia berada di tahap yang senang dan mewah, kejujuran itu tidak perlu lagi dipertikaikan sekiranya mereka semuanya ikhlas terhadap diri mereka sendiri.


Hal demikian tentulah lain keadaannya sekira mereka tidak jujur terhadap diri mereka sendiri. Dalam hal Yusuf perkara itu tidak timbul kerana segala kesenangannya itu adalah anugerah Allah dan bukan dengan usahanya sendiri. Dirinya sendiri adalah lemah dan ini benar-benar diinsafi olehnya setelah dia sendiri menyedari dirinya tidak mampu menghilangkan kesusahan yang pernah menjenguknya ketika difitnah dan dikurung dalam penjara beberapa tahun dulu .


Baiknya hati Yusuf dapat dilihat apabila ia menyebutkan semoga Allah mengampuni mereka .


Jiwa manusia mahukan dihargai lebih banyak dari diperlakukan jujur kepadanya. Tetapi ketika ia gagal mendapatkan penghargaan, cukuplah bagi dirinya apabila ia tidak dibohongi atau dikhianati.


Ayat 93:
اذْهَبُواْ بِقَمِيصِي هَذَا فَأَلْقُوهُ عَلَى وَجْهِ أَبِي يَأْتِ بَصِيرًا وَأْتُونِي بِأَهْلِكُمْ أَجْمَعِينَ (93)


93) Pergilah dengan membawa bajuku ini, kemudian letakkan pada muka ayahku supaya ia dapat melihat, dan selepas itu bawalah kepadaku keluarga kamu semuanya".


TAFSIR


Sewaktu mereka akan balik ke kampung halaman setelah memperolehi makanan dari Mesir, Yusuf mengirimkan bajunya dan berpesan agar meletakkan pada muka ayahnya Ya`akub supaya ia dapat melihat. Ia juga memerintahkan agar semua keluarganya datang menetap di Mesir yang makmur ini.


HURAIAN


Dalam ayat ini dapatlah kita fahami bahawa sebagai seorang anak yang baik apatah lagi selaku nabi pilihan Allah, Yusuf melakukan sesuatu untuk bapanya, sesuatu yang boleh dilakukannya sendiri. Mengirimkan pakaiannya dengan menyebutkan kegunaannya agar barangan kirimannya itu tidak disia-siakan lagi meskipun pada masa itu tiada siapa lagi yang mahu mengkhianatinya. Kegunaannya untuk mengembalikan pandangan bapanya yang merupakan kemuncak rahsia dalam kisah yang penuh dengan duka lara ini.


Ayat 94:
وَلَمَّا فَصَلَتِ الْعِيرُ قَالَ أَبُوهُمْ إِنِّي لَأَجِدُ رِيحَ يُوسُفَ لَوْلاَ أَن تُفَنِّدُونِ (94)


94) Dan semasa kafilah (mereka meninggalkan Mesir menunju ke tempat bapa mereka di Palestin), berkatalah bapa mereka (kepada kaum kerabatnya yang ada di sisinya): "Sesungguhnya aku ada terbau akan bau Yusuf. Jika kamu tidak menyangka aku sudah nyanyuk (tentulah kamu akan percaya)".


TAFSIR


Maka semasa kafilah mereka meninggalkan Mesir dalam perjalanan menuju ke tempat bapa mereka di Palestin), dari jauh bapa mereka berkata kepada kaum kerabatnya yang ada di sisinya: "Sesungguhnya aku ada terbau akan bau Yusuf. Jika kamu tidak menyangka aku sudah nyanyuk (tentulah kamu akan percaya)".


HURAIAN


Hubungan kasih sayang itu akan meletakkan seseorang yang jauh pada mata menjadi dekat pada hatinya. Betapa kuatnya hubungan kasih sayang menjadikan dunia ini sempit- sesempitnya.


Ayat 95:
قَالُواْ تَاللّهِ إِنَّكَ لَفِي ضَلاَلِكَ الْقَدِيمِ (95)


95) Mereka berkata: "Demi Allah! Sesungguhnya ayah masih berada dalam keadaan tidak siumanmu yang lama".


TAFSIR


Malangnya kaum keluarganya tetap menolak kata-kata bapa mereka itu dengan menuduhnya sebagai nyanyuk dan bicaranya tidak boleh diambil kira lagi.


HURAIAN


Hakikat bahawa anak cucu yang tidak lagi mahu mengambil kira tentang ucapan datuk nenek yang telah lanjut usia yang dianggapnya sebagai sudah nyanyuk itu adalah anak cucu yang sempit pandangannya kerana mereka melihat dari sudut mereka sahaja tidak dalam sudut-sudut lain yang berbagai-bagai lagi.


Ayat 96:
فَلَمَّا أَن جَاء الْبَشِيرُ أَلْقَاهُ عَلَى وَجْهِهِ فَارْتَدَّ بَصِيرًا قَالَ أَلَمْ أَقُل لَّكُمْ إِنِّي أَعْلَمُ مِنَ اللّهِ مَا لاَ تَعْلَمُونَ (96)


96) Maka sebaik-baik sahaja datang pembawa khabar berita yang mengembirakan itu, dia pun meletakkan baju Yusuf pada muka Nabi Ya`akub, lalu menjadilah ia celik kembali seperti sediakala. Nabi Ya`akub berkata: "Bukankah aku telah katakan kepada kamu, sesungguhnya aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahuinya?".


TAFSIR


Setelah pembawa khabar berita yang mengembirakan itu meletakkan baju Yusuf pada muka Nabi Ya`akub, tiba-tiba matanya celik kembali seperti sediakala. Nabi Ya`akub berkata: "Saksikanlah bahawa tuduhan kamu yang mengatakan aku ini nyanyuk adalah salah. Sesungguhnya aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.


HURAIAN


Menurut sesetengah ahli ilmu, pakaian seseorang yang masih melekat bau tubuhnya boleh digunakan untuk mengurangkan kerinduan dan kesedihan seseorang terhadapnya. Kajian baru pula menunjukkan peluh boleh digunakan untuk mengubati penyakit mata.


Ayat 97:
قَالُواْ يَا أَبَانَا اسْتَغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا إِنَّا كُنَّا خَاطِئِينَ (97)


97) Mereka berkata: "Wahai ayah kami! Mintalah ampun bagi kami akan dosa-dosa kami; sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah".


TAFSIR


Setelah ternyata mereka adalah salah, mereka telah memohon ampun dari bapa mereka.


HURAIAN


Harus bagi seseorang meminta orang yang lebih baik berdoa untuknya. Dalam masa yang sama, adalah tidak wajar ia lupa untuk berdoa sendiri malahan ia mestilah lebih bersungguh-sungguh lagi dalam memohon kepada Allah kerana Allah S.W.T berfirman:


                   
186. Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang aku, Maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.






Ayat 98:


قَالَ سَوْفَ أَسْتَغْفِرُ لَكُمْ رَبِّيَ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ (98)


98) Nabi Ya`akub berkata: "Aku akan meminta ampun bagi kamu dari Tuhanku; sesungguhnya Dialah jua yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".


TAFSIR
Sebagai bapa yang penyayang kepada anak cucunya, ia berkata ia pasti akan meminta ampun bagi keluarganya dari Tuhannya. Tiada dendam dan dengki dalam hati terhadap sesiapapun. Yang ada ialah kasih sayang sahaja. Kasih sayang yang tidak berbelah bahagi, mengapalah mereka dulu tergamak mempertikaikan dia sebagai si ayah yang tidak sayang kepada anak-anaknya melainkan seorang dua sahaja yang di sayanginya. Amatlah tidak betul dakwaan kamu semasa kanak-kanak itu. sesungguhnya Allahlah jua yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".


HURAIAN


Kasih sayang seorang ayah kepada keluarganya atau anak-anaknya mengatasi kemarahan dan kebencian.


Ayat 99:


فَلَمَّا دَخَلُواْ عَلَى يُوسُفَ آوَى إِلَيْهِ أَبَوَيْهِ وَقَالَ ادْخُلُواْ مِصْرَ إِن شَاء اللّهُ آمِنِينَ (99)


99) Maka tatkala mereka (Nabi Ya`akub dan keluarganya) masuk (ke Mesir) menemui Yusuf, Yusuf segera menyambut serta memeluk kedua ibu bapanya, sambil berkata: "Masuklah kamu ke negeri Mesir, insya Allah kamu berada di dalam aman”.


TAFSIR
Akhirnya mereka, Nabi Ya`akub dan keluarganya di bawa masuk ke Mesir menemui Yusuf, Yusuf segera menyambut serta memeluk kedua ibu bapanya, sambil berkata: "Masuklah kamu ke negeri Mesir, insya Allah kamu berada di dalam aman”tiada kemarau dan ada rezeki yang cukup dari Allah. Marilah di sini kita menetap di Mesir dengan sekeluarga yang sempurna berkasih saying tiada dengki dendam dan cemburu antara satu sama lain kerana ketiga-tiga sifat itu adalah kerja syaitan.






HURAIAN


Anak-anak Nabi Ya`akub mula memasuki Mesir di zaman Nabi Yusuf ini terus menetap beberapa generasi sehingga membentuk dua belas asbat Bani Israel. Jumlah mereka yang ramai telah ditindas sewenang-wenangnya di zaman Ramsis II, di mana anak-anak lelaki mereka dibunuh kerana dibimbangi akan menggulingkan Fir`aun,\ sehingga mereka dikeluarkan oleh Nabi Musa ke Sinai sebelum mereka dapat masuk ke Palestin.


Ayat 100:


وَرَفَعَ أَبَوَيْهِ عَلَى الْعَرْشِ وَخَرُّواْ لَهُ سُجَّدًا وَقَالَ يَا أَبَتِ هَذَا تَأْوِيلُ رُؤْيَايَ مِن قَبْلُ قَدْ جَعَلَهَا رَبِّي حَقًّا وَقَدْ أَحْسَنَ بَي إِذْ أَخْرَجَنِي مِنَ السِّجْنِ وَجَاء بِكُم مِّنَ الْبَدْوِ مِن بَعْدِ أَن نَّزغَ الشَّيْطَانُ بَيْنِي وَبَيْنَ إِخْوَتِي إِنَّ رَبِّي لَطِيفٌ لِّمَا يَشَاء إِنَّهُ هُوَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ (100)


100) Dan ia dudukkan kedua ibu bapanya (bersama-samanya) di atas kerusi kebesaran. Dan setelah itu mereka semuanya tunduk memberi hormat kepada Yusuf. Dan (pada saat itu) berkatalah Yusuf: "Wahai ayahku! Inilah dia tafsiran mimpiku dahulu. Sesungguhnya Allah telah menjadikan mimpiku itu benar. Dan sesungguhnya Ia telah melimpahkan kebaikan kepadaku ketika Ia mengeluarkan daku dari penjara; dan Ia membawa kamu ke mari dari dosa sesudah Syaitan (dengan hasutannya) merosakkan perhubungan antaraku dengan saudara-saudaraku. Sesungguhnya Tuhanku lemah-lembut tadbirNya bagi apa yang dikehendakiNya; sesungguhnya Dialah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.


TAFSIR
Inilah tafsiran mimpi yang pernah di lihatnya dalam tidurnya sewaktu kecil dulu.




HURAIAN


Masuknya mereka ke Mesir dalam keadaan sujud kepada Nabi Yusuf adalah sebagai penghormatan yang biasa diberikan kepada raja dan pembesar-pembesar di zaman dahulu kala, bukanlah bererti pengabdian yang mengandungi makna syirik.


Interpretasi mimpi :


Inilah natijah kesabaran yang maha indah itu (ayat 18 - 83). Ia keluar dari penjara dalam keadaan bersih dari kegala kejahatan dan tuduhan serta dilantik menjadi menteri kerana ketinggian ilmu dan kebijaksanaannya. Kemudian diketemukan dengan keluarganya yang dirinduinya serta dapat bersama-sama dengan mereka pula hingga ke akhir hayatnya.


Di saat yang sebegini indah, segala keperitan dan penderitaan yang dialaminya terutama ketika difitnah di rumah menteri dulu dan juga ketika di penjara dirasakan seolah-olah suatu kisah yang dipaparkan kepadanya untuk ditontoninya dengan penuh pengajaran.


Alangkah silapnya sekiranya ia mengambil langkah yang terpesong ketika ia digoda oleh Zulaikha, atau dia bertindak secara bodoh ketika berada dalam penjara. Tentulah ia akan menyesal besar dan terpaksa pula menanggung akibatnya.


Beberapa tindakan politik yang dibuat oleh Nabi Yusuf semenjak pertemuannya dengan saudara-saudaranya pada kedatangan kali pertama sehinggalah ke akhirnya sudah tentulah telah menambahkan lagi keinsafan saudara-saudaranya terhadap apa yang telah mereka lakukan kepada Nabi Yusuf. Tanpa tindakan-tindakan sedemikian, mungkin mereka kurang mempelajari kesilapan mereka. Keinsafan yang menjadi sesuatu yang amat mahal itu.


Ayat 101:


رَبِّ قَدْ آتَيْتَنِي مِنَ الْمُلْكِ وَعَلَّمْتَنِي مِن تَأْوِيلِ الأَحَادِيثِ فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ أَنتَ وَلِيِّي فِي الدُّنُيَا وَالآخِرَةِ تَوَفَّنِي مُسْلِمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ (101)


101) "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian dari kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku sebahagian dari ilmu tafsiran mimpi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh".


TAFSIR
Doa ini melambangkan kesyukurannya yang setinggi-tingginya pada Allah yang telah mengurniakannyasegala kebesaran, kemegahan dan kehidupan yang baik setelah ia berjaya dalam beberapa ujian.
Al Qurtubi menyebut di dalam tafsirnya bahawa Yusuf meninggal ketika berusia 107 tahun. Beliau di tanam di Palestin .Wallahu `Alam
Ia meninggalkan anak bernama Afrathem dan Minsha
Bapanya Yaakub meninggal setelah berusia seratus empat puluh tujuh tahun(147) .
HURAIAN


Doa Yusuf yang dipanjatkan ke hadrat Allah dalam usianya yang menjelang tua ini adalah suatu sunnah yang sangat baik untuk kita ikuti yang mana Yusuf telah memaparkan kepada kita perasaan syukur terhadap nikmat anugerah Allah dan harapannya untuk terus hidup dalam rahmat Allah s.w.t.


Nikmat kepandaiannya dalam menta`bir mimpi yang telah mengangkat kedudukannya dari menjadi seorang penghuni penjara kepada bertaraf menteri disebut-sebutnya bagi menunjukkan rasa syukurnya yang sebenarnya tentulah meliputi segala nikmat Allah s.w.t terhadapnya.


Yusuf mengakui Allah yang mengaturkan kemuliaan untuknya adalah (فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ أَنتَ وَلِيِّي فِي الدُّنُيَا وَالآخِرَةِ ) adalah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat;adalah memiliki kekuasaan yang sangat, memiliki kekuatan segala kekuatan. Kepada Zat itulah ia mengadukan segala-galanya.


Yusuf juga mengharapkan Allah menghimpunkannya di kalangan orang-orang yang baik setelah mati kelak. Ini menjelaskan kepada kita orang yang baik-baik berkumpul bersama-sama dengan orang –orang yang baik manakala orang-orang yang keji berhimpun pula bersama-sama orang yang keji.


Ayat 102:


ذَلِكَ مِنْ أَنبَاء الْغَيْبِ نُوحِيهِ إِلَيْكَ وَمَا كُنتَ لَدَيْهِمْ إِذْ أَجْمَعُواْ أَمْرَهُمْ وَهُمْ يَمْكُرُونَ (102)


102) (Kisah Nabi Yusuf) yang demikian ialah dari berita-berita yang ghaib yang kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), sedang engkau tidak ada bersama-sama mereka semasa mereka sekata mengambil keputusan (hendak membuang Yusuf ke dalam perigi) dan semasa mereka menjalankan rancangan jahat (terhadapnya untuk membinasakannya).


TAFSIR


Demikianlah kisah Nabi Yusuf yang tidak di ketahui oleh penduduk Mekah,di ceritakan oleh Baginda Rasulullah SAW termasuk pakatan jahat yang memalukan mereka di ceritakan juga sebagai hujah kebenaran Rasulullah SAW


HURAIAN


Ayat ini membawa satu hujah kepada golongan Yahudi di Madinah bagaimana surah yang diturunkan di Mekkah ini menceritakan secara terperinci kisah yang tidak seorang pun penduduk di tempat tersebut mengetahuinya, sebaliknya setelah baginda berhijrah, surah ini pula amat menakjubkan dan diakui sendiri oleh mereka (yahudi-yahudi) yang menyembunyikan kebenaran.


Ayat 103:


وَمَا أَكْثَرُ النَّاسِ وَلَوْ حَرَصْتَ بِمُؤْمِنِينَ (103)
103) Dan kebanyakkan manusia tidak akan beriman walaupun engkau sangat-sangat ingin (supaya mereka beriman).


TAFSIR
Kebanyakan manusia itu lebih cenderung kepada kekufuran kerana ia lebih secocok dengan nafsu
HURAIAN


Ayat ini menerangkan kepada kita tabi`e manusia yang sering kali menolak dakwah dan petunjuk sekali pun mereka memiliki ilmu tentangnya. Ini kerana mereka secara tabi`enya lebih mudah terpengaruh kepada perjalanan syaitan.


Ayat 104:


وَمَا تَسْأَلُهُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ إِنْ هُوَ إِلاَّ ذِكْرٌ لِّلْعَالَمِينَ (104)


104) Padahal engkau tidak meminta kepada mereka sebarang upah tentang ajaran al-Qur’an , sedang al-Qur’an itu tidak lain hanyalah peringatan dan pengajaran dari Allah bagi umat manusia seluruhnya.


TAFSIR
Allah Taala setelah menamatkan kisah Nabinya Yusuf itu, kembali membicarakan tentang kandungn Al Quran yang sewajibnya di pelajari oleh manusia kerana di dalamnya terhimpun segala petunjuk. Nabi SAW tidak meminta apa-apa upahpun terhadap apa-apa ajaran Al Quran yang di ajarkan itu padahal Al Quran itu menyelamatkan mereka di dunia dan akhirat. Sekiranya di lihat dari sudut perniagaan, inilah bukanlah satu pertukaran yang sepatutnya. Tetapi demi untuk menye lamatkan manusia, itulah tugas nabi-nabi dan rasul-rasul.


HURAIAN


Ayat-ayat 4 hingga 101 adalah kisah yang sebenarnya berlaku ribuan tahun yang lampau, yang tidak dicatitkan walaupun terdapat kisah-kisah mengenainya dalam berbagai-bagai versi yang disampaikan dari satu generasi ke satu generasi secara lisan itu tidak sunyi dari tokok tambah yang akan menjejaskan kesahihannya sehingga terdapat cerita-cerita yang berlawanan antara satu sama lain yang dibawa oleh pendita Yahudi dan Kristian .
Kisah sebenar ini telah dibacakan oleh Rasulullah s.a.w di Mekah di hadapan golongan Musyrikin sebelum membacakannya pula kepada orang-orang Yahudi di Madinah padahal Rasulullah tidak berhubung dengan mana-mana pendita tersebut. Cerita yang benar ini menjawab beberapa persoalan yang bertentangan antara satu sama lain sesame mereka. Ini adalah tanda al-Qur’an adalah benar dari Allah s.w.t. Walaupun terdapat orientalis di dewasa ini yang menuduh Rasulullah telah mempelajari dari beberapa pendita di zaman tersebut, tuduhan-tuduhan ini tentulah sengaja diada-adakan kerana bukan sahaja tuduhan mereka tidak beralaskan sebarang bukti malahan juga musuh-musuh utama Rasulullah yang amat membenci Islam di zaman baginda tidak menuduh sedemikian kerana mereka benar-benar mengetahui tentang benarnya Rasulullah tidak mempelajari dari mana-mana pendita.


Adapun orang-orang yang berfahaman kebendaan pada hari ini bertanya, mengapalah cerita-cerita seperti ini dipaparkan, padahal ramai menteri-menteri yang disanjungi di peringkat dunia tidak mengalami kehidupan yang sebegitu susah dan ramai juga yang mengalami kesulitan yang lebih kurang sama, apalah indahnya cerita sebegini??


Bagi orang-orang yang beriman, bukanlah jawatan menteri itu yang penting tetapi kisah perjuangannya yang hidup di sepanjang zaman. Tidak ada gunanya memaparkan kisah orang-orang yang besar yang melalui kehidupan sedari awal lagi dengan penuh kesenangan kerana itu adalah satu kebetulan yang berlaku kepadanya, tiada apa-apa pengajaran yang boleh diambil darinya. Adapun kisah orang-orang yang tabah, terlalu banyak pengajaran yang boleh dimanfaatkan, apatah lagi seseorang itu Rasul yang terpilih, di atas jawatannya yang besar, ia tidak membina apa-apa istana atau mengumpulkan harta yang banyak tetapi keredhaan Allahlah yang diharapkan. Kehidupan di akhirat jugalah yang dikejarnya.


Setelah Allah SWT menamatkan kisah nabi yusuf, seterusnya Allah SWT kembali membicarakan tentang Al Quran yang terhimpun di dalamnya segala petunjuk. Dalam mengajarkan isi kandungan al quran dalam segala sudutnta, tidak pernah sekalipun Nabi SAW meminta apa-apa upah daripada sesiapapun. Ini adalah kerana tugasnya adalah untuk menyelamatkan manusia di dunia dan akhirat. Sekiranya di lihat dari sudut perniagaan, inilah bukanlah satu cara untuk mengaut keuntungan




Ayat 105:


وَكَأَيِّن مِّن آيَةٍ فِي السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ يَمُرُّونَ عَلَيْهَا وَهُمْ عَنْهَا مُعْرِضُونَ (105)


105) Dan berapa banyak tanda-tanda kekuasaan Allah di langit dan di bumi yang mereka menyaksikannya berulang-ulang semasa mereka pergi dan datang, sedang mereka tidak juga menghiraukan dan memikirkannya.


TAFSIR
Ayat ini menegaskan bahawa sesungguhnya di sana amat banyak tanda-tanda kekuasaan Allah di langit dan di bumi yang di saksikan oleh manusia, apatah lagi orang-orang Musyirikin Mekah menyaksikannya berulang kali semasa perjalanan mereka pergi dan dating dari musafir berdagang , sedang mereka tidak juga mengambil pengajaran darinya.


HURAIAN
Ayat ini kembali membincangkan tentang konsep Tauhid yang di bawa oleh rasulullah SAW .kesemua tanda-tanga yang ada di langit dan di bumi yang seringkali dan amat mudah dijumpai oleh mana-mana manusia saja-asalkan ia mengkaji dan mencari kebenaran, pasti akan menemui tanda keesaan Allah dan keagunganNya.
Peredaran malam dan siang, berubahnya setiap sesuatu silih berganti-ganti adalah Tanda manusia ini tidak kekal .Allah memerintahkan juga mereka mengambil pengajaran dari kisah Al Quran dan pengajaran yang boleh di lihat oleh mata mereka sepanjang perjalanan mereka di atas muka bumi ini tetapi malangnya kebanyakan manusia tidak mahu mengakui hakikat ini.




.
Ayat 106:


وَمَا يُؤْمِنُ أَكْثَرُهُمْ بِاللّهِ إِلاَّ وَهُم مُّشْرِكُونَ (106)


106) Dan (orang-orang yang beriman kepada Allah), kebanyakan mereka tidak beriman kepada Allah melainkan mereka mempersekutukannya juga dengan yang lain.


TAFSIR
Ayat ini menegaskan kebanyakan manusia secara semula jadi adalah lebih cenderung kepada menyerutukan Allah


HURAIAN


Syirik adalah menjadi satu pemikat yang pasti akan terus wujud di dianut oleh penghuni bumi. Apatah lagi syirik khofi(kecil) yang sangat tersebunyi berupa riya`, ujud, sum`ah-menunjuk-nunjuk amal perbuatan baik kepada manusia supaya manusia memuji kebaikannya itu-memang benar-benar menguji manusia.


Itulah sebabnya iman yang jernih suci mestilah sentiasa hidup segar dalam diri hamba yang mukmin untuk sentiasa dapat dengan cepat menolak syirik. Walaupun syirik yang besarmungkin lebih mudah di jaga oleh hamba-hamba yang teliti tetapi tidak bagi syirik yang kecil sebagaimana yang di nyatakan oleh Rasulullah SAW:
الشرك فيكم أخفى من دبيب النمل




Syirik di kalangan kamu( syirik kecilyang di sebut khofi) adalah lebih tersembunyi dari semut hitam yang merangkak ( di batu yang hitam)


Oleh itu, bagi seorang hamba yang mukmin, ia tidak boleh leka sekali-kali untuk berjaga-jaga dari syirik.


Ayat 107:


أَفَأَمِنُواْ أَن تَأْتِيَهُمْ غَاشِيَةٌ مِّنْ عَذَابِ اللّهِ أَوْ تَأْتِيَهُمُ السَّاعَةُ بَغْتَةً وَهُمْ لاَ يَشْعُرُونَ (107)


107) (Mengapa mereka bersikap demikian ?) Adakah mereka merasa aman dari didatangi azab Allah yang meliputi mereka, atau didatangi hari kiamat secara mengejut, sedang mereka tidak menyedarinya?.


TAFSIR


Ayat ini bertanya adakah mereka yang syirik tadi merasa aman dari didatangi azab Allah atau didatangi hari kiamat secara mengejut,. Jawabnya tidak . azab itu pasti dating kepada mereka tetapi mereka sebenarnya adalah tidak menyedari saat kedatangan azab yang akan membinasakan mereka itu.


HURAIAN
Ayat ini membuat satu sentakan yang kuat terhadap jiwa yang engkar dan kufur , supaya dengan itu, bertukar menjadi beroleh kesedaran dan terus menyedari tentang bahayanya melupai iman. Bahayanya jiwa yang mudah terpengaruh dengan syirik. Jiwa demikian akan hanyut tanpa panduan sehingga ia memperolehi azab. Pada waktu itu, ia tidak akan dapat menyelamatkan dirinya lagi sekali-kali.




Ayat 108:


قُلْ هَذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللّهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَاْ وَمَنِ اتَّبَعَنِي وَسُبْحَانَ اللّهِ وَمَا أَنَاْ مِنَ الْمُشْرِكِينَ (108)


108) Katakanlah (wahai Muhammad): "Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: “Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain”.


TAFSIR


Rasulullah SAW telah di perintahkan oleh Allah supaya mempertegaskan tentang dakwah yang dibawanya dari Allah, yang berdiri di atas keterangan yang jelas nyata kepada golongan yang berfikir


HURAIAN


Allah s.w.t memerintahkan kepada nabinya agar mempertegaskan pendirian aqidah dan syariah yang diturunkan Allah kepada golongan Musyrikin supaya dengan ketegasan yang dinyatakan itu, datanglah suatu kekuatan dari Allah s.w.t. Ketegasan ini amat perlu bagi setiap pendakwah yang memikul amanah di jalan Allah s.w.t.


Ayat 109:


وَمَا أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ إِلاَّ رِجَالاً نُّوحِي إِلَيْهِم مِّنْ أَهْلِ الْقُرَى أَفَلَمْ يَسِيرُواْ فِي الأَرْضِ فَيَنظُرُواْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَدَارُ الآخِرَةِ خَيْرٌ لِّلَّذِينَ اتَّقَواْ أَفَلاَ تَعْقِلُونَ (109)


109) Dan tiadalah Kami mengutus rasul - sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki dari penduduk bandar, yang Kami wahyukan kepada mereka. Maka mengapa orang-orang (yang tidak mahu beriman) itu tidak mengembara di muka bumi, supaya memerhatikan bagaimana akibat orang-orang kafir yang terdahulu dari mereka? Dan (ingatlah) sesungguhnya negeri akhirat lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, mengapa kamu (wahai manusia) tidak mahu memikirkannya?


TAFSIR
Di utuskan rasul untuk memimpin manusia adalah untuk menjadi contoh kepada manusia lain tentang bagaimanakah caranya memimpin dan menggunakan khazanah yang Allah taala pinjamkan untuk mereka selamamana mereka hidup. Lihatlah juga akibat tidak mengikuti perjalanan nabi-nabi itu, bagaimana umat yang terdahuludi binasakan.


HURAIAN


Allah s.w.t telah memertegaskan bahawa rasul-rasul yang diutuskan adalah dihantarkan kepada masyarakat manusia yang mempunyai tahap pemikiran dan kemajuan yang selayaknya pada zaman tersebut. Maka dengan perutusan ini, berlakulah pertarungan antara kesesatan dan kebenaran yang kedua-duanya mendakwa bertitik-tolak dari ilmu pengetahuan. Pada hakikatnya terdapat perbezaan yang amat ketara dalam mentafsirkan tentang ilmu pengetahuan di antara kedua-dua pihak itu. Yang satu itu menghuraikannya menurut nafsu manakala yang satu lagi menghuraikannya dari asas iman. Imanlah yang menerangkan hakikat yang sebenarnya kerana ia menyampaikan ilmu seseorang itu kepada menyakini tuhannya. Maka terselamatlah si hamba itu di dalam keredhaan Allah.




Ayat 110:


حَتَّى إِذَا اسْتَيْأَسَ الرُّسُلُ وَظَنُّواْ أَنَّهُمْ قَدْ كُذِبُواْ جَاءهُمْ نَصْرُنَا فَنُجِّيَ مَن نَّشَاء وَلاَ يُرَدُّ بَأْسُنَا عَنِ الْقَوْمِ الْمُجْرِمِينَ (110)
110) (Orang-orang yang mendustakan ugama Allah itu telah diberi tempoh yang lanjut sebelum ditimpakan dengan azab) hingga apabila rasul-rasul berputus asa terhadap kaumnya yang ingkar dan menyangka bahawa mereka telah disifatkan oleh kaumnya sebagai orang-orang yang berdusta, datanglah pertolongan Kami kepada mereka, lalu diselamatkanlah sesiapa yang Kami kehendaki. Dan (ingatlah bahawa) azab Kami tidak akan dapat ditolak oleh sesiapapun daripada menimpa kaum yang berdosa.


TAFSIR
Rasul-rasul itu pasti berjaya akhirnya kerana mereka adalah utusan Allah. Allah SWT menjamin akan menolong rasul-rasulNya
HURAIAN


Ayat ini menggambarkan keadaan pertarungan yang sengit mengakibatkan terasa beban yang cukup berat yang ditanggung oleh setiap rasul dalam dakwah yang mereka jalankan. Perasaan sehingga ke tahap yang hampir putus asa adalah perasaan yang membunuh segala harapan yang ada untuk memperolehi natijah atau keberhasilan. Namun begitu, bagi orang yang hati mereka sebenarnya hidup, perasaan ini tidak dapat membunuh harapan tersebut malahan semakin bersinar kerana keyakinan mereka terhadap apa yang dijanjikan oleh Allah mengatasi perasaan-perasaan yang dipancingi syaitan itu.


Ada pun di sisi Allah s.w.t telah menjanjikan pertolongan tersebut kepada hamba-hambanya.


((ألا إن نصر الله قريب))


Yang bermaksud: Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.


Ayat ini telah menjadi sumber kekuatan kepada Rarsulullah yang menghadapi tentangan dari kalangan pembesar Musyrikin Mekah. Seterusnya ayat ini perlulah menjadi pegangan untuk setiap pendakwah di jalan Allah melaksanakan tugas risalahNya.


Ayat 111:


لَقَدْ كَانَ فِي قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لِّأُوْلِي الأَلْبَابِ مَا كَانَ حَدِيثًا يُفْتَرَى وَلَكِن تَصْدِيقَ الَّذِي بَيْنَ يَدَيْهِ وَتَفْصِيلَ كُلَّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ (111)


111) Demi sesungguhnya, kisah nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah nabi-nabi yang terkandung dalam al-Qur’an) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengisahkan apa yang tersebut di dalam kitab-kitab ugama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.


Demikianlah Allah s.w.t menutupi surah yang menarik ini dengan menyeru kepada orang yang beriman dalam bentuk yang sangat indah, supaya menggunakan akal fikiran yang dikurniakan Allah itu dengan cara yang sebetulnya untuk berfikir dan mengambil pengiktibaran dari perkara yang telah dipelajari. Membandingkan dan menilai ke atas diri sendiri adalah amat penting kerana pendekatan ilmu sebegitulah yang membawakan seseorang kepada memperbaiki dirinya sendiri, seterusnya memperolehi hidayah dari Allah s.w.t.


Kisah-kisah benar yang disajikan oleh Kitab Samawi ini tentulah kisah yang hidup dan terus selama-lamanya segar memandu manusia ke arah petunjuk yang diredhai Allah s.w.t. Ia adalah pembuka jalan kepada orang yang benar yang mengatur langkah mencari kepastian tentang kebenaran menemui kebenaran dalam hidupnya.


Dewasa ini, tiada siapa lagi yang dapat menafikan bahawa methodologi penceritaan adalah menjadi suatu teknik pendidikan yang amat berkesan kepada manusia. Melalui jalan-jalan cerita sebegini, bentuk penyampaian yang lembut kepada diri membolehkan diri yang ego ini menjadi lemah dan tunduk kepada pengajaran-pengajaran yang dibawakan oleh akal yang berfikir itu. Ia telah menyegarkan kembali jiwa Rasulullah SAW untuk terus melaksanakan tuntutan dakwah yang telah di fardhukan ke atasnya. Marilah kita menggali sebanyak-banyakkan rahsia yang terdapat di dalam nya…..






25122002Galsworty, Chettham Hill, Manchester. United Kingdom

1 comment:

Anonymous said...

alhamdulillah..dah dapat faham maknanya...terima ksih ustz..